KEMALANGAN MUSIM CUTI: Beberapa kereta dan lori kelihatan saling
bertindih di antara satu sama lain dalam kemalangan teruk di lebuh raya
Texas, kelmarin. - Foto AP
BEAUMONT (Texas): Dua orang terbunuh manakala lebih 80 yang lain cedera
apabila sekurang-kurangnya 140 kenderaan bertembung di lebuh raya Texas
menyusuli kabus tebal, kelmarin.
Kejadian turut mengakibatkan kenderaan berat seperti trak dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.
"Ia adalah satu bencana buruk. Kelihatan kereta bertindih di atas kereta
lain," kata Timbalan Syerif Pejabat Daerah Jefferson, Encik Rod
Carroll, di sini.
Beliau berkata antara 80 dengan 90 mangsa telah dikejarkan ke hospital dengan lebih 10 daripada mereka dalam keadaan serius.
Menurut beliau, kemalangan yang berlaku sempena cuti sambutan Hari
Kesyukuran di Amerika Syarikat itu melibatkan antara 140 dengan 150
kenderaan.
Ia terjadi di 128 kilometer, timur Houston.
Encik Carroll berkata ketika kemalangan, keadaan kabus terlalu tebal
sehinggakan para pegawai polis yang tiba di tempat kejadian tidak sedar
kemalangan itu melibatkan begitu banyak kenderaan.
Menurut polis, dua mangsa yang terkorban merupakan penumpang kenderaan SUV yang terhempit akibat dilanggar sebuah treler.
Laluan lebuh raya itu hanya dapat dibuka semula selepas lebih lapan jam.
Encik Carroll berkata para pemandu yang tidak cedera antara mereka yang cuba membantu orang-orang lain yang cedera.
"Orang ramai saling bantumembantu antara satu sama lain. Apa yang paling
menggalakkan semasa musim perayaan ini ialah bagaimana para pemandu
lain membantu kami ketika kami kekurangan kakitangan.
"Mereka sama-sama duduk dan membantu mengenakan tekanan ke atas luka para pemandu yang cedera," kata Encik Carroll. - AP.
Kerajaan Rakyat
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.