Umi Hafilda kecewa Pak Lah menggantung keahliannya sebagai ahli Umno Gombak.
PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Umi Hafilda Ali mendakwa Datuk
Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana
Menteri kerana sepucuk surat yang ditulisnya kepada Tun Dr Mahathir
Mohamad pada 2008.
“Kalau saya tidak tulis surat tersebut sudah tentu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri.
“Tetapi kerana sepucuk surat saya kepada Dr Mahathir mengenai perilaku Anwar, mereka berdua (Abdullah dan Najib) telah menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Bagaimanapun, Umi agak kecewa kerana kedua-kedua pemimpin besar itu seolah-olah telah melupakan jasanya.
Katanya, Abdullah telah menggantung keahlian Umno beliau dari sebuah cawangan di Gombak.
“Itu yang menyebabkan saya marah sangat kepada Pak Lah,” katanya.
Bagaimanapun, adik kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menjelaskan penggantungan keahliannya telah ditarik balik.
“Mana mungkin Najib tidak ingat dalam perjuangan saya yang menyebabkan saya dimaki hamun dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan semata-mata kerana saya melawan Anwar,” katanya.
Mana menteri?
Namun, Umi juga meluahkan rasa kecewa Umno tidak membantunya berkempen menentang Azmin dan Anwar sebagaimana yang dilakukan sekarang.
“Mana menteri, mana wakil-wakil rakyat yang turun berceramah menjelaskan kepada rakyat mengenai pembohongan Anwar dan Azmin,” katanya lagi.
Umi juga mendakwa, ceramahnya lebih berjaya dari pemimpin Umno lain kerana dibanjiri ribuan orang setiap kali diadakan.
“Ceramah saya di Besut (Terengganu) dihadiri 10,000 orang, manakala di Pasir Putih (Kelantan) di kawasan pembangkang dihadiri 8,000 orang.
“Mana ada pemimpin Umno yang boleh mengadakan ceramah seperti saya,” kata Umi lagi.
Dalam pada itu, Umi menafikan beliau melakukan semua itu kerana diarah
oleh Umno. Menurutnya, jika semua yang dibuat kerana arahan Umno sudah
tentu Dr Mahathir membantunya semasa ditahan di dalam lokap dahulu.
Umi mendakwa beliau ditahan oleh anggota polis atas arahan Anwar setelah
beliau mendedahkan aktiviti pemimpin Pakatan Rakyat itu kepada Dr
Mahathir.- RM
Shalehudin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.