Ketika
ini semua pihak sibuk membuat ramalan, andaian serta kajian tentang
siapakah antara BN dan PR yang dijangka akan memenangi pilihanraya umum
akan datang ini dan seterusnya berjaya menubuhkan kerajaan.
Pusat-pusat
kajian, universiti dan kalangan pensyarah pula turut tampil dengan
pelbagai teori dan pandangan mengenai siapa yang dijangka kalah dan
siapa yang dijangka menang.
Merdeka
Center dalam kajian terbarunya menunjukkan populariti Najib hanya
meningkat 1 peratus kepada 65 peratus selepas pembentangan Belanjawan
2012 yang dianggap banyak pihak sebagai belanjawan paling pemurah dengan
taburan gula-gula dan pemberian wang saku secara langsung kepada
rakyat.
Namun
demikian, tahap populariti 65 peratus itu masih dianggap belum memadai
untuk menjelmakan kemenangan yang selesa buat BN.
Jika pun menang, BN
hanya dijangka menang dengan tipis saja tetapi jika berlaku sesuatu
perubahan yang mendadak, benteng populariti Najib yang sekadar 65
peratus itu dianggap belum cukup ampuh untuk menahan kekalahan daripada
berlaku.
Jika
dilihat populariti Pak Lah sebelum pilihanraya 2008 adalah 72 peratus
tetapi ianya telah menyebabkan BN hilang majoriti dua pertiga dengan
sekadar kemenangan 140 kerusi saja ketika itu.
Beberapa
pensyarah universiti juga turut membuat ramalan. Antaranya Prof Dr
Samsul Amri Baharudin yang menjangkakan BN hanya mampu menang 120
kerusi, Dr Agus Yusof dengan kajian bahawa kerusi yang selesa bagi BN
hanya 96 kerusi manakala Prof Mohamad Abu Bakar dari UM juga meramalkan
kemenangan yang tipis saja mampu dicapai oleh BN dalam pilihanraya akan
datang ini berdasarkan pelbagai isu dan kekuatan BN serta PR yang
dilihat agak seimbang.
Pimpinan
UMNO pula terutamanya Najib dilihat masih lagi bergelut untuk meraih
kemenangan serta amat mengimpikan kemenangan dengan majoriti dua pertiga
untuk mengelak menerima nasib seperti Pak Lah.
Bagaimanapun sehingga
ini tidak ada mana-mana pemimpin UMNO yang berani meramalkan berapakah
jumlah kerusi yang bakal dimenangi, terutamanya melihatkan pelbagai
isu-isu baru yang muncul kebelakangan ini seperti isu Deepak, Musa
Hassan, dana RM40 juta untuk UMNO Sabah dan sebagainya.
Rata-rata pemimpin UMNO dan BN merasakan hanya kemenangan yang tipis mampu dicapai kali ini.
Anwar
dan PR pula, walaupun amat yakin dapat menawan Putrajaya dalam
pilihanraya kali ini tetapi masih tidak berani memberikan angka
kemenangan yang tepat. PR kini terlihat memberi fokos kepada tiga negeri
iaitu Sabah, Sarawak dan Johor untuk mengukuhkan lagi kemenangan,
selain keyakinan mempertahankan kubu sedia ada terutama 82 kerusi yang
dimenangi dalam pilihanraya 2008 lalu.
Hanya
Lim Kit Siang baru-baru ini yang meramalkan kemampuan PR untuk memenangi
sebanyak 125 kerusi dengan PAS dan DAP dijangkanya akan memenangi
masing-masing 40 kerusi manakala PKR diramalkan akan memenangi 45
kerusi.
Rakyat
pelbagai lapisan dan peringkat juga merasakan demikian. Jika ada yang
beranggapan BN akan menang, mereka menduga hanya kemenangan dengan
kelebihan beberapa kerusi sahaja mampu dicapai.
Begitu juga jika ada
yang beranggapan PR akan menawan Putrajaya, jangkaan mereka hanya
kemenangan tipis juga yang mampu dicapainya.
Pendek
kata, mereka yang rasional dan melihat pelbagai masalah serta isu yang
sedang berlaku sekarang ini dan kesannya kepada pola pemikiran rakyat
yang terdedah kepada pelbagai maklumat, hampir mustahil untuk meyakini
kemenangan cemerlang mampu dicapai oleh mana-mana pihak kali ini.
Tetapi
berbeza dengan dapatan yang dilakukan oleh War Room UMNO yang diketuai
oleh Alies Nor, bekas Setiausaha Politik Najib sendiri. War Room UMNO
ini ditubuhkan oleh Najib untuk kerja-kerja pilihanraya umum akan datang
dengan fokus kepada pemilihan calon, menangani isu, menyelaras kempen
dan sebagainya.
Dengan
fungsinya yang begitu besar, War Room ini menjadi begitu berpengaruh
menjelang pilihanraya akan datang dan Alies Nor pula merupakan individu
yang palng dicari untuk didekati oleh mereka yang berhajat untuk menjadi
calon.
Alies
Nor bukan sahaja berpengaruh untuk menentukan calon-calon yang dianggap
boleh menang tetapi juga sedang memantau kerusi-kerusi Parlimen yang
diyakini memihak kepada BN.
Beliau
kini mempunyai pasukan pemantaunya sendiri sama ada di peringkat
bahagian dan negeri yang berfungsi menyediakan laporan terkini tentang
kedudukan kerusi-kerusi yang boleh dimenangi oleh BN.
Bagaimanapun
apa yang memeranjatkan, sebalik semua pihak meramalkan BN hanya mampu
menang tipis, War Room ini mempunyai dapatan yang sebaliknya.
Dikhabarkan bahawa pihak War Room ini telah mempersembahkan angka yang
membuatkan Najib teruja baru-baru ini.
Dikatakan
melalui gerak kerja dan pemilihan calon yang ditapis dengan ketat oleh
War Room ini, selain populariti Najib yang dikhabarkan sentiasa mendapat
sambutan daripada rakyat, Najib diyakinkan bahawa jumlah kerusi yang
mampu dimenanginya ialah antara 148 hingga 154 kerusi.
148 adalah jumlah kerusi minimum yang diperlukan untuk memperolehi kemenangan dengan majoriti dua pertiga.
Namun
demikian, hasil kajian War Room UMNO ini ditolak mentah-mentah oleh
beberapa pemimpin UMNO sendiri yang merasakan ianya adalah hasil dapatan
yang tidak masuk akal dan lebih bertujuan untuk mengampu Najib
semata-mata. Mereka menyifatkan angka 148 hingga 154 itu tidak lebih
dendangan lagu merdu yang boleh membuatkan Najib terbuai, terlena dan
akhirnya jatuh ke tanah.
Tetapi
sehingga ini tidak ada yang berani menyanggah angka tersebut secara
berdepan dengan Najib kerana sedar kedudukan War Room dan Alies Nor yang
begitu rapat dan seolah-olah begitu dipercayai oleh Najib sendiri.
Menyanggah hasil kerja War Room umpama menyanggah Najib, oleh itu ramai
yang bercakap dan membuat ulasan di belakang mengenainya.
Beberapa
pemimpin dan pihak dalam UMNO yang rasional dan mengetahui mengenai
hasil kajian oleh War Room itu mengakui angka kemenangan yang tidak
masuk akal itu boleh membahayakan kedudukan UMNO dan BN jika Najib
terlalu mempercayainya dan tidak mempunyai pendapat kedua.
Apa yang
nyata Najib kini didapati begitu terbuai dengan angka yang diberi oleh
War Room itu sehingga beliau didapati tidak dapat membaca isyarat
sebenar yang ingin disampaikan oleh rakyat apabila mereka bertemu
dengannya.
Misalnya
apabila ramai yang bertanya kepadanya bilakah tarikh pilihanraya, Najib
mengandaikan ianya sebagai bukti bahawa rakyat tidak sabar-sabar untuk
memberi mandat yang lebih besar kepada BN sedangkan hakikat sebenarnya
ia juga bermaksud rakyat tidak sabar lagi menunggu detik untuk menghukum
UMNO dan BN atas pelbagai masalah dan isu yang berlaku sejak beliau
menjadi PM.
Selain
itu Najib juga sering disajikan dengan sokongan palsu daripada rakyat di
setiap program yang dihadirinya di mana majoriti yang hadir adalah
pegawai kerajaan, guru dan murid sekolah yang diwajibkan hadir, penuntut
IPTA dan IPTS yang disediakan bas, t shirt dan belanja makan serta
belia dan penduduk kampung yang turut disediakan kemudahan pengangkutan
dan elaun wang saku.
Oleh
kerana terlalu terbuai dan terlena dengan nyanyian lagu merdu oleh War
Room dan Alies Nor yang menjanjikan kemenangan cemerlang kepadanya,
Najib dilihat semakin tidak sensitif kepada segala isu dan kecaman yang
berkaitan diri dan keluarganya. Beliau langsung tidak mahu menjawab
semua isu yang timbul kebelakangan ini.
Lalu
dimanakah sebenarnya jiwa rakyat yang sering diucapkannya, sudah
kusamkah falsafah kami sentiasa mendengar yang kerap dilaungkannya dan
sudah dibakulsampahkah slogan bahawa era kerajaan dan pemimpin betul
segala-galanya sudah berakhir?
Kerengga

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.