ALOR SETAR - Hajat seorang warga emas memakai gelang tangan emas Korea
pada pagi Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia maut dikelar di
rumahnya, di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, malam tadi.
Mangsa, Halimah Yunus, 66, ditemui terbaring lemah dengan kesan kelar
di leher kiri di bilik tidurnya, sekitar 9.20 malam, dipercayai
dilakukan individu tidak dikenali selepas rumahnya dipecah masuk.
Arwah ditemui berlumuran darah oleh suaminya, Mee Hashim, 63, yang
ketika itu baru pulang dari menunaikan solat terawih di surau
berdekatan.
Arwah dikejarkan ke Hospital Sik namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Mee berkata, sebaik tiba di rumah pada malam kejadian, dia memanggil
nama isterinya dan ketika memasuki bilik tidur, alangkah terkejutnya
apabila arwah memberitahu dia ditikam individu tidak dikenali.
“Arwah tidak pergi ke surau kerana kurang sihat dan sakit penat
beberapa tahun lalu. Arwah berseorangan di rumah ketika itu. Sebaik
melihat keadaan arwah, saya berlari minta pertolongan jiran dan terus
menghantar arwah ke Hospital Sik,” katanya ketika ditemui di pekarangan
bilik mayat, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.
Menurutnya, arwah yang juga bekas Ketua Wanita Umno cawangan Kampung
Bukit Hangus sekitar 90-an, dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit
Hangus, selepas Asar, semalam.
“Inilah kejadian pertama rumah kami dipecah masuk sejak tinggal di
rumah dua tingkat ini lebih 20 tahun lalu. Saya dapati ada kesan umpilan
pada pintu bilik air di tingkat bawah,” katanya.
Mee berkata, kali terakhir dia bercakap dengan arwah adalah sebelum ke surau untuk solat maghrib.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami tinggal di rumah
berdua sahaja kerana anak perempuan tunggal tinggal di Sungai Petani
bersama suami dan anaknya,” katanya.
Anak pasangan itu, Nurliza Mansor, 46, terkilan kerana tidak sempat
menghadiahkan arwah sehelai jubah kelabu yang telah dibelinya, berserta
seutas gelang yang diidamkan arwah untuk dipakai pada pagi Aidilfitri.
“Saya sudah janji pada arwah belikan jubah dan saya mahu kejutkan dia
dengan hadiah ini esok (hari ini). Saya juga berhasrat hadiahkan gelang
kerana sebelum ini arwah ada kata teringin nak pakai gelang. Nampaknya
semuanya tinggal kenangan buat kami,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia dan keluarga berjumpa arwah Rabu lalu ketika menziarahi arwah yang kurang sihat.
“Arwah gembira jumpa tiga cucunya, tetapi tidak pula tunjukkan sebarang
perubahan. Kami redha dengan ketentuan Ilahi, ALLAH SWT lebih sayangkan
arwah,” katanya.
Sementara Ketua Polis Daerah Sik, DeputiSupritendan Mohd Ismail
Ibrahim mengesahkan kejadian dan kes disiasat bawah Kanun Keseksaan 320.
“Laporan awal mendapati arwah meninggal dunia dalam perjalanan ke
hospital akibat kesan kelar di bahagian leher kiri. Polis tidak
menjumpai senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan dipercayai
dikelar menggunakan senjata tajam,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian itu, barang kemas yang dipakai arwah tidak
diusik malah bilik itu tidak digeledah, termasuk pakaian yang dilipat
kemas.
“Tiada barang kemas atau wang dilaporkan hilang. Motif pembunuhan juga
masih disiasat. Jarak rumah mangsa dengan jiran sekitar 200 meter dan
dalam kejadian itu, tiada saksi yang melihat atau mendengar sesuatu
mencurigakan dari rumah mangsa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.