Bekas pengarah urusan Ho Hup Bhd,
Datuk Low Tuck Choy membuat laporan polis yang mempersoalkan mengapa
siasatan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan rasuah masih
belum dimulakan ke atas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Low mendakwa bahawa invois Ho Hup
yang tertera nama Abdul Gani seperti yang dimuatkan di dalam satu blog
pada tahun lalu merupakan dokumen asli.
Beliau turut mempersoalkan
kenyataan timbalan menteri Datuk Liew Vui Kong di parlimen pada bulan
lalu bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada akan memulakan
siasatan.
Invoise berkenaan menyatakan
bahawa sejumlah RM18,000 dibayar oleh Ho Hup selepas kerja-kerja
elektrikal dijalankan ke atas satu banglo di Seremban.

Low, 54, dalam laporan polis
bertarikh 20 Julai yang dilihat Malaysiakini, mendakwa belum ada pihak
yang mengambil kenyataannya selepas laporan yang dibuatnya berhubung hal
ehwal syarikat berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,
dua tahun lalu.
Low juga berkata beliau turut
membuat aduan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal
Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga dua tahun lalu.
Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat Abdul Gani “tanpa gentar atau pilih kasih”.
“Saya merujuk kepada kenyataan
Liew di parlimen pada 26 Jun, di mana beliau menyatakan bahawa SPRM
masih sedang menimbangkan kemungkinan untuk menyiasat dakwaan bahawa
Abdul Gani telah menerima rasuah daripada satu firma pembinaan.
“Saya percaya firma pembinaan
yang dirujuk oleh Liew itu ialah Ho Hup. Berdasarkan kenyataan Liew,
saya berpandangan bahawa SPRM sebenarnya masih belum memulakan siasatan
ke atas Abdul Gani tetap hanya mempertimbangkan untuk berbuat demikian.
“Pemahaman saya ialah, SPRM masih belum membuka fail siasatan ke atas Abdul Gani,” kata Low dalam laporan polisnya.
Sumber: Malaysiakini

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.