KUALA
LUMPUR — Sewaktu mencalonkan diri sebagai calon ketua Angkatan Muda
Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti
tersebut tahun 2010, Rafizi Ramli adalah nama yang asing bagi ramai
pihak.
Walaupun telah melibatkan diri
dengan gerakan reformasi anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim semenjak hari
pertama pada tahun 1998, watak Rafizi tenggelam oleh kerana kehebatan
mentornya, Allahyarham Adelan Benan Omar.
Adelan Benan Omar dan Rafizi
Ramli kedua-duanya membesar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Dalam
tulisan di blognya, Rafizi menceritakan bagaimana manusia “genius”
(Adelan) mendidiknya sehingga menjadi seorang pendebat hebat.
Rafizi kemudiannya masuk ke
dunia korporat dan pernah bertugas di GLC seperti Petronas. Akauntan
bertauliah ini muncul kembali dalam arena politik pada penghujung tahun
2010. Beliau dikatakan bertanggungjawab menyediakan teks debat Anwar
ketika berhadapan dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Hari ini, nama Rafizi Ramli
digeruni. Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Seri
Shahrizat Jalil tersungkur dari kuasa akibat dari kebijaksanaan anak
muda ini menyusun strategi dalam mendedahkan skandal National Feedlot
Corporation (NFC) yang melibatkan keluarga Shahrizat.
Selepas NFC, Rafizi terus
membongkar skandal dan penyelewengan. Terbaru, skandal berkaitan dengan
kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang.
Lawan tidak memberikan Rafizi
jalan mudah. Pengarah strategik PKR itu diserang kembali dari pelbagai
penjuru. Bank Negara Malaysia (BNM) dalam isu NFC, Polis Di Raja
Malaysia (PDRM) dalam skandal LRT laluan Ampang dan terbaru semalam,
blog beliau www.rafiziramli.com pula digodam.
“Saya percaya selepas pendedahan
skandal NFC, rakyat lebih percayakan satu pembentangan hujah yang
didokong oleh fakta dan bukti. Pada masa yang sama, rakyat mahu melihat
politik baru yang tidak diwarnai serangan peribadi, tetapi berasaskan
isu kepentingan awam.
“Kebetulan itu tugas saya dalam
PKR dan saya harus tampil membawa isu-isu begini yang melibatkan
kepentingan awam. Saya fikir BN merasakan mereka tidak boleh mengulangi
‘NFC fiasco’ kali kedua.”
Tidak ramai yang tahu sebenarnya
pengarah strategik PKR itu bekerja dalam sebuah pasukan yang tersusun
dan didokong oleh pemimpin kanan PKR dalam mendedahkan sesuatu skandal
besar. Ramai menyangka Rafizi bergerak secara bersendirian dan membuat
keputusan sendiri.
“Saya mendapat sepenuhya
sokongan dari rakan-rakan PKR. Kepimpinan parti berikan sepenuh mandat
untuk lakukan siasatan dan ambil pendirian mewakili parti dalam hal-hal
ini. Malah, saya tidak perlu pun melaporkan kepada Biro Politik segala
perancangan saya dalam sesuatu hal supaya saya ada kelonggaran
sepenuhnya menyusun strategi sesuatu isu.
“Dalam strategi kami membina
hujah dan isu, contohnya dalam kes NFC, sebenarnya kami ada ‘tag team’
dan kumpulan sokongan yang akan mengembangkan isu itu secara tersusun.
Malah, PKR memberi dokongan penuh dari segi nasihat dan bantuan guaman.
Setiap isu akan ada 2-3 orang pimpinan kanan yang bersama-sama saya.
Cuma,parti memberi kepercayaan sepenuhnya kpd saya untuk ke depan,”
jelas Rafizi.
Anak muda kelulusan United
Kingdom (UK) itu ternyata tidak gentar dengan serangan bertali arus yang
datang kepada dirinya. Tekanan yang dihadapkan kepada dirinya masih
belum lagi mmampu menghentikan beliau dari terus membongkar skandal
penyelewengan.
“Saya tidak terlalu memikirkan
risiko atau kesan kepada saya. Yang penting sesuatu isu itu ada kesan
besar kepada rakyat dan sama ada fakta atau bukti itu tepat.
Jadi saya tidak banyak pertimbangan materialistik dan tidak ada cita-cita yang tinggi.
“Oleh itu saya lebih mudah menumpukan kepada tugas tanpa terlalu berkira mengenai kesan kepada diri saya.
Yang
paling penting – perlu ada asas kekuatan moral dan agama. Jika kita
yakin kita berada di jalan yang benar, ‘gunung’ pun boleh dialih,” kata
bakal calon PKR di kerusi parlimen Pandan itu lagi.
Pengarah strategik PKR itu telah
berdebat sebanyak dua kali bersama ketua pemuda Umno, YB Khairy
Jamaluddin. Pertama debat anjuran UKEC di UK dan terbaru dalam debat
anjuran Sinar Harian. Dalam kedua-dua debat, Rafizi kelihatan tenang
menghuraikan hujah-hujahnya tanpa retorik dan serangan peribadi.
– The
Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.