PUTRAJAYA
12 Dis: Seramai 500 rakyat sedang berhimpun di lapangan parkir
Imigresen di sini bermula 9.30 pagi tadi sebelum berarak ke bangunan
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendesak kerajaan BN menyelesaikan
masalah rakyat, khususnya 300,000 masyarakat India yang tidak mendapat
hak kewarganegaraan.
Mereka masih menunggu kehadiran ribuan lagi rakyat dari seluruh negara yang bakal tiba dalam waktu terdekat.
Perarakan sejauh 500 meter menuju ke JPN di Presint 2 itu bakal berlangsung bila-bila masa dari sekarang.
Suasana gamat meledak Putarajaya ketika ini apabila peserta yang
kebanyakannya rakyat berketurunan India melaungkan tuntutan mereka.
Antaranya berbunyi “Mana tuntutan kami, mana IC kami”.
Mereka
juga membawa sepanduk replika IC merah bergambar Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein.
Selain itu, “Jangan nafikan hak kami sebagai rakyat Malaysia” dan “Berikan kad pengenalan biru dengan segera”.
Turut bersama-sama mereka, pemimpin Pakatan Rakyat antaranya,
penganjur himpunan, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dan Tian Chua.
Tidak ketinggalan, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng.
Hadir sama, Ahli Parlimen (MP) Kapar, S Manikavasagam; Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha; (MP) Kota Raja, Dr
Siti Mariah Mahmud, MP Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Ahli Majlis
Pimpinan Pusat KEADILAN, Khalid Jaafar.
“Kami juga akan berkhemah depan JPN dan tidak berganjak selagi
Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri tidak menyatakan aku janji
bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Surendran kepada Keadilan Daily.
Bercakap dalam kenyataan sebelum ini, Surendran dan dua lagi Naib
Presiden – Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar berkata, masalah tersebut
melibatkan semua rakyat dan menjadi kelaziman di kalangan rakyat
berketurunan India.
Menurut
mereka, sebahagian besar rakyat tanpa warganegara tersebut lahir
daripada ibu bapa rakyat Malaysia dan menjalani keseluruhan kehidupan di
negara ini.
“Berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, mereka merupakan
warga yang sah secara perundangan dan berperlembagaan,” tambah kenyataan
itu.
Kata mereka, kerajaan BN enggan mengeluarkan kad pengenalan biru
kepada golongan tersebut dan secara terang-terangan melanggar peruntukan
Perlembagaan Malaysia.
Surendran berkata, tindakan menafikan hak rakyat yang sememangnya
layak mendapat taraf kerakyatan adalah bertentangan dan memungkiri hak
asasi.
Katanya, ia adalah perkara yang serius kerana mengundang pelbagai masalah kepada kaum itu.
“Kita menggesa kerajaan agar hentikan diskriminasi terhadap mereka dan selesaikan segera perkara ini.
“Sebagai penduduk yang dilahirkan dalam negara dan menetap di sini
berpuluh-puluh tahun, sepatutnya mereka secara automatik diberi
kewarganegaraan.
“Penafian ini bukan sahaja memberi masalah kepada mereka, tapi juga
untuk anak-anak apabila tidak dapat bersekolah kerana bukan warganegara.
Mereka juga tidak memperoleh perkhidmatan dan faedah seperti masyarakat
lain kerana masalah ini,” katanya.
(Berita menyusul)
PASPB
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.