Followers

Tuesday, August 14, 2012

Kempen Internet Blackout rakyat Malaysia

Mansuhkan 114A

Blog ini akan dihitamkan selama 24 jam untuk memberi sokongan penuh kepada kempen #stop114A oleh Centre for Independent Journalism (CIJ) Malaysia.

Gua sudah menghitamkan blog ini selama:

Apa itu 114A?

Ia adalah satu pindaan kepada Akta Keterangan 1950, ia menetapkan yang mana para pengguna Internet akan bertanggungjawab terhadap sebarang kandungan yang dihantar ke internet melalui rangkaian ataupun peranti mereka. 

Secara ringkasnya, sekiranya seseorang pengguna menghantar komen pada blog anda, halaman Facebook Page anda, tweetjack akaun Twitter anda, mahupun dengan “menumpang” talian WiFi anda, maka anda akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang perkara yang dikongsikan melaluinya.

Selain daripada itu, ia juga mengatakan yang mana sekiranya seseorang memulakan halaman Facebook, Twitter, blog mahupun sebarang perkara menggunakan nama dan gambar anda dan menerbitkan kandungan yang bertentangan dengan undang-undang serta memfitnah seseorang melaluinya, maka anda akan didapati bersalah, dan perlu membuktikan sebaliknya.

Anda mungkin akan menghadapi masalah sekiranya:

- Anda mempunyai blog, dan seseorang pembaca menerbitkan komen, maka anda akan dianggap sebagai menerbitkan komen tersebut.

- Anda mempunyai halaman Facebook Pages, dan seseorang pengguna menghantar komen atau menerbitkan sesuatu pada Wall, maka anda akan dianggap sebagai menerbitkannya.

- Seseorang menggunakan tablet atau telefon pintar anda untuk menghantar sesuatu yang tidak baik, maka anda akan dianggap sebagai yang menerbitkannya.

- Seseorang menggunakan komputer anda atau laptop anda untuk menerbitkan sesuatu pada internet, maka anda akan bertanggungjawab atasnya.

- Seseorang menceroboh ke talian WiFi anda dan menghantar pelbagai perkara yang bertentangan dengan undang-undang di internet, maka anda akan bertanggungjawab ke atasnya.

- …dan pelbagai perkara yang berkaitan.

Dalam arena digital dan elektronik ini, semestinya ia boleh dikatakan perkara ini salah satu perkara yang sukar untuk direalisasikan. 

Apatah lagi memandangkan pada halaman Facebook dan Twitter sesiapa sahaja boleh menggunakan nama dan gambar orang lain, dan berlakon seperti mereka.

Sebagai contoh, pada hari ini, akaun Facebook Pages untuk seseorang artis mahupun ahli politik sahaja, terdapat lebih daripada satu akaun untuk mereka, yang mana dimulakan oleh peminat dan juga penyokong. 

 Sekadar perbandingan, akaun Facebook milik Najib Razak apabila dilakukan carian, secara kasar, terdapat lebih daripada 10 akaun, sekaligus menjadikan beliau bertanggungjawab terhadap kesemua akaun tersebut sekiranya sesuatu yang tidak sepatutnya diterbitkan, sehinggalah beliau membuktikan sebaliknya.

Mengapa anda patut menyokong kempen ini?

1. Akta tersebut bertentangan dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang tidak bersalah selagi belum dibuktikan kesalahannya. 

Seksyen 114A yang baru diperkenalkan itu boleh mengakibatkan seseorang disabit secara salah dan menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.

2. Akta tersebut juga menjadikan pihak yang membekalkan perkhidmatan di internet seperti blog, forum dan pengehosan web bertanggungjawab sepenuhnya atas segala isi kandungan yang tersiar atau tersimpan di dalam perkhidmatan tersebut. 

Pengenalan akta ini boleh menyebabkan ruangan komen pada blog dan laman web yang mempunyai peranan penting dalam dunia interaktif dibuang.

3. Akta yang diperkenalkan ini mengancam kebebasan berinternet kerana tanggapan atas kesalahan yang belum dibuktikan boleh menakut-nakutkan pengguna-pengguna internet yang memanfaatkan internet sebagai satu medan interaktif untuk perbincangan mengenai demokrasi. 

Akta ini juga menghindarkan pengguna internet daripada mengutarakan pendapat bernas mereka.

4. Akta yang baru diperkenalkan ini juga membolehkan para penggodam dan penjenayah internet bermaharajalela kerana beban kesalahan kini terletak di bahu pihak yang akaun atau komputernya digodam. 

Secara tidak langsung, para penggodam dan penjenayah siber akan dilindungi oleh akta ini kerana hanya individu yang menjadi mangsa mereka sahaja yang akan disabit kesalahan.

5. Akta tersebut mengurangkan kebebasan individu untuk mengelakkan identiti mereka diketahui ramai. Kebebasan tersebut penting untuk memastikan internet kekal bebas dan terbuka. 

Penyembunyian identiti juga penting untuk melindungi individu daripada sesuatu yang boleh membahayakan keselamatan mereka contohnya dalam kes keganasan rumahtangga. 

Selain itu penyembunyian identiti juga akan memastikan pemberi maklumat tidak akan diapa-apakan oleh pihak berkuasa apabila mereka membongkar kes penyalahgunaan kuasa.

6. Akta ini merupakan akta yang tidak digubal dengan baik kerana penggubalan dibuat secara tergesa-gesa tanpa penglibatan rakyat dan tidak menghiraukan kehendak awam.

Apa yang kita mahu?

Kerajaan mesti memansuhkan Seksyen 114A.

Pencacai-Semalaysia.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.