KUALA LUMPUR, 28 Dis – Deepak
Jaikishan menarik kembali samannya terhadap Putrajaya diatas pelanggaran
perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor dan pada hari sama, syarikat
pelabur kerajaan membeli 80 peratus kepentingan dalam syarikat
pembangunan hartanah milik peniaga permaidani itu dengan RM30 juta.
Peniaga kontroversi yang membuat pelbagai dakwaan mengenai urusan
melibatkan Ketua Wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah
Abdullah, hilang semenjak 13 Disember.
Akhbar The Star melaporkan hari ini bahawa seorang pegawai
mahkamah mengesahkan ahli perniagaan kontroversi tersebut, melalui
peguamnya, menarik kembali samannya tanpa kos dalam kes syarikatnya
Astacanggih Sdn Bhd, yang menamakan syarikat kerajaan Tanah dan Harta
Sdn Bhd, Awan Megah (M) Sdn Bhd dan syarikat penama Cebur Megah
Development Sdn Bhd kerana didakwa melanggar perjanjian.
Peguambela Awan Megah Datuk Saseedharan Menon berkata permohonan
bertulis telah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dalam
perbicaraan Hakim Zabariah Mohd Yusof perbincangan perkara itu dengan
kedua-dua pihak berlaku di dalam kamar mahkamah semalam.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Astacanggih mendakwa Awan Megah
bersetuju dengan syarikat tersebut bahawa Kerajaan dan Syarikat Tanah
dan Harta bersetuju untuk memindahkan tanah di Bukit Raja kepada Cebur
Megah.
Ia berkata, pemindahan itu akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan
selepas Astacanggih mengemukakan bon tanah kepada Kerajaan. Tetapi ia
tidak pernah dilakukan, kata Deepak yang menjadi terkenal kerana
peranannya dalam mengatur kenyataan bersumpah kedua penyiasat
persendirian P. Balasubramaniam mengenai pembunuhan warganegara Mongolia
Altantuyaa Shaariibuu pada tahun 2006.
Dalam tuntutan balas, Awan Megah memohon perisytiharan bahawa Astacanggih telah menolak surat perjanjian.
Sementara itu, Bernama melaporkan unit pelaburan Lembaga Tabung
Angkatan Tentera, Boustead Holdings Bhd sudah memperolehi 80 peratus
kepentingan dalam Astacanggih Sdn Bhd dengan harga RM30 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Boustead berkata unit milik
penuhnya, Bakti Wira Sdn Bhd, memperoleh saham dari Prestige Dimensi Sdn
Bhd dan pemegang saham minoriti lain Astacanggih pada 20 Disember.
Bakti Wira Development dan Astacanggih juga menandatangani perjanjian
dengan Awan Megah semalam untuk memperoleh 80.94ha tanah pegangan bebas
di Klang,Selangor, dengan harga RM130 juta.
Boustead berkata pembelian saham dan pengambilalihan tanah akan
dibiayai melalui pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman,
menurut agensi berita nasional Bernama.
Mengenai rasional, Boustead berkata pengambilalihan itu akan
mengemukakan peluang bagi kumpulan itu untuk mengembangkan bank
tanahnya.
“Selain itu, tanah bersebelahan kepada 283.28ha tanah pembangunan
dibawah Jendela Hikmat Sdn Bhd, sebuah syarikat dimana kumpulan
tersebut dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera memegang 60 peratus
kepentingan ekuiti bersama-sama,” katanya.
Boustead berkata mereka optimistik dengan prospek tanah kerana kedudukan strategik lokasi.
“Permintaan bagi tanah perindustrian di lokasi ini meningkat dengan
siapnya stor penyimpanan terbaru UMW dan loji ujian di Bukit Raja,
Klang,” katanya.
Malaysia Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.