Followers

Monday, November 26, 2012

PANAS! Agus Sanggah Kajian "Profesor Ulung"



Barisan Nasional (BN) setakat ini hanya selamat di 96 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula selesa dengan 68 kerusi sementara selebihnya akan menjadi perebutan di antara kerajaan pemerintah dan pembangkang dalam pilihanraya umum ke-13, kata seorang lagi ahli akademik pusat pengajian tinggi tempatan.

Jangkaan itu bermakna kedua-dua BN dan PR berhadapan dengan kemerosotan berbanding kerusi dimenangi empat tahun lalu.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohammad Agus Yusoff berkata, berdasarkan hasil kajian yang dilakukannnya yang bermula beberapa hari sebelum pembentangan Bajet 2013 dan impaknya selepas itu.

Sambil menghormati pandangan Profesor Ulung, Shamsul Amri Baharuddin, juga dari UKM, yang menjangkakan BN akan memperoleh lingkungan 120 kerusi jika pilihanraya diadakan sekarang, Agus berkata, beliau yakin dengan hasil penemuannya itu.

"Itu kajian dia. Biarkan. Saya juga buat kajian dan saya mendapati fakta yang berbeza, daripada segi kerusi memang berbeza tetapi dari segi pencapaian, hasil kajian menunjukkan lebih kurang.

"Kalau dia kata 120 kerusi, saya tidak mendapat begitu. Saya mendapati 96 kerusi bersih untuk BN dan 68 kerusi selesa kepada Pakatan Rakyat. Manakala selebihnya menjadi persaingan," katanya.


Dalam pertemuan itu, Shamsul berkata, kemenangan akan memihak kepada BN meskipun dengan majoriti yang semakin mengecil.

“... mereka akan dapat minimum 120 kerusi. Sekarang 140 kerusi, 24 kerusi kelabu, baki 70 kerusi Pakatan Rakyat... (pada keseluruhan) majoriti tipis,” katanya dalam satu temu bual menjelang Perhimpunan Agung Umno 2012.

Mengulas lanjut, Agus memberitahu, berdasarkan pemerhatian dan kajiannya yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, tidak ada mana-mana parti pun yang akan menang selesa kali ini.

"Tidak ada siapa-siapa pun lagi yang akan membentuk kerajaan dan menang tipis. Nak menang tipis kena ada 112 kerusi. Kalau kerusi yang lebih itu, BN menang, maka BN akan menang besar," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, strategi dan kerja kuat di saat-saat akhir ini amat penting kepada kerajaan dan pembangkang dalam meraih sokongan pengundi menjelang ibu kepada segala pilihan raya ini.

"Kedudukan sekarang ini ialah satu persaingan di antara semua parti yang bertanding, antara dua yang utama ini. Ia terbuka, bergantung kepada strategi akhir sebab di akhirnya masih ramai yang belum membuat keputusan, peralihan undi pertengahan akan berlaku, dan kedudukannya bergantung kepada strategi akhir," ujarnya lagi.

Tambah beliau, kerusi-kerusi yang kini disandang oleh wakil dari MCA dan MIC juga boleh dianggap sebagai kerusi yang terbuka dalam PRU kali ini.

Sementara ditanya mengenai kedudukan 'kerusi panas' di antara 96 kawasan yang dimaksudkan,  Agus berkata, "pada saya semua kerusi campuran itu panas dan malangnya ketika ini berdasarkan pindaan 2002, persempadanan semula itu kebanyakannya adalah kerusi campuran yang panas."



Nota:
Jika diteliti statistik Agus, BN memperolehi 96 kerusi selamat manakala Pakatan Rakyat 68 kerusi.

Ini bermakna hanya 164 kerusi selamat dipegang kedua-dua pihak daripada 222 kerusi, meninggalkan cuma 58 kerusi sahaja untuk direbut.

Jika dibandingkan dengan keputusan pilihanraya umum lalu, BN kehilangan lebih banyak kerusi iaitu 44 (140-96) berbanding Pakatan Rakyat cuma 14 kerusi (82-68).

Sebahagian besar kerusi parlimen yang akan dimenangi BN datangnya dari Perlis, Pahang, Terengganu, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak manakala Pakatan Rakyat dari Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan sedikit dari Johor, Sabah dan Sarawak.

Dari segi matematiknya, BN memerlukan 16 kerusi lagi untuk memperolehi majoriti mudah (112 kerusi) berbanding Pakatan Rakyat sebanyak 44 kerusi lagi bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Pun begitu, sebanyak 32 kerusi dalam pilihanraya umum lalu dimenangi BN dengan majoriti bawah 3,000 undi manakala Pakatan Rakyat 26.

Agus menganalisis berdasarkan faktor semasa yang lebih realistik berbanding Shamsul yang tidak pun menganalisis carta keputusan pilihanraya umum lalu dan perbandingannya pada masa sekarang.

Persoalannya, mampukah Pakatan Rakyat memperolehi 44 kerusi yang diperlukan itu?

Jawapannya, tidak mustahil tetapi mesti bekerja lebih kuat dari sekarang memenangi hati pengundi selain mengurangkan kesilapan terhadap sesuatu tindakan yang boleh memberi peluru kepada pihak lawan.

Benar, tiada pihak yang akan menang mutlak kali ini, seolah-olahnya tergantung di tengah-tengah Putrajaya.

Tetapi pedulikan analisa Agus dan kita perkuat jentera pilihanraya hingga 44 kerusi minimum yang diperlukan daripada 58 yang masih tinggal bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat.
Jalan Pulang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.