SURAT FMT: Dari Syed Junaidi Syed Abu Bakar, melalui e-mel
Sebagai seorang pembaca setia Malaysia-Today.net, saya tidak terkejut
apabila baru-baru ini tuan Raja Petra Kamarudin (RPK) telah bertindak
untuk mengeluarkan satu ulasan berhubung isu yang melibatkan setiausaha
politik MB Selangor iaitu Faekah Husin kerana sememangnya isu tersebut
berlevel kontroversi bahkan sedang hangat dimainkan di dada-dada akhbar
sekarang.
Merujuk pada tajuk artikel ‘It’s been a year now. Can we know the
progress?’ tulisan tuan, saya kira tuan RPK punya maklumat yang mendalam
berhubung isu tersebut. Dan sebagai seorang blogger yang dikenali
ramai, ada beberapa info yang saya kira perlu dikemaskini atau
ditambahbaik agar ulasan tersebut dapat memberikan pandangan yang lebih
adil pada khalayak ramai yang ingin mengetahui hal sebenar melalui
ulasan bernas pihak tuan.
Sebelum itu, saya ingin perkenalkan diri bahawa saya ialah staf di
pejabat Menteri Besar Selangor, dan juga merupakan aktivis parti yang
bertanggungjawab mengendalikan hal-hal pentadbiran PKR Selangor di
Subang. Justeru saya kira saya mempunyai cukup ‘local standi’ untuk
bercakap tentang hal di pejabat MB, juga yang melibatkan pentadbiran PKR
negeri memandangkan saya terlibat secara langsung di kedua-dua tempat
tersebut.
Bahkan portfolio tugasan saya juga memerlukan saya berkomunikasi
secara langsung dengan MB dan orang-orang kanannya, juga dengan
pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali beserta dengan petugas-petugas penting
di sekelilingnya.
Pertamanya realiti yang perlu diterima ialah memang wujud perbezaan
pendapat di antara MB Selangor & Pengerusi PKR Selangor tentang soal
tatacara mengurus negeri. Seorang berpandangan negeri (baca: negeri
Selangor) perlu diurus secara korporat dan terpisah daripada kepentingan
parti, serta seorang lagi berpandangan ianya lebih wajar diuruskan
bersekali dengan pentadbiran parti sebagaimana PAS Kelantan mengurus
Kelantan ketika ini.
Dan tentunya kedua-dua mekanisme ini ada pro dan kontranya
masing-masing. Justeru dalam meraikan perbezaan pandangan ini, ianya
tidaklah sampai ke peringkat ‘konspirasi’ sehingga wujudnya unsur-unsur
‘sabotaj’ seperti yang diulas oleh tuan. Saya maklum tuan pastinya
mempunyai sumber-sumber sendiri.
Namun tidak mustahil sumber-sumber yang menyalurkan maklumat pada
tuan RPK juga terdiri daripada kalangan mereka yang sememangnya
bertujuan untuk mempergunakan tuan bagi tujuan memecahbelahkan PKR,
khususnya di Selangor. Hal ini saya boleh sahkan melalui penelitian saya
bahkan pengakuan seorang petugas parti yang sangat rapat dengan Azmin
Ali dan juga MB Selangor sendiri.
Menurutnya, memang wujud kumpulan-kumpulan yang di luar ‘circle’
parti ketika ini giat berusaha untuk mengeruhkan hubungan antara MB
Selangor & Pengerusi PKR Selangor. Namun apa yang lebih menyedihkan,
kumpulan-kumpulan ini menggunakan ‘orang-orang bawah’ untuk menanam
sentimen-sentimen tertentu, lantas membentuk seolah-olah di Selangor
terdapat dua group iaitu group MB dan group Azmin.
Hal ini turut diakui sendiri oleh petugas-petugas yang rapat dengan
MB, khususnya setiausaha-setiausahanya sendiri bahawa kumpulan-kumpulan
pemecah kesatuan ini digerakkan oleh organ luar parti yang mahu lihat
kesatuan di peringkat PKR itu lebur. Soal sebab dan justifikasi,
tidaklah terlalu jelas.
Namun besar kemungkinan ianya berpunca daripada dendam dek kerana
ketegasan di peringkat kerajaan negeri dalam memecat syarikat-syarikat
yang tidak ‘perform’ dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan. Tidak
kurang juga ada tanah-tanah yang gagal dibangunkan sebelum ini yang
kerajaan negeri ambil semula apabila wujud kalangan yang terbabit yang
gagal membayar premium. Justeru dendam tersebut langsung telah digunakan
untuk memecahbelahkan PKR.
Ianya mungkin klise bagi pandangan sesetengah orang, tapi itulah
realiti yang berlaku. Sebagaimana yang telah saya sebut di peringkat
awal, ianya mustahil jika ingin dikatakan langsung tiada percanggahan
pandangan. Tapi hal yang lebih menyedihkan apabila ada pihak yang cuba
menangguk di air keruh dengan cuba melaga-lagakan & membentuk
seolah-olah ‘orang-orang MB Selangor’ bermusuh dengan ‘orang-orang
Pengerusi PKR Selangor’.
Sebetulnya dakwaan yang mendakwa ada berlakunya sabotaj itu harus
diteliti siapa yang membawa beritanya. Kekhuatiran saya ialah mereka
yang membawa berita tersebut sudah mempunyai perancangan lain lantas
mahu mempergunakan pihak tuan yang terkini dilihat lantang &
kritikal pada Pakatan Rakyat, khususnya PKR.
Tentang isu video ‘blowjob’ yang dikatakan ‘pelakonnya’ ialah Azmin
Ali & isu kamera tersembunyi yang kononnya dipasang oleh
‘orang-orang Azmin’, saya kira yang harus diteliti di pihak tuan ialah
motif individu-individu tersebut menyalurkan ‘sebab-sebab’ ianya berlaku
pada pihak tuan & mengapa mereka memilih pihak tuan. Ianya pastinya
bukan hanya sebab mereka ‘percaya’ tuan ataupun tuan merupakan
‘harapan’ mereka.
Saya tidak lihat tujuannya ke arah itu. Dan melalui penelitian saya
yang mentah ini, sejujurnya saya lihat individu-individu yang
menceritakan plot-plot sebab (walaupun saya maklum ianya rekayasa)
sebenarnya mahu mempergunakan tuan sebagai ‘peluru’ mereka dalam usaha
mereka meruntuhkan keutuhan PKR. Saya kira mereka maklum bahawa apa-apa
sahaja yang tuan ‘tembak’ pastinya ianya menimbulkan ‘parah’,
paling-paling tidak meninggalkan kesan luka.
Lantas, segala ruang yang mereka nampak berpotensi digunakan untuk
menyerang, mereka akan gunakan sebaik mungkin. Kerana itu tidak
hairanlah surat yang asalnya berstatus ‘endorsement letter’ telah
tiba-tiba bertukar menjadi ‘surat sokongan’ yang pada dakwaan mereka
dilakukan oleh Faekah Husin.
Ianya merupakan sesuatu yang lucu apabila sepucuk surat yang
dikatakan ‘surat sokongan’ langsung tidak mempunyai terma ‘menyokong’
atau ‘saya sokong’. Yang ditulis hanyalah ‘saya panjangkan cadangan ini
untuk pertimbangan pihak tuan’. Seperti biasa, hal ini dimanipulasi
& mereka gunakan pihak lain untuk menjayakan misi mereka.
Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar pihak tuan RPK
meneliti surat balas saya ini sebaiknya. Tuan merupakan antara blogger
yang saya hormati dalam puluhan blogger ‘otai’ yang wujud di Malaysia
ini.
Dek kerana itu, saya tidak pantas melihat tuan dipergunakan oleh
pihak berkepentingan untuk meruntuhkan keutuhan yang sedia dimapan dalam
Parti Keadilan Rakyat.
Read more: http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/07/10/ada-apa-di-pejabat-mb-selangor/#ixzz20AzzAFWe
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.