Followers

Wednesday, December 19, 2012

Pemdedahan Deepak: AMK Mahu Rosmah Disiasat

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pendedahan oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan baru-baru ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira 11.30 pagi tadi oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, ditemani Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin serta beberapa anggota.

Ia ekoran pendedahan Deepak 12 Disember lalu yang menceritakan secara teliti latar belakang akuan bersumpah kedua oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkaitan siasatan terhadap pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Deepak sebelum ini diketahui rapat dengan Rosmah yang disifatkan sebagai seorang kakak menyatakan, Datuk Seri Najib Razak turut terlibat dalam proses penyediaan akuan tersebut, dan ia adalah atas permintaan Rosmah.

Shamsul berkata, pendedahan itu menimbulkan beberapa soalan yang memerlukan siasatan polis.

“Apakah kepentingan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya sehingga mengarahkan Deepak agar memastikan pengeluaran akuan bersumpah kedua tersebut berlaku? Apakah penglibatan mereka?” soal Shamsul pada sidang media sebelum membuat laporan.

Menurut Deepak, Balasubramaniam menyatakan beliau dan keluarga diugut untuk membolehkannya membuat akuan bersumpah kedua tersebut.

“Sekiranya perkara ini benar, apakah peranan Najib, Rosmah dan adik Perdana Menteri, Nazim Razak dalam ugutan itu? Apa yang mereka mahu selindungi?” soal Shamsul lagi.

Sedangkan, Balasubramaniam turut menegaskan, hanya akuan bersumpah pertamanya yang sah.

Justeru katanya, ia turut menimbulkan persoalan apakah Najib tidak memberitahu perkara sebenar apabila beliau bersumpah tidak pernah bertemu Altantuya.

Siapa pula yang mengarahkan Altantuya dibunuh oleh pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Omara dan Cif Inspektor Azilah Hadri kerana ternyata mereka dijadikan ‘kambing hitam’, kata Shamsul.

“Deepak turut memberitahu, SPRM lebih berminat untuk menutup kes tersebut sebelum ini, Jadi apakah benar SPRM menutup siasatan kes tersebut?” sambungnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, AMK akan melancarkan 50,000 keping poskad ‘Tanya Sama Rosmah’ di program Himpunan Suara Anak Muda dekat Dataran Anak Muda, Petaling Jaya Selatan, 9 malam esok.

“Kita akan edarkan poskad mengandungi tiga soalan yang hanya Rosmah mampu jawab.

Poskad tersebut akan diedarkan ke seluruh negara dan dialamatkan kepada Rosmah.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak pun berpeluang mendapat penjelasan dari isteri Perdana Menteri itu,” jelas Shamsul.


 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.