Followers

Sunday, October 21, 2012

Koboi seksi jual lembu korban





GADIS koboi Doni bersolek dan menggunakan gajet bagi menjual lembu korban.
MENJELANG sambutan Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini, sebuah pusat penjualan lembu korban di Depok, Jawa Barat, Indonesia menampilkan kaedah pemasaran yang berbeza.
Jika kebanyakan pengusaha lain menjual lembu-lembu ternakan di kawasan ladang atau jauh dari penempatan, seorang usahawan kereta terpakai, Romdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi sebuah pusat penjualan lembu korban.
 
Lokasinya adalah di kawasan pekan Kelapa Dua iaitu jalan untuk menuju ke Universiti Indonesia yang terletak kira-kira 5 kilometer (km) dari situ. Ia tidak jauh daripada pusat komersial lain seperti kedai pakaian dan makanan.

Saiz ruang yang menempatkan lembu yang ditambat mengikut barisan itu pula kira-kira sebesar dua buah gelanggang bola tampar.

Jelas usahawan yang mesra disapa Haji Doni itu, dia membuat keputusan untuk mengubah suai ruang pameran kereta terpakai tersebut setelah mendengar rungutan daripada rakan-rakannya yang berdepan kesukaran membeli lembu korban.

“Ideanya sudah hampir tujuh tahun tercetus. Bilik pameran kereta, PT Dian Mobil diubah suai menjadi tempat mempamer sapi (panggilan kepada lembu di Indonesia) buat sementara waktu iaitu ketika musim korban.

“Dahulu saya perlu mengajak pembeli ke tempat penternakan untuk melihat lembu, tetapi ada yang merungut. Saya memilih cara ini pun kerana mahu memudahkan mereka,” kata Doni, 46.

Lebih menarik apabila Doni turut menggunakan khidmat gadis-gadis cantik dan seksi sebagai pegawai promosi jualan (SPG) atau terkenal dengan jolokan cowgirl.

SPG mengenakan seluar jean, baju kemeja dan topi ala koboi sepanjang menjalankan tugas. Tidak ketinggalan, mereka yang kelihatan seksi melepaskan rambut turut mengenakan solekan tebal sebagai daya tarikan.

Biarpun pada mulanya berasa tidak selesa bekerja di situ, Eka bersama tiga orang rakannya terpaksa menerima hakikat untuk sentiasa berada dalam suasana yang tidak selesa dan berbau demi tanggungjawab yang diberikan.

“Biasanya, saya berada di pusat pameran kereta yang dimiliki Doni juga. Lokasinya tidak jauh dari sini iaitu di Taman Mini Indonesia Indah (kira-kira 15 kilometer). Tetapi oleh kerana raya korban makin dekat, saya ditugaskan ke sini,” kata Eka.

Untuk tahun ini, Eka dan rakan-rakannya akan berada di pusat tersebut yang dikenali sebagai Mall Qurban oleh penduduk tempatan itu sejak 5 Oktober lalu hingga 25 Oktober ini.


MENURUT Doni, Hari Raya Aidiladha kali ini merupakan tahun terakhir dia mengupah gadis koboi kerana idea itu sudah ditiru di daerah-daerah lain.

Untuk bulan-bulan lain dia berkhidmat sebagai pegawai pemasaran di pusat jualan kereta terpakai milik Doni. Jelas Eka, dia perlu mengetahui maklumat lengkap mengenai usia, harga dan berat setiap ekor lembu untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan.

“Setiap seorang akan diberi sebuah iPad yang mengandungi maklumat lengkap. Kami hanya perlu klik pada ikon yang mewakili setiap ekor lembu yang dijual. Itu lebih memudahkan,” kata Eka.

Doni memperoleh idea tersebut ketika berkunjung ke Australia yang menggunakan tenaga kerja wanita.

“Saya ingin menunjukkan bahawa saya menjual haiwan yang berkualiti. Dari segi layanan pula saya dahulukan,” ujar Doni.

Seramai 15 orang gadis SPG memberikan khidmatnya kepada Doni untuk menguruskan pelanggan di tiga buah pusat jualan yang berbeza di daerah sama.

Sempena Aidiladha tahun ini Doni menyasarkan untuk menjual sebanyak 4,700 ekor lembu seperti tahun lalu. Tambah Doni, lembu tersebut dijual berdasarkan ukuran beratnya.

“Kalau sapi tempatan harganya kira-kira 98,000 rupiah (RM28) sekilogram. Jadi kalau beratnya 200 kilogram (kg), harganya sekitar 19.6 juta rupiah (RM6,232).

“Berbeza pula dengan sapi import kerana harganya dinilai per ekor iaitu antara 25 juta rupiah (RM7,950) hingga 100 juta rupiah (RM31,800) seekor,” katanya.

Lembu yang dijual di situ terdiri daripada pelbagai jenis iaitu baka tempatan yang termasuklah lembu bali, lembu brahman dan lembu kupang, manakala yang diimport pula berasal dari Australia dan Belanda.

Jelas Doni, kebanyakan pelanggannya memilih lembu jenis limosin kerana keadaan fizikalnya yang besar dan panjang seakan-akan kereta limosin. Dagingnya juga padat.

Pusat jualan yang lebih selesa dan mudah diakses itu sering menjadi tumpuan golongan korporat dan selebriti seperti Ustaz Maulana yang popular dalam rancangan televisyen Islam Itu Indah yang menggemari lembu limosin.

Pembeli lembu korban juga boleh menggunakan kaedah pembelian dalam talian apabila promosinya turut dijalankan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter.

Jelas Doni, tahun ini merupakan kali terakhir dia memasarkan lembu korban dengan menggunakan khidmat gadis koboi kerana ia telah ditiru oleh pengusaha lain.

– SYALMIZI HAMID
p a a p a a d a

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.