Followers

Friday, November 2, 2012

Tuan Haji Ahmad Zambri B Hj. Mohamad Ali, menerima Anugerah Khas Pendidik 2012

Raja Nazrin Shah Sempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Agama Negeri Perak

 Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari ini berkenan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah-Sekolah Agama negeri Perak 2012  yang berlangsung di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) dekat Ipoh, hari ini. 
 
Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) itu sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap kejayaan para pendidik dan pelajar, sekaligus menjadi pemangkin untuk memotivasikan diri ke arah kecemerlangan.

Hadir sama, Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim dan Exco Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid yang mewakili kerajaan negeri.

 

Sebanyak 17 katogeri anugerah diperkenalkan antaranya Anugerah Tokoh Khas Pendidik 2012, Tokoh Guru Tadika 2012, Guru Inovasi, Anugerah Khas Pencapaian Guru, Sekolah Inovasi, Pelajar Terbaik I’dadi, Pelajar Terbaik Thanawi dan Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Pesara guru, Tuan Haji Ahmad Zambri B Hj. Mohamad Ali, 77, menerima Anugerah Khas Pendidik 2012 di atas sumbangannya berkhidmat dalam dunia pendidkan termasuk selama 17 tahun di Sekolah Izuddin Shah, Ipoh.

Bercakap kepada pemberita, beliau yang mula berkhidmat sebagai pendidik pada 1956 menegaskan bidang pendidikan hari ini semakin mencabar seiring dengan perkembangan semasa.

“Saya sendiri tidak menjangka akan menerima anugerah ini selepas 22 tahun bersara dari dunia pendidikan yakni sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa saya yang pernah berkhidmat di Sekolah Izuddin Shah,” katanya lagi.
  
HJ. AHMAD ZAMBRI B. HJ MOHD. ALI

Beliau turut menasihatkan golongan pelajar supaya menyayangi ibu bapa dan guru untuk berjaya dalam kehidupan mereka.

Bapa kepada lima anak itu juga berkata, guru pada hari ini juga perlu bijak menggunakan cara atau pendekatan untuk berdamping dengan pelajar mereka.

Sementara itu, Muhammad Shahir Hassan Basri, 17, dari Maahad Tahfiz Quran Addin menerima Anugerah Hafiz Muda di atas kejayaannya menghafaz Al-Quran dan menyertai pertandingan hafazan di peringkat daerah dan negeri.

Beliau yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi turut dinobatkan sebagai johan katogeri Hafazan 1-15 Juzuk dalam pertandingan peringkat daerah bagi tahun 2012.

“Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Qiraat Tahfiz Universiti Al Azhar, Mesir selepas menduduki STAM,” katanya yang berjaya menghafaz 30 Juzuk Al-Quran pada usia 15 tahun.

Antara penerima anugerah kecemerlangan yang lain ialah Salasiah Ayub (Tokoh Guru Tadika 2012); Idris Abdul Talib (Guru Inovasi); Ahmad Rezaudin Hussein (Anugerah Khas Pencapaian Terbaik Guru); Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh (Sekolah Inovasi); Ku Faridah Ku Zahari (Pelajar Terbaik I’dadi); Afifah Husain (Pelajar Terbaik Thanawi); Mohamad Muhaimin Idris (Pelaljar Terbaik STAM); Nazifah Ahmad Nazri (Pelajar Terbaik STPM), Sekolah Rendah Agama Rakyat At-Taqwa (Sekolah Terbaik UPKK Tahun 2011) dan Madrasah Idrisiah Bukit Chandan (Sekolah Terbaik PMR dan SPM).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.