SHAH ALAM : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) seharusnya
memberi laluan kepada Kerajaan Negeri untuk mengurus industri air di
Selangor kerana gangguan bekalan seperti pencatuan dan tekanan rendah
akan memberi kesan kepada wanita dan keluarga.
Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi,
Rodziah Ismail berkata, wanita yang kebiasaannya menjadi nadi
rumahtangga memerlukan bekalan air sempurna saban hari agar pengurusan
rumahtangga sempurna.
“Syabas tidak pernah meminta pandangan Kerajaan Negeri, jauh sekali
untuk berbincang mengenainya. Senario ini sekaligus memberi kebimbangan
kepada kaum wanita khususnya, apabila air dicatu di bulan Ramadan.
“Urusan rumahtangga terganggu. Anak-anak tidak terurus sehingga amalan ibadah juga turut terganggu.
“Ia boleh melibatkan soal-soal kesihatan dan perkara-perkara lain yang akan timbul akibat penawaran air yang terganggu tanpa alasan yang benar,” Rodziah berkata di dalam kenyataan medianya semalam.
Mengikut perjanjian konsensi 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta,
dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi rawatan dan edaran air di
Selangor.
Kerajaan Negeri mahu mengambilalih operasi itu daripada Syabas kerana
syarikat itu dilihat tidak mampu mengurus bekalan dan edaran air
terawat dengan baik.
Akan tetapi, pada Julai 23, kerajaan pusat tidak meluluskan permintaan Kerajaan Negeri.
“Suatu pendekatan memberi kebajikan dan keselesaan rakyat tanpa
pembaziran dan kos yang berlebihan adalah terbaik untuk rakyat Selangor
di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Justeru, Syabas diingatkan supaya tidak menjadi dalang utama dengan
cuba menyekat bekalan air di Selangor terutama di bulan Ramadan untuk
kegunaan rakyat.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.