يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
Maksudnya :
Wahai
orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam
keadaan Islam. (Aali-Imran: 102)
Dalam beberapa minggu ini, timbul semula
‘Isu Kalimah ALLAH’ setelah reda kira-kira hampir 3 tahun. Kali
pertamanya, heboh pada akhir tahun 2009 apabila hakim Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur Puan Lau Bee Lan membuat penghakiman bahawa perintah
Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar (pada Januari 2009) yang melarang
penggunaan kalimah ALLAH oleh orang-orang bukan Islam adalah tidak sah
kerana menurut hakim itu perintah tersebut bercanggah atau altravirus
dengan peruntukkan perlembagaan Perkara 11(1)yang menjamin kebebasan
beragama dan mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Dengan penghakiman
tersebut maka orang bukan Islam khasnya orang Kristian yang membuat
permohonan penghakiman itu dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam
buku atau apa-apa penerbitan mereka.
Ramai di kalangan orang melayu
terutamanya orang UMNO dan penyokong-penyokongya tidak berpuas hati,
akibatnya berlaku peristiwa pembakaran gereja Kristian di sekitar Kuala
Lumpur.
Kali ini isu tersebut bangkit apabila Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP
dalam ucapannya sempena menyambut Krismas baru-baru ini meminta
Kerajaan segera membenarkan agama Kristian menggunakan kalimah ALLAH
dalam terjemahan Bahasa Melayu kitab Bible.
Oleh kerana yang
menyeruarakan perkara ini pemimpin DAP, maka isu ini meledak seperti
sebiji bom beratnya bermega tan yang menggegarkan seluruh masyarakat
manusia pelbagai agama, lebih-lebih lagi orang melayu; terutamanya, UMNO
dan badan-badan NGO penyokongnya.
Dalam keadaan haru-biru akibat ledakkan tersebut, masing-masing di pihak
UMNO dan badan-badan NGO penyokongya ingin bercakap dan mengeluarkan
hukum dan fatwa mereka. Pemimpin-pemimpin UMNO dan badan-badan NGO
penyokongnya membuat bantahan dan mengutuk Lim Guan Eng dan partinya.
Bahkan menyeret PAS dan PKR yang menjadi rakan Pakatan Rakyat dengan
DAP. Ulama-ulama UMNO yang muda dan tua mencabar PAS untuk menyatakan
pendirian.
Mereka seolah-olah tidak menyedari langsung bahawa apa yang
disuarakan oleh Lim Guan Eng itu adalah selari dengan keputusan mahkamah
yang memberikan hak kebebasan kepada orang bukan Islam untuk
menggunakan kalimah ALLAH itu.
UMNO sendiri lupa bahawa Perdana Menteri,
Dato Sri Najib Tun Razak telah memberikan kelulusan kepada pihak gereja
Kristian di semenanjung membawa masuk Bible terjemahan Bahasa Melayu
yang mengandungi perkataan Allah pada bulan April 2011 beberapa hari
sebelum berlangsung pilihanraya negeri Sarawak.
PAS telah pun membuat pendirian dan menyatakan bahawa berdasarkan
keterangan Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW tiada bukti-bukti
bahawa kalimah ALLAH itu tidak boleh diguna atau disebut oleh orang
bukan Islam. Bagaimanapun dalam konteks masyarakat bukan Islam di negara
ini, penggunaan kalimah Alllah oleh orang bukan Islam menurut PAS,
hendaklah tidak disalah guna atau boleh menimbulkan penghinaan kepada
Islam atau kalimah suci itu.
Namun pihak UMNO dan penyokong-penyokongnya
memutarbelitkan keputusan PAS itu dan juga menggambarkan bahawa PAS
kononnya memihak kepada orang bukan Islam, khasnya orang Kristian kerana
hendak mengambil hati orang bukan Islam bagi mendapat undi mereka.
Berbagai tuduhan dan fitnah dilontarkan kepada pemimpin PAS khasnya Tuan
Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Hadi.
Yang terbaru mereka juga menggambarkan bahawa keputusan PAS itu
berlawanan dengan pedirian beberapa orang tokoh ulama PAS seperti Ustaz
Dato’ Harun Taib dan Dato’ Dr.Harun Din. Ini bererti UMNO menjadikan isu
kalimah ALLAH itu untuk cuba menggambarkan tidak ada kesepakatan
diantara ulama-ulama PAS dalam keputusan yang dibuat sebelum ini dan
cuba menimbulkan pepecahan di kalangan pimpinan PAS dan ahli-ahlinya
dengan kata lain, UMNO menjadikan isu tersebut semata-mata untuk
kepentingan partinya.
Perkembangan ini memaksa PAS melalui Majlis Syura
Ulamanya memperbaharui keputusannya yang dibuat pada 2010 dengan
menambah beberapa penjelasan yang lebih terperinci.
Namun pihak UMNO
yang disokong oleh beberapa orang mufti (yang selama ini sering mewakili
pendirian UMNO seperti Mufti Perak dan bekas Mufti Johor) tetap tidak
boleh menerima penjelasan tersebut dan masih memutarbelitkannya atau
sekurang-kurangnya mereka mendakwa PAS berdolak-dalik dalam perkara ini.
Sikap UMNO seperti ini semata-mata kerana mahu menjadikan isu kalimah
ini sebagai modal PRU13 yang sudah sangat hampir waktunya.
Benar juga nampaknya seperti kata Professor Emeritus Mahmood Zuhdi dalam
panel bicara TV Al-Hijrah baru-baru ini bahawa isu kalimah ini sudah
dijadikan seperti bola yang ditendang kesana kemari oleh orang-orang
politik (tentu yang beliau maksudkan ialah UMNO dan juga PAS dan
termasuk beberapa orang mufti yang berpolitik menurut beliau).
Tetapi
bagi saya yang menendangnya sebagai bola itu hanya orang-orang UMNO dan
ulama-ulamanya sahaja kerana PAS sekadar menjelaskan dan menolak segala
tomahan UMNO.
Ketika menjawab pertanyaan monderator panel bicara itu (Amin Idris)
“bagaimana hendak menyelesaikan isu kalimah ini kalau keputusan mahkamah
sendiri tidak dapat menyelesaikannya” Mahmood Zuhdi menegaskan bahawa
untuk menyelesaikan isu ini, hentikanlah segala perbincangan mengenai
persoalan kalimah ALLAH ini.
Ertinya semua media milik Kerajaan atau
milik UMNO dan proksi-proksinya seperti RTM, TV3,TV BERNAMA bahkan juga
TV Astro, Radio IKIM dan media cetak seperti Utusan Malaysia, Berita
Harian, NST dan sebagainya hendaklah memberhentikan apa jua bentuk
perbincangan, berita dan apa jua persoalan mengenai isu kalimah ALLAH
ini.
Selama ini, media-media inilah yang sentiasa memainkan isu kalimah
ALLAH ini untuk tujuan politik UMNO BN. Maka yang hanya boleh
memberhentikan perkara ini adalah Kerajaan iaitu UMNO BN. Saya tidak
yakin saranan Professor Emeritus itu akan didengar oleh Kerajaan UMNO
BN.
Takut-takut UMNO BN kata Professor Emeritus itu pun juga cakap
politik melalui TV Al-Hijrah itu. Kalau tidak percaya, tengoklah nanti.
Pihak PAS atau PKR pun tidak ada masalah kerana mereka tidak ingin
membangkitkan perkara ini.
Saya sendiri pun tidak akan membangkitkan
perkara ini lagi kerana saya sudah menulisnya dalam entri saya yang
terdahulu kira-kira 3 tahun lalu dan apa yang ditulis itu adalah
pendirian saya sehingga hari ini.
Jadi saya menegaskan bahawa yang patut diberhentikan ialah mengenai isu
hukum kalimah ALLAH yang diguna pakai oleh orang bukan Islam dan bukan
memberhentikan perbahasan mengenai keimanan kepada Allah, hukum-hukum
Allah, perintah-perintah Allah, kewajipan menegakkan hukum-hukum Allah,
kewajipan menegakkan agama Allah, kewajipan pertahankan
perintah-perintah Allah dan hukum-hakamnya dan kewajipan mengajak
manusia kepada jalan Allah dan bertaqwa kepadaNya.
Sebagai penutup tulisan ini, saya menyeru mereka yang bersungguh-sungguh
benar hendakkan kalimah ALLAH itu eksklusif untuk orang Islam sahaja
supaya mereka membaca ayat-ayat Al-Quran yang mengulang-ulangkan kalimah
ALLAH itu sebanyak 2699 kali dengan memahami maksud-maksud ayat
tersebut dan menghayatinya.
Saya bimbang kalau-kalau mereka yang begitu
bersemangat tidak membenarkan kalimah ALLAH itu disebut oleh orang bukan
Islam, mereka tidak sempat membaca separuh atau suku pun daripada
jumlah sepenuhnya ayat-ayat tersebut.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.