DELEGASI PKR SERAH
BUKTI BARU KEPADA ICAC UNTUK BUKA SEMULA KES RM40 JUTA MEMBABITKAN DATO’ SERI
MUSA AMAN
Delegasi PKR ke Hong
Kong mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan James To, pemimpin Parti
Demokrat di dalam Majlis Perundangan Hong Kong pada 21 November 2012.
Beliau
adalah Naib Pengerusi, Panel Keselamatan (Vice Chairman, Security Panel) Majlis
Perundangan Hong Kong yang bertanggungjawab memantau kebebasan dan keberkesanan
badan penguatkuasa undang-undang di Hong Kong, termasuklah Suruhanjaya Bebas
Mencegah Rasuah (ICAC).
Dalam pertemuan itu,
beliau telah mengaturkan supaya satu perjumpaan segera diadakan dengan
pegawai-pegawai ICAC untuk menerima bukti baru dari Malaysia berhubung kes
dakwaan rasuah RM40 juta yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Musa Aman.
James To juga telah
menyatakan sokongan beliau untuk membawa kes ini dan telah hadir bersama-sama
dengan delegasi PKR untuk menyerahkan bukti baru kepada ICAC pagi ini, jam 9
pagi.
Mengambil kira
kenyataan terbuka Kevin Zevros, Ketua Pendakwa Hong Kong bahawa beliau bersedia
untuk membuka semula siasatan sekiranya mendapat bukti baru, delegasi PKR telah
menyerahkan satu laporan (dan dokumen sokongan) mengenai 3 perkembangan baru
yang boleh membantu siasatan ini:
1. Kenyataan Dato’ Seri Lajim Ukin bahawa
beliau tidak pernah tahu menahu bagaimana Umno telah mendapat sumbangan derma
RM40 juta, seperti alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk
menghentikan siasatan ICAC
2. Kenyataan Dato’ Seri Wilfred Bumburing
bahawa beliau tahu wang RM40 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi
seseorang (bukannya akaun Umno) yang menguatkan lagi pandangan ramai bahawa
wang itu bukanlah derma kepada Umno
3. Pendedahan bahawa anak Dato’ Seri Nazri
Aziz telah mendapat habuan dalam bentuk sebuah kereta mewah menimbulkan
keraguan bahawa Dato’ Seri Nazri Aziz mempunyai kepentingan di dalam kes ini
yang boleh mempengaruhi kesahihan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa
Malaysia kepada ICAC
Delegasi PKR percaya
bahawa ketiga-tiga bukti baru ini mengesahkan bahawa dakwaan pihak berkuasa
Malaysia bahawa wang RM40 juta itu merupakan derma kepada Umno adalah tidak
benar.
Oleh kerana ICAC terpaksa menutup penyiasatan sebelum ini kerana pihak
berkuasa Malaysia memberikan gambaran yang tidak tepat, bukti-bukti baru ini
diharapkan dapat membuka semula kes RM40 juta membabitkan Dato’ Seri Musa Aman.
Selain dari
perbincangan mengenai ketiga-tiga perkembangan tersebut, delegasi PKR telah
bersetuju untuk menyerahkan lebih banyak bukti termasuklah bukti transaksi di
Hong Kong kepada ICAC dalam tempoh tiga minggu akan datang untuk membantu
siasatan ICAC.
Saya percaya isu ini
tidak akan mati seperti sebelum ini dengan sokongan dan minat yang ditunjukkan
oleh pimpinan Hong Kong dan media di sini. Misi delegasi ini telah pun mendapat
liputan di dalam media tempatan dan satu sesi penerangan khas kepada pihak
media akan diadakan pada jam 3 petang ini.
Dengan
perkembangan-perkembangan ini, saya berharap siasatan kes ini akan membuahkan
hasil. Sewajarnyalah pihak berkuasa di Malaysia pun menunjukkan minat dan
komitmen yang sama untuk menyiasat kes ini dengan sempurna.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
KEADILAN
22 NOVEMBER 2012Tukar Tiub
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.