KUALA LUMPUR:
Bekas ketua polis negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan menyelar cubaan
sesetengah pihak yang cuba mencetuskan spekulasi susulan keputusan
beliau menggugurkan kes saman ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim pada Isnin lalu.
Dalam
perbualan telefon bersama The Malaysian Insider malam tadi, Musa berkata
perbincangan dengan Anwar adalah berbentuk peribadi dan berharap pihak
tertentu berhenti daripada terus membuat pertikaian dalam isu tersebut.
“Kenapa mahu sibuk-sibuk hal saya? Ia adalah perkara peribadi antara saya dengan Anwar.
“Ini
cubaan sesetengah pihak yang cuba mencetuskan spekulasi dan saya
berharap tidak perlu pihak lain untuk terus mencampuri urusan saya
dengan Anwar,” kata Musa.
Kes
tuntutan saman ke atas ketua pembangkang tersebut telah ditarik balik
oleh Musa atas persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak dalam
perbicaraan yang berlangsung baru-baru ini di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur.
Musa
yang ditemui diluar mahkamah menerangkan keputusan untuk menyelesaikan
perkara tersebut diambil selepas beliau diberitahu berlaku “salah faham”
dalam peranannya di dalam kes saman tersebut.
“Saya
diberitahu terdapat salah faham tentang peranan saya di dalam kes yang
difailkan ke mahkamah ini melibatkan insiden mata lebam disebelah pihak
defendan.
“Jadi saya menerima cadangan untuk menyelesaikan perkara ini diluar mahkamah,” kata Musa.
Anwar
membuat laporan di ibu pejabat polis kontinjen Selangor pada 1 Julai
2008 dengan dakwaan Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail
telah mereka-reka keterangan dan menyembunyi beberapa fakta dalam
penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh KPN ketika itu, Tan Sri
Abdul Rahim Noor pada 1998.
Berikutan
itu, Musa menfailkan saman terhadap Anwar pada 21 Julai 2008 atas
alasan dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan
maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti
profesionalnya.
Dalam
pernyataan tuntutannya, Musa menafikan mengambil bahagian dalam
konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta
berkaitan serangan itu.
Musa
juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara
sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.
Ekoran
keputusan tersebut, pelbagai khabar angin tercetus antaranya dakwaan
bekas KPN tersebut akan menyertai PAS yang kemudiaannya dinafikan
beliau.
Baru-baru
ini beberapa pegawai tinggi kerajaan beragama Islam, termasuk bekas
ketua setiausaha, bekas pegawai-pegawai khas serta pesara polis dan
tentera menyertai PAS setelah menamatkan perkhidmatan mereka.
Antaranya
bekas Ketua Siasatan Jenayah Datuk Fauzi Shaari, bekas ketua setiausaha
Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof
dan bekas naib presiden Felcra Berhad Datuk Ramli Buyong.
Dalam
sebuah temubual eksklusif bersama The Malaysian Insider sebelum ini,
Musa telah memuji tindakan Fauzi menyertai PAS tetapi berkata beliau
tidak akan mengikut jejak yang sama.
“Selepas
ini, dia boleh mengajar PAS tentang undang-undang negara”, ujar Musa
mengenai Fauzi ketika itu, sambil menambah bahawa beliau telah menolak
lamaran dari sebuah parti komponen Pakatan Rakyat (PR).
Selain PAS, parti komponen PR adalah PKR dan DAP.
“Adalah
lebih baik untuk orang seperti saya (bekas Ketua Polis Negara) untuk
menjauhkan diri dari politik”, kata beliau kepada The Malaysian Insider
pada bulan Julai lalu.
-malaysianiInsider-
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.