Setelah hampir 40 tahun, Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan semasa
pemerintahan Tun Razak kini semakin hari semakin menuju jalan buntu.
Bayangkan sahaja, kesan inflasi ekonomi yang menerima tempias daripada
ketidakstabilan ekonomi global, krisis ekonomi Zon Eropah dan krisis
sub-prima di Amerika Syarikat tahun 2008 kini semakin terasa.
Misalnya
di Malaysia, jurang kemiskinan di antara golongan kelas rendah dan
tinggi semakin kelihatan. Dan, inflasi yang semakin menjadi-jadi secara
mendadak menambahkan lagi keperitan rakyat menjalani kehidupan seharian.
Mengikut perangkaan terbaru yang dikeluarkan, hampir 65% daripada rakyat
Malaysia mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan, 75%
daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM5,000
sebulan dan 90% daripada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada
RM10,000 sebulan.
Bumiputera terus tersepit?
Lebih aneh, majoriti kaum yang tersepit di bawah pendapatan isirumah di
bawah RM3,000 sebulan adalah kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan
Sarawak yang mendahului peratusan sebanyak 65-70%, diikuti kaum India
20-25% dan kaum Cina 10-15%.
Bukankah sepatutnya golongan ‘Melayu dan
Bumiputera Sabah-Sarawak’ mendapat manfaat daripada ‘tindakan affirmatif
berdasarkan kelas’ hampir 40 tahun ini mencapai ekuiti pembahagian
kekayaan negara sebanyak 30%?
Pada masa yang sama, kenaikan harga barang keperluan harian semakin
menjadi-jadi. Kos perumahan turut meningkat dengan ketara.
Boleh
dikatakan, kawasan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur serta
bandar-bandar satelit berdekatan mengalami kos perubahan yang mendadak.
Sehinggakan, kos perumahan melonjak pada tahap yang tak masuk akal.
Di Kuala Lumpur sahaja, kos anggaran untuk sebuah unit teres kini
bernilai lebih RM500,000 berbanding pada tahun 2008, anggaran kos untuk
sebuah unit yang sama, cuma sekitar RM250,000.
Hanya dalam masa beberapa
tahun sahaja, kos perumahan yang melonjak tinggi membebankan majoriti
warga kota yang berkerja dengan pendapatan isirumah di bawah RM3,000
sebulan.
Beberapa analisis terhadap Belanjawan 2013 yang baru sahaja dibentangkan
beberapa bulan lalu di Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib
Tun Razak menunjukkan betapa tidak bersungguhnya kerajaan Barisan
Nasional untuk memulihkan kembali kemapanan dan prestasi ekonomi negara
yang semakin hari, semakin merosot.
Berdasarkan belanjawan yang dibentangkan, bantuan dan subsidi yang
disalurkan lebih bersifat ‘one-off payment’ atau ‘pemberian satu-hala’.
Dasar sebegini jika terus diamalkan tanpa disiplin fiskal yang ketat
akan berterusan menjana defisit perbelanjaan yang tidak produktif.
Lantas, ia ditambah pula dengan kadar defisit perbelanjaan negara yang
berterusan selama bertahun-tahun menyebabkan jumlah hutang negara
semakin meningkat dan menghampiri ‘National Debt-Ceiling’ atau ‘Siling
Hutang Negara’.
Jadi, kadar pertumbuhan ekonomi di bawah kerajaan Barisan Nasional bukan
sahaja tidak produktif tetapi semakin tidak sihat dengan perbelanjaan
boros mereka.
Kemiskinan ketara meningkat
Kadar ketidakseimbangan pendapatan isirumah di Malaysia kini di tahap
yang cukup membimbangkan.
Indeks (GINI Coeffecient) pada tahun 2010
yang dijadikan sebagai mekanisme untuk mengesan jurang ketidakseimbangan
di antara golongan kelas rendah dan tinggi menunjukkan bahawa kadar
(GINI Coefficient) untuk Malaysia adalah sekitar 0.429 sekaligus
meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengalami jurang perbezaan
kekayaan kedua tertinggi di Asia selepas Singapura.
Manakala, menurut statistik yang dikeluarkan PEMANDU, Jabatan Perdana
Menteri pada tahun 2009 menganggarkan peratusan miskin tegar yang
disenaraikan sebagai mereka yang berpendapatan isirumah kurang daripada
RM800 sebulan hanyalah sekitar 3.8%.
Ini mungkin pada satu hal, tidak
kelihatan begitu merisaukan tetapi jika diambil kira pada realiti
sebenarnya, ada hal yang lebih merisaukan.
Misalnya, indeks kemiskinan global mensyaratkan bahawa mereka yang
berpendapatan isirumah di bawah RM2,500 sebulan adalah mereka di bawah
paras kemiskinan. Jadi, realiti ekonomi di Malaysia sebenarnya lebih
rumit daripada yang disangka-sangka.
Lihat sahaja sekiranya:
· Pendapatan di bawah RM800 (Indeks Paras Kemiskinan yang
ditetapkan PEMANDU) : 3.8% daripada Jumlah warganegara Malaysia. 60%
Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 25% India, 15% Cina.
· Pendapatan di bawah RM1,500 : 15-20% daripada jumlah
warganegara Malaysia. 65-70% Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 25-30%
India, 5-10% Cina.
· Pendapatan di bawah RM 2500 (Indeks Kemiskinan Global):
45-55.5% daripada jumlah warganegara Malaysia. 80-85% Melayu dan
Bumiputera Sabah-Sarawak, 10-17.5% India, 5-10% Cina.
Jadi, berdasarkan analisis di atas, kita mendapati bahawa majoriti
rakyat Malaysia berada pada paras kemiskinan global dimana hampir 45-55%
daripada mereka berpendapatan di bawah RM2,500 dan 65-70% daripada
mereka adalah golongan bumiputera Melayu dan Sabah-Sarawak yang
sepatutnya berhak mendapat ekuiti kekayaan negara sebanyak 30%.
Ini
membuktikan bahawa Dasar Ekonomi Baru yang digembar-gemburkan selama ini
hanyalah sandiwara kerajaan menutup kegagalan mereka memerintah selama
berpuluh-puluh tahun.
Jika diperhatikan semula, Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan melahirkan
golongan baru kelas menengah bumiputera melahirkan satu masalah baru
yang lebih merumitkan: iaitu menampakkan jurang perbezaan kekayaan di
dalam sesuatu kaum atau (intra-ethnic disparity) di mana menurut indeks
hanya 5.9% daripada jumlah rakyat Malaysia berpendapatan lebih
daripada RM10000 ini bertindak sebagai golongan kelas elit yang mengawal
ekonomi negara.
Tambah menyedihkan, pemilikan orang Bumiputera Melayu dan Sabah-Sarawak
yang tergolong sebagai sebilangan kecil golongan elit ekonomi ini
hanyalah pada purata 10%.
Jadi, dimana sebenarnya kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini? Adakah
orang Melayu dan Bumiputera ini yang sepatutnya dimanfaatkan daripada
dasar ini tertinggal daripada pembahagian kekayaan sebenarnya.
Kronisme, korupsi dan nepotisme
Tambah tragis, di bawah era pemerintahan Tun Dr. Mahathir, beliau
memperkenalkan pula dasar neo-liberal menerusi Dasar Penswastaan Negara.
Jadi, peningkatan kekayaan golongan elit kroni ini semakin meningkat
apabila mereka dianugerahkan kontrak-kontrak mega kerajaan berdasarkan
hubungan baik ‘rakan-rakan kerajaan’ seperti Tan Sri Rashid Hussin, Tan
Sri Halim Saad, Tan Sri Syeikh Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Vincent
Tan dan ramai lagi.
Mereka ini hanya sebilangan daripada kawan-kawan kerajaan yang bertindak
sebagai kuasa monopoli yang menentukan harga pasaran.
Deregulasi
ekonomi, peranan kerajaan yang terhad dalam urusan ekonomi negara
menyebabkan rakyat dibebani dengan kos peningkatan sara diri supaya
sebilangan kecil kroni dapat menjana keuntungan peribadi.
Lihat sahaja, apa yang berlaku di dalam isu perjanjian penjana tenaga
bebas (IPP) dengan syarikat-syarikat kroni seperti Tan Sri Syed Mokhtar
(MMC), Tan Sri Ananda Krishnan (Tanjung) dan mendiang Lim Goh Tong
(Genting) bertindak sebagai pemegang monopoli ekonomi sehinggakan
berjaya mengawal harga bahan api dan utiliti elektrik menyebabkan Tenaga
Nasional Berhad (TNB) terpaksa membayar harga yang mahal untuk
membekalkan kuasa elektrik.
Akhirnya, TNB yang dibiayai dengan duit cukai rakyat inilah yang
menanggung kos beban demi menjana keuntungan golongan-golongan ini
Isu rasuah yang semakin ketara menampakkan lagi bahawa kerajaan Barisan
Nasional sebenarnya tidak mampu lagi berselindung dan menyembunyikan
diri daripada ketirisan ekonomi yang dicipta oleh mereka.
Kesannya,
pelaburan langsung asing (FDI) semakin berkurangan. Malah Indonesia buat
pertama kalinya dalam tahun 2011 pada suku ke 2 (Q2) mengatasi jumlah
pelaburan langsung negara.
Kejutan demi kejutan seperti isu National Feedlot Corporation dengan
penyelewengan duit rakyat lebih RM250 juta, pemberian projek kepada
Konsortium George Kent untuk mega-projek MRT juga pengapungan saham
Felda Global Venture Holding (FGVH) merupakan sedikit
daripadabukti-bukti korupsi di depan mata yang hanya dibisukan oleh
kerajaan.
Kadar korupsi negara semakin hari menyebabkan ekonomi negara
semakin merosot dan pada akhirnya, rakyatlah golongan yang melata
kemiskinan akibat beban-beban ketirisan yang ditinggalkan kerajaan.
Quo vadis ekonomi negara?
Masa depan ekonomi Malaysia kini berada di persimpangan. Masalah
kelembapan ekonomi global kini semakin ligat kesannya dirasakan semua.
Tambahan, kegagalan dasar-dasar ekonomi kerajaan merumitkan lagi
kesediaan negara untuk mengharungi krisis ekonomi global di masa
hadapan.
Kegagalan 40 tahun Dasar Ekonomi Baru yang melahirkan jurang
perbandingan golongan kelas rendah dan kelas menengah menyebabkan
rata-rata daripada rakyat Malaysia terpukul dengan derita kemiskinan
yang berterusan.
Malah, rata-rata golongan yang sepatutnya menerima
manfaat penuh daripada dasar ini kini merupakan golongan yang paling
tertinggal di dalam mengejar kemajuan ekonomi negara.
Bagi pendokong Dasar Ekonomi Baru, mereka tak perlu menjerit, memaki
hamun kritikan terhadap dasar yang telah diseleweng dan disalahgunakan
sesama pemimpin kerajaan BN dengan kroni kapitalis mereka.
Yang perlu
adalah mengaku bahawa dasar itu sudah lama menghakis hak Melayu dan
Bumiputera kerana ia menjadi mainan para gergasi korporat dan pemimpin
besar serta kecil dari segala sudut UMNO dan BN.
Untuk rakyat jelata, kita hanya melihat Dilema Ekonomi Buntu yang mengkayakan pimpinan BN dan kroni kapitalis. – Roketkini.com
Nusajayakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.