Kumpulan
pendesak Melayu PERKASA hari ini membayangkan haram bagi umat Islam
untuk mengundi MCA dalam pilihan raya ekoran kenyataan terbarunya
berhubung hudud yang didakwa menghina Islam.
Setiausaha agungnya Syed Hassan Syed Ali berkata, walaupun PERKASA
memutuskan untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum depan, tidak
bermakna ketetapan itu tidak boleh berubah terhadap calon MCA.
"Soal
Islam, tiada kompromi daripada PERKASA. Haram umat Islam dalam PERKASA
memilih pihak yang menghina Islam," kata Syed Hassan.
"Sudah berkali-kali PERKASA ingatkan MCA supaya
jangan hina Islam dan mana-mana pihak pun jangan sesekali politikan
Islam. (Presiden MCA Dr) Soi Lek masih ada masa untuk tarik balik
kenyataannya itu sebelum terlambat.
Syed Hassan berkata, walaupun anggotanya tidak akan mengundi PKR atau
DAP, pasti terdetik di hati mereka ''pastinya haram bagiku memilih MCA
kerana mereka menghina agama Islamku, jadi apa perlu aku keluar
mengundi''.
Dr Chua semalam mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.
Memetik SMS oleh individu tidak dikenali, beliau menyenaraikan pelbagai
industri yang didakwa akan terjejas, termasuk resort perjudian Genting
Highlands, pusat pertaruhan dan rumah urut.
Apa tujuan Soi Lek?
Dalam kenyataannya hari ini, Syed Hassan juga membangkitkan persoalan
tujuan kenyataan Dr Chua yang menyentuh isu sensitif itu sedangkan
pemimpin veteran itu sudah lama bersama dengan "rakan Islam".
"Apakah kita mahu berlaku di sini? Umat Islam wajib pertahankan hukum hudud yang sebenar. Bukan hukum hudud ala PAS," katanya.
Menyentuh kenyataan Dr Chua itu, Syed Hasan membidasnya, hudud tuntutan
Islam tidak akan membuatkan rakyat hilang pekerjaan, malah memberi
banyak peluang pekerjaan.
Justeru, katanya lagi, Chua lebih baik berdiam diri kerana beliau didakwa tidak faham apa itu hukum hudud sebenarnya.
"Seorang bukan Islam adalah lebih baik tidak menyentuh hukum Islam
lebih-lebih lagi di Malaysia," katanya melalui SMS ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Syed Hassan juga mengingatkan supaya perkara sensitif tidak diusik,
termasuk yang melibatkan agama bukan Islam, kerana ia pasti mendatangkan
kemarahan pihak lain.
"Banyak terjadi di sesetengah negara luar, isu agama boleh jadi huru
hara sehingga bunuh membunuh antara penganut agama berlainan." katanya
lagi. ~mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.