KUALA
LUMPUR 10 September: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berikrar akan
terus membongkar skandal Scorpene walaupun kerajaan mengenakan pelbagai
tekanan ke atas NGO hak asasi itu.
Pengerusi Eksekutifnya, E Nalini berkata, Suaram ditubuhkan untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan mereka tidak akan berkompromi selagi penindasan serta ketidakadilan wujud di negara ini.
“Kami melaksanakan tanggungjawab hak asasi manusia bukan semata-mata mementingkan diri sendiri. Sudah 23 tahun kami beroperasi dan selama ini tiada kekangan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyelar kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya akaun Suaram mencurigakan, sedangkan siasatan ke atas NGO itu masih belum selesai.
Menurut Nalini, kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu bertujuan mencemarkan nama baik Suaram selepas pihaknya memfailkan kes penyelewengan Scorpene di Mahkamah Perancis.
“Suaram mematuhi sepenuhnya akta syarikat dalam setiap urusan. Malah akaun kita juga diaudit setiap tahun. Jelas bahawa ia adalah tindakan terdesak kerajaan untuk menjatuhkan Suaram dan menghentikan kami mendedahkan bukti berkaitan skandal Scorpene,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Umno BN memperalatkan agensi kerajaan dan penjawat awam untuk menjatuhkan Suaram.
Tambahnya, tindakan itu juga merupakan usaha untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kegiatan dan akaun dua syarikat yang didedahkam melalui siasatan di Paris – Perimekar Sdn Bhd dan Terasasi Sdn Bhd yang kini masih belum disiasat.
Kebelakangan ini, kerajaan mengenakan pelbagai tekanan kepada Suaram selepas badan hak asasi itu bertindak memfailkan kes untuk diadakan siasatan terhadap skandal pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.
Terbaru, Suaram dituduh menerima sumbangan dana daripada George Soros, iaitu spekulator matawang yang pernah menyebabkan ekonomi Malaysia merudum.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.