Aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang juga pengarah eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah telah dipanggil oleh OCPD Dang Wangi dipercayai berkenaan dengan program NGO Gabungan Janji yang akan berhimpun di Dataran Merdeka dan beberapa negeri lain pada malam ambang merdeka.
Gabungan Janji dianggotai oleh 47 NGO dan Empower adalah salah satu daripada anggotanya.
“Maria Chin diminta oleh polis untuk melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD)Dang Wangi jam 2.00 petang esok.
“Dia akan ditemani oleh peguam dari Empower,” kata Hishamuddin Rais, jurucakap kepada Gabungan Janji ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Pada 30 Ogos ini dimalam ambang kemerdekaan, Gabungan Janji akan berhimpun di Dataran Merdeka dengan berbaju kuning.
Dalam sidang akhbar Jumaat lalu, Gabungan Janji memberitahu bahawa perhimpunan pada malam ambang kemerdekaan akan turut diadakan di negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Perhimpunan ini bertujuan untuk menuntut kerajaan menunaikan lapan tuntutan Bersih seperti pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, kempen pilihan raya sekurang-kurangnya 21 hari, akses media yang adil kepada semua pihak, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Ketika dihubungi, Maria mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi oleh polis pada Jumaat lalu untuk bercakap tentang program Gabungan Janji.
“Polis hubungi saya Jumaat lalu pada sebelah petang.
“Mereka nak tanya tentang program Gabungan Janji seperti yang kami umumkan dalam sidang akhbar pada sebelah pagi,” kata Maria.
Menurut Maria, beliau akan ditemani oleh peguamnya, Honey Tan yang juga merupakan anggota Empower.
Sasterawan negara, A. Samad Said yang juga pengerusi bersama Bersih akan membacakan sajak khas pada malam ambang kemerdekaan tersebut di Dataran Merdeka.
Pada 28 April lalu, perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil dicemari dengan insiden keganasan.
Kawat dawai yang dipasang untuk menghalang perserta masuk ke Dataran Merdeka dipecahkan menyebabkan gas pemedih mata mula ditembak.
Jalan Pulang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.