Beliau yang sebelum ini mengambil sikap berdiam diri, kini tampil mendedahkan empat projek di bawah kerajaan BN yang gagal sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri menanggung beban hutang yang banyak.
“Saya dan pegawai Kerajaan Negeri asyik diserang konon seleweng projek, kali ini saya dedahkan empat projek besar yang ada kaitan dengan penyelewengan kerajaan terdahulu. Adakah kali ini mereka akan nafi? Saya sudah letih tanggung beban (hutang) atas kesilapan kerajaan BN sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, projek yang dimaksudkan itu ialah projek 99 East Langkawi, ternakan udang di Kerpan, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Projek Jerai Internasional Park.
Azizan berkata, projek 99 East Langkawi bermula sejak 2007 dengan "joint venture agreement" dan "shareholders agreement" ditandatangani antara Kedah Corporation Berhad (KCB) dengan Terra Monda Development Pte Ltd pada Februari 2007, bagi membangunkan Bukit Malut membabitkan 144 hektar tanah Permodalan Kedah Berhad (PKB).
“Komposisi pegangan dalam usahasama ini adalah 80-20 peratus dengan Terra Monda (51 peratus dimiliki pelabur Swiss) dan 20 peratus KCB untuk membentuk syarikat yang dinamakan 99 East Langkawi Sdn Bhd.
“Melalui perjanjian itu, KCB perlu sediakan tanah dan seterusnya pindahkan tanah itu kepada 99 East Langkawi Sdn Bhd dan Terra Monda selaku pelabur akan biayai kos dan pelaksanaan pembangunan,” katanya.
Bagaimana pun, terma perjanjian itu didapati berat sebelah dengan nisbah keuntungan tidak seimbang, tambahan pula KCB menjanjikan tanah yang bukan miliknya.
“Pengurusan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) enggan memberi Power of Attorney kepada 99 East Langkawi demi untuk menjaga kepentingan Kerajaan Negeri. Itu kesilapan besar kerajaan BN sebab janji nak bagi tanah bukan miliknya, sebab itu kita tidak benar penyerahan tanah itu,” katanya.
Azizan berkata, projek ini ada kaitan dengan orang kanan politik BN ketika memegang jawatan Pengerusi KCB ketika Kedah diterajui Mahdzir Khalid.
“Sebahagian wang sudah dibayar kepada pengurusan dahulu, dan setelah dinilai semula ia tidak rasional untuk diteruskan. Kita sedang berunding dengan Terra Monda dari semasa ke semasa bagi menamatkan perjanjian secara amicable,” katanya.
Projek ternakan udang di Kerpan juga menemui kegagalan, di mana perjanjian pengurusan projek pada Disember 2007 dibuat antara Kedah Agro Industries Marketing Bhd (KAIMB) dan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB - 2012 diambil alih oleh SKS Reality Sdn Bhd ).
“Pada Jun 2012, KASB menang saman RM2.16 juta ke atas KAIMB, babitkan kos dan keuntungan bersih KASB layak terima daripada jumlah hasil jualan udang RM6 juta (2007), tetapi tidak dimasukkan dalam akaun projek itu,” katanya.
Azizan mempersoal ke mana hilangnya keuntungan terbabit yang sepatutnya diagihkan 60-40 peratus tetapi Kerajaan Negeri tidak pernah menerima duit itu.
“Keuntungan 40 peratus itu kita tak pernah terima, ini suatu penyelewengan. Sekarang Kementerian Kewangan mahu saman RM2 juta sebab agihan tidak dibuat, sedangkan kita pun tak terima. Saya harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat kes ini termasuk kerajaan BN terdahulu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mahu tahu ke mana hilangnya keuntungan itu di mana syarikat terbabit dikendalikan oleh individu yang rapat dengan bekas Menteri Besar sebelum ini.
“Peguam telah failkan rayuan pada Julai 2012 namun tarikh belum ditetapkan. KAIMB juga belum bayar apa-apa kepada KASB,” katanya.
Azizan turut kesal apabila kerajaan PR kini terpaksa membayar hutang RM11 juta kepada syarikat Long Island, ekoran kegagalan usahasama Yayasan Islam Negeri Kedah.
“Saya tidak terlibat dalam usahasama ini, tetapi sebagai Menteri Besar sekarang, saya perlu lunaskan tuntutan sayarikat itu. Kita terpaksa tebang balak untuk bayar hutang kerajaan BN sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, kes ini membabitkan usahasama dengan syarikat Cayman Development, atas tanah 200 ekar di Tandop untuk bangunkan kawasan industri dan perumahan.
“Cayman gagal laksana dan ketika itu Syed Razak arahkan projek diserah kepada pemaju lain iaitu Long Island untuk tebus tanah dari bank. Ada 15 lot industri tak terlibat akhirnya dibuat perumahan dan Long Island saman kita sebab tanah itu masih hak dia,” katanya.
Azizan berkata, apabila disiasat, pegawai berkenaan mengatakan mereka diarah pemimpin politik ketika itu menyebabkan tanah berkenaan tidak diubah syarat di mana dua geran untuk satu tapak.
Projek lain yang turut menimbulkan keraguan ialah Projek Jerai Internasional Park di Tupah atas tanah 1145 ekar, usahasama antara syarikat dari Qatar dengan PKB.
“Berdasarkan perjanjian 40-60 (PKB/Qatar), tetapi PKB tak lantik perunding untuk tindakan lanjut menyebabkan mereka tuntut RM2.2 juta kerana tidak patuhi perjanjian. Kes ini masih dalam rundingan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.