Followers

Thursday, August 2, 2012

Slogan, lagu dan logo Medeka: Siapa sabotaj Najib? Oleh Izmil Amri

RAIS Yatim dah kencing Najib.. 


Bagaikan trisula menikam sanubari rakyat Malaysia, trio logo dan lagu Hari Merdeka serta kostum yang diperagakan kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik pastinya akan mengekalkan parut untuk sekurang-kurang dua tiga tahun lagi. Barangkali sehingga rakyat puas mencemuh. Dan itu tidak boleh ditentukan bila penghujungnya.

Kostum dengan motif harimau yang diperagakan atlit negara di majlis pembukaan Sukan Olimpik telah dinobatkan sebagai antara kostum paling buruk dalam laporan berita Yahoo!

Seolah-olah sudah tidak ada motif lain bercirikan Malaysia yang boleh digunakan supaya kontinjen negara segak bergaya di pentas antarabangsa. Seolah-olahnya rakyat Malaysia ini tidak punya nilai dan selera budaya yang internasional. Macam kita ini semua suka yang buruk belaka.

Sama kesnya dengan hal logo Hari Merdeka. Isu logo hari Merdeka – meski sudah ditarik balik rekaannya itu secara kelam kabut oleh pihak pemerintah, adalah penghinaan maha besar kepada selera dan intelek rakyat jelata. Ini jelas kelihatan di kalangan komuniti media sosial yang kebanyakannya terdedah kepada aplikasi rekaan grafik digital.

Slogan

Apalagi dengan kemampuan carian gambar di Google yang membolehkan kita mencari logo-logo hari kemerdekaan negara-negara lain untuk dibuat perbandingan. 
 
Malu yang ditanggung amatlah besar. Ini belum dikira malu yang ditanggung setelah mendapati bahawa Singapura, pada sambutan kemerdekaannya pada tahun 1990 pernah menggunakan slogan ‘One People, One Nation, One Singapore’ (Satu Rakyat, Satu Negara, Satu Singapura).

Kita harus sedia tahu bahawa tema hari kemerdekaan ini bukan benda remeh. Cuba kalau kumpulan ultra-Melayu yang bernama Perkasa ubah slogannya kepada ‘Bersama Makan Buah-buahan Tempatan’, bukankah lari jauh maksud penubuhan organisasi tersebut? Jadi slogan harus selari dengan pertubuhan.

Kita harus pergi kepada persoalan akar umbi yang mencetus kontroversi tema, logo dan lagu Hari Merdeka tahun ini; tidak lain tidak bukan berpokok pangkal kepada Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Rais Yatim, dikenali ramai dalam rangkaian media sosial sebagai ‘#yorais’; setelah dengan cemerlang meletakkan dirinya sebagai ‘trending topic’ di laman Twitter berikutan komen beliau bahawa Twitter dan Facebook adalah alat dunia Barat yang akan menghakis budaya Malaysia. 
Beliau kemudiannya meneruskan legasi di alam cyber dengan pelbagai langkah-langkah sekatan yang cuba membungkam kebebasan rakyat di internet.

Lagu

Dan tulisan liriknya untuk lagu tema Hari Merdeka tahun ini barangkali seperti peribahsa Arab yakni menjadi jerami terakhir yang mematahkan belakang unta; dan memperlihatkan betapa lekehnya insan ini sebagai menteri propaganda untuk Barisan Nasional.


Untuk faedah mereka yang tidak begitu ambil berat tentang salah silap menteri Barisan Nasional, saya hadirkan di sini bait-bait syair karya agung yang ditulis Rais Yatim dalam usaha beliau untuk kekal relevan dalam politik transformasi anjuran Menteri Perdana Najib Razak. Rais menulis:
Macam malam ikut siang,
Macam bulan ikut matahari,
Satu Malaysia terus berjuang,
Janji kita ditepati,
Kata kita dikota,
Janji kita ditepati,
Hidup rakyat dibela,
Masa depan diberkati,
Janji sudah ditepati,
Kini masa balas budi.

Eh! ‘Janji sudah ditepati, Kini masa balas budi’? Ewah-ewah indahnya bahasa. Ayat terakhir itu mungkin faktor utama kenapa video lagu itu di Youtube menerima undi tidak suka paling epik dalam sejarah.

Setakat waktu rencana ini ditulis, video pertama dalam carian ‘janji ditepati’ di Youtube sudah ditonton 110,210 kali dengan 222 undi ‘suka’ dan 12,956 undi ‘tidak suka’. Pautan kedua dalam senarai itu lebih parah. 169,824 kali ditonton; 265 yang suka, 19,700 tidak suka. 
 
Selebihnya barangkali tidak mengundi suka atau tidak, dan terus tutup tetingkap selepas baris ‘Kini masa balas budi’.

Pautan ketiga daripada senarai langsung terus tidak membenarkan pengundian dan komen. Takut, mungkin.

Kenapa begitu ganas sekali daya tolakan rakyat terhadap propaganda si Rais ini? Apa salahnya kalau ‘Janji Ditepati’? Bukankah Barisan Nasional dikatakan telah berjaya menepati janji-janjinya memajukan negara? 
 
Bukankah Utusan Malaysia dan TV3 sudah membuktikan betapa agungnya Barisan Nasional? Kenapa masih ditolak tema itu?

Adakah kerana melodi lagunya itu diplagiat daripada lagu ‘Tuhanku Maha Besar’ yang menurut Youtube, telah dinyanyikan di majlis “Ibadah Peringatan Kenaikan Tuhan Yesus Kristus ke Surga” pada 21 Mei 2009 di Jalan Lengkong Kecil 34 -36 Bandung, Indonesia?

Apa pula kata Perkasa dan Hasan Ali dengan hakikat ini? Adakah wujud pula konspirasi mahu menubuhkan negara Kristian dengan lagu melodi saduran itu sempena Hari Merdeka kita?

Logo

Segala bobrok dan celaka yang terpalit dengan pembikinan lagu ini tambah membusuk apabila dipasangkan dengan logo yang barangkali dibuat guna Microsoft Word dalam jangkamasa kurang tiga minit itu.


Pihak pemerintah walau bagaimanapun akhirnya akur dengan tekanan dan menggantikan logo yang maha buruk itu dengan logo 1Malaysia, sama seperti tahun sudah dan tahun sebelum itu.

Kata Rais Yatim, langkah itu diambil bagi membendung salah faham yang timbul. Tidak, Rais; kami tidak salah faham. Kami faham sangat bahawa logo tersebut telah direka secara malas, dan dipamerkan kepada rakyat jelata tanpa segan silu.

Tidak susah untuk faham propaganda ‘Janji Ditepati’ yang cuba dihidangkan kepada rakyat. Tidak ada salah faham di situ. Namun mesejnya akan jauh lebih jelas jika diletak sekali logo Barisan Nasional dengan saranan supaya parti tersebut terus diundi pada pilhanraya umum yang nampak gayanya hanya akan berlangsung tahun hadapan.

Sabotaj?

Ini membawa kita kepada persoalan seterusnya:
Adakah Rais Yatim sedang cuba mensabotaj perancangan Najib Razak?

Kita tahu Rais Yatim pernah dahulu duduk bersama oposisi, di zaman beliau begitu tidak percaya kepada media arus perdana. Pastinya Rais masih ingat kata-katanya di dalam ceramah Semangat 46 dahulu. 
 
Katanya, “Tuan-tuan dengar lah. Tapi kalau dengar daripada tivi-tiga, mungkin lain bunyinya. Kalau dengar dari ar-ti-em, jangan katakan lain bunyi, langsung tak berbunyi”. Inilah insan yang akhirnya kini menjabat portfolio propaganda dalam pentadbiran Najib Razak.

Apakah Rais Yatim tidak perhati baik-baik senarai tema Hari Merdeka yang ada di Wikipedia (kalau dia cari tak jumpa di pejabatnya itu)? 
 
Apakah Rais tidak menilai aspek bahasa dan mesej yang mahu disampaikan kepada sekian banyak pengundi yang mahu ditarbiahnya supaya memangkah logo dacing? 
 
Penyudahnya ‘Janji Ditepati’ dan ‘kini masa balas budi’ yang dipilih?

Bukankah baik jika mencontohi bahasa yang baik dalam tema tahun 1978 contohnya, “Kebudayaan Sendiri Perpaduan”. Atau mengikut trend bermula 1979 sehingga 1982 yang mengekalkan kata ‘disiplin’ di dalam temanya.

Rais Yatim harus jawab, apa sebenarnya yang sedang cuba beliau lakukan kepada kempen politik Najib Razak.

Apakah beliau juga bertanggungjawab terhadap rekaan kostum hodoh kontinjen Malaysia di sukan Olimpik? Saya harap tidak. –  
 
 
 
Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.