PANAS : Maklumat neh orang Umno yang bagi...
Masalah utama yang dihadapi oleh Najib untuk meletakkan calon-calon
yang dianggap winnable tetapi berada di luar kepimpinan UMNO bahagian
ialah sikap-sikap kebanyakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang didapati
masih kemaruk untuk bergelar YB walaupun sudah menjadi wakil rakyat
lebih daripada dua penggal.
Mereka ini didapati masih belum
bersedia memberi ruang kepada orang lain mengganti-pakai gelaran YB itu
walaupun Najib sudah berulang kali menyebut tentang keinginan untuk
meletakkan calon yang dianggap winnable itu.
Disebalik Najib
bercakap soal winnable yang bermaksud calon baru yang bersih serta boleh
diterima rakyat, wakil-wakil rakyat lama ini tetap juga beranggapan
mereka juga adalah winnable walaupun dalam pilihanraya lalu kemenangan
yang diperolehi sekadar cukup makan sahaja.
Di Selangor,
wakil-wakil rakyat lama yang terdiri daripada pemegang jawatan Ketua
Bahagian dan lain-lain jawatan dalam UMNO didapati masih ghairah melobi
dan menonjolkan diri dengan harapan dipilih lagi sebagai calon
pilihanraya.
Selain Dr. Khir Toyo yang masih menghadapi kes
mahkamah dan mengumumkan mahu berundur, didapati tiada pemimpin lain
yang berbuat demikian.
Mereka bukan saja didapati masih ghairah
melobi untuk menjadi calon tetapi beberapa wakil rakyat Selangor juga
sudah mengadakan pertemuan sulit di Jakarta untuk membentuk 'kesatuan'
bagi membolehkan mereka melakukan desakan yang lebih mantap dan tersusun
kepada pucuk pimpinan.
Dengan melakukan komplot sehingga ke
Jakarta bagi membolehkan terus dipilih sebagai calon pilihanraya,
bermakna harapan pucuk pimpinan untuk meletakkan calon-calon winnable
yang berada di luar kepimpinan UMNO Bahagian pastinya melalui jalan
sukar dan tidak mustahil hanya tinggal angan-angan saja.
Difahamkan antara perbincangan yang dibuat selain mendesak untuk terus
dipilih sebagai calon, mereka juga turut menyentuh mengenai proses
pemilihan UMNO yang akan diadakan selepas pilihanraya nanti.
Di
Johor pula, beberapa wakil rakyat yang sudah lebih tiga penggal
memegang jawatan itu turut didapati masih ghairah melobi dan tidak
segan-segan bercerita tentang hasrat mahu terus bertanding dalam
pilihanraya akan datang ini.
Sebahagian daripada mereka juga
didapati makin rancak memasang kain rentang di seluruh pelusuk kawasan
masing-masing memuji-muji kepimpinan Najib dengan pelbagai ungkapan
manis sambil meletakkan gambar mereka bersebelahan dengan Perdana
Menteri di kain rentang tersebut.
Keadaan ini tentunya tidak
lain adalah didorong oleh keghairahan yang tidak pernah padam untuk
terus menjadi wakil rakyat. Dan sekali lagi keghairahan ini turut
menyukarkan kemasukan calon-calon baru yang dianggap winnable untuk
dipilih sebagai calon pilihanraya.
Di Sabah juga keadaan yang
sama berlaku di mana sebahagian besar wakil rakyat UMNO sedia ada secara
terbuka menyatakan keinginan untuk terus bertanding.
Di sebuah
negeri di utara pula berlaku keadaan yang lebih terbuka di mana
beberapa wakil rakyat yang terdiri daripada pimpinan UMNO Bahagian bukan
saja meluahkan hasrat untuk terus menjadi calon, bahkan terdapat yang
menggambarkan kemungkinan untuk bertanding sebagai calon Bebas jika
diketepikan oleh UMNO.
Tinjauan secara rambang di semua negeri
sebenarnya mendapati kebanyakan wakil rakyat yang terdiri daripada Ketua
Bahagian dan pemegang lain-lain jawatan dalam UMNO masih mahu terus
menjadi calon walaupun menyedari usia mereka makin meningkat dan sudah
pun merasai nikmat beberapa penggal menjadi wakil rakyat.
Pimpinan UMNO Bahagian ini langsung tidak peduli soal kemenangan UMNO
dan BN secara keseluruhannya, apatah lagi mahu memberi ruang kepada
calon-calon baru menjadi wakil rakyat. Apa yang difikir dan diusahakan
ialah memastikan mereka terus dipilih sebagai calon pilihanraya.
Dalam hal ini Najib sudah tentu serba salah kerana jika Ketua Bahagian
dan wakil-wakil rakyat yang sudah lama terus dipilih sebagai calon ia
akan menyukarkan impian kemenangan yang ingin digapai kerana rakyat akan
menilai Najib gagal dalam transformasinya serta tidak mengotakan janji
untuk meletakkan calon-calon baru yang dianggap winnable.
Di
sisi yang lain, jika Ketua Bahagian terlalu ramai diketepikan ia mungkin
pula menjejaskan kedudukan Najib dalam pemilihan UMNO selepas itu,
terutama jika UMNO dan BN cuma menang tipis saja dalam PRU 13 nanti.
Ketua-ketua Bahagian yang diketepikan ini kemungkinan akan bersuara
lantang mendesak agar Najib mengundur diri dan digantikan dengan
pemimpin lain.
Soalnya mampukah Najib menjadi seorang yang
tegas dan tidak tunduk kepada pelbagai karenah yang ditimbulkan oleh
wakil-wakil rakyat usang serta pimpinan UMNO Bahagian ini sedangkan
selama ini beliau sudah dicop sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam
sejarah Malaysia?
Shalehudin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.