Bagi
manusia yang waras dan boleh berfikir, tiada apa-apa kesalahan yang
boleh disabitkan terhadap Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung
dengan twitter beliau mengenai plat nombor WWW1 yang dibida Sultan
Johor dengan harga RM520,000.
Nizar
tidak derhaka, Nizar tiada unsur-unsur untuk menghina Raja. Serangan
terhadap Nizar sengaja digembar-gemburkan dan diambil kesempatan media
talibarut Umno-Barisan Nasional, bertujuan hendak mengeruhkan hubungan
PAS dengan Istana Johor.
Lagi teruk Nizar diserang, lagi ramai rakyat yang bangkit menyokong mantan Menteri Besar Perak itu.
Naib
Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, serangan terhadap Nizar dan
imej buruk yang cuba dipalitkan terhadap Pakatan Rakyat, sama sekali
tidak menjejaskan peluang Pakatan Rakyat di Johor.
“Saya
tidak rasa sama sekali peluang PAS termasuklah Pakatan Rakyat di negeri
ini terjejas kerana rakyat Johor sudah dapat untuk membuat sesuatu
keputusan berdasarkan kematangan mereka dalam berpolitik. Isu seperti
ini tidak menjejaskan kita kerana rakyat boleh faham tentang isu
dibangkitkan.
“Mengenai
penentangan terhadap Raja-Raja Melayu, saya rasa Umno mempunyai sejarah
yang begitu panjang. Mengenai kebiadapan dan keterlanjuran mereka
menghina Raja-Raja Melayu. Rakyat boleh faham dan ada maklumat mengenai
hal ini.
“Jadi
saya rasa ia tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap peluang
Pakatan Rakyat dalam Johor kerana kita tidak langsung menyentuh isu yang
sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutusan dan undang-undang
negeri sekali gus Pas menghormati prinsip raja berpelembagaan,” katanya
Tegas
Salahuddin, Nizar sudah menjalankan tanggungjawabnya untuk memohon
perkenan mengadap Sultan Johor bagi menjernihkan suasana.
Isu
berkaitan Nizar ini sama seperti isu Bukit Kepong yang membabitkan
fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Ia berkaitan dengan
Johor juga kerana Bukit Kepong terletak dalam Parlimen Pagoh yang
diwakili Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saban
hari media talibarut Umno memainkan isu Mohamad Sabu mengkhianati
negara, menyokong komunis, menghina polis dan sebagainya. Habis seluruh
juak-juak Umno bangkit mengecam Mohamad Sabu, sehingga berlaku kekasaran
dan gangguan sewaktu beliau berceramah.
Tetapi
hari ini, segala tohmahan, himpunan gerombolan bodoh
penyokong-penyokong Umno yang memaki hamun dan memfitnah Mohamad Sabu,
terpaksa menjilat ludah mereka sendiri, apabila saksi polis
(pendakwaraya) yang sendiri mengaku bahawa tindakannya membuat laporan
polis terhadap Timbalan Presiden PAS itu tidak betul sama sekali.
Fitnah
terhadap Mohamad Sabu ini sama dengan Nizar. Yang jahat dan dangkal di
sini adalah Umno. Mereka berselindung di sebalik kedaulatan negara,
berselindung di sebalik perjuangan Melayu dan dalam kes Nizar Umno
berselindung di sebalik Raja Melayu.
Umno-BN
harus ingat. Kita semua, sama ada PAS, KeADILan dan DAP serta mana-mana
parti politik yang pembangkang lain, adalah rakyat Malaysia. Kami
warganegara Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian serta
menyanjungi prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan
Malaysia.
Setiap
kita warganegara Malaysia, adalah rakyat sentiasa berpegang teguh
dengan lima prinsip Rukun Negara iaitu: Kepercayaan Kepercayaan kepada
Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan;
Kedaulatan Undang-Undang; Kesopanan dan Kesusilaan.
Rakyat
juga sebulat suara untuk mendukung cita-cita Malaysia untuk; Mencapai
perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara cara hidup demokratik serta mencipta satu masyarakat yang
adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan
saksama.
Inilah
keunikan Malaysia. Walaupun kita mempunyai rakyat yang mempunyai
kepercayaan agama yang berbeza, dari pelbagai kalangan etnik dan latar
belakang, walaupun berbeza fahaman politik, rakyat tetap mendukung satu
cita-cita yang sama, iaitu mahu memelihara keharmonian dengan
menghormati antara satu sama lain.
Bagi
memelihara keharmonian ini, sesuai dengan prinsip Rukun Negara, Raja
atau pemerintah yang harus disandarkan kepada mereka kesetiaan, mestilah
melaksanakan tugas mereka secara adil dan saksama, mengikut lunas-lunas
demokrasi.
Adil
dan saksama bermakna berimbang. Sesiapa yang salah diperbetulkan.
Sesiapa yang benar disanjungi. Dan yang paling penting sekali, semua
kita adalah makhluk yang harus mentaati kehendak-Nya yang Satu, iaitu
Allah SWT.
Semua
kita dijadikan dari asas yang sama, iaitu dari tanah, setitis air
benih, air mani dan segumpal darah. Justeru tiada apa yang membezakan
kita pada pandangan-Nya, melainkan mereka yang bertakwa. Di atas prinsip
takwa inilah dirangka prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.
Walaupun
kita ada Raja-Raja, kita ada undang-undang, kita ada penguasa yang
menjaga keamanan, namun kepercayaan yang utama, harus kita asaskan
kepada Allah, yang bagi orang-orang Melayu, mentaati Allah dengan
mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.
Di
dalam Islam, tiada siapa yang maksum melainkan Nabi Muhammad s.a.w.
Tiada siapa yang tidak boleh ditegur. Cuma Islam menekankan soal
pendekatan dengan hemah dan hikmah.
Dalam
konteks penghormataan dan ketaatan kepada Raja misalnya. Islam
menggariskan dengan jelas bahawa, kalangan ahli agama, kalangan al-mala
(pemimpin) terutamanya, mestilah mentaati mereka, selama-mana mereka
tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat.
Misalnya
jika Raja tidak solat, Raja meminum arak, Raja melakukan
perkara-perkara yang maksiat kepada Allah, maka haram sama sekali mereka
ditaati secara mutlak. Bagaimana kita boleh mentaati makhluk yang
melakukan perkara yang dilarang Allah SWT?
Maka
sebaliknya bagi Raja-Raja yang adil dan soleh. Selain mendapat
penghormatan dan keampunan daripada Allah, mulia disisi Malaikat-Nya,
malah mendapat sanjungan yang tidak berbelah bahagi dari kalangan
rakyat. Raja sebeginilah yang kita idam-idamkan memayungi kita. Iaitu
payungan mereka bukan sahaja di dunia, malah sehingga ke akhirat.
Dalam
konteks politik di Malaysia, kita merasakan bahawa terdapat suatu
situasi yang amat buruk apabila terdapat golongan yang memperalatkan
Raja untuk kepentingan politik mereka.
Golongan
ini adalah Umno. Merekalah yang mengkhianati Raja, tetapi mereka
mendakwa mereka mendukung Raja. Merekalah yang merosakkan sistem negara
dengan rasuah dan penggadaian Tanah Rizab Melayu, tetapi mereka berjaya
berselindung di sebalik Raja.
Kita,
rakyat jelata berasa terlalu kerdil untuk menasihatkan Raja-Raja,
maupun memperingatkan semula sejarah hitam lampau mengenai kebiadapan
melampau para pemimpin Umno mencaci hina institusi Raja-Raja Melayu yang
dikenali sebagai Krisis Perlembagaan 1993.
Tetapi
demi Allah dan demi Agama, Raja-Raja tak perlulah begitu sensitif
dengan sebarang teguran dari rakyat, melainkan teguran itu menderhakai
Raja-Raja.
Menderhakai
itu membawa maksud menentang Raja-Raja, menentang Raja-Raja
berperlembagaan, menghina Raja-Raja dengan perkara yang tidak betul,
mempersoalkan kedudukan Raja-Raja seolah-olah Raja-Raja tidak
dipertahankan oleh Undang-Undang dan Perlembagaan.
Selepas
Pindaan Perlembagaan yang disetujui oleh semua Raja-Raja, kecuali
keatas beberapa perkara yang khusus, Raja-Raja di Malaysia hampir
menyamai Raja (Takhta) di England, iaitu berbentuk "ceremonial".
Pindaan
Perlembagaan itu dipaksakan keatas Raja-Raja oleh Kerajaan Umno-BN dan
semasa proses pindaan itu berlangsung seluruh jentera Kerajaan Umno-BN
ketika itu mengambil sikap yang sangat biadap terhadap Raja-Raja dan
admin masih ingat terlibat bersama PAS mempertahankan kedudukan
Raja-Raja Melayu,
Amat
sedih dan pilu pada waktu itu bila membaca Utusan Malaysia dan Berita
Harian yang begitu "kurang ajar" dan biadap tiada taranya terhadap
Raja-Raja.
Tetapi
kuasa politik berada ditangan Umno. Malangnya tiada Raja-Raja yang
murka di atas tulisan-tulisan yang menghina Raja-Raja yang dipaparkan
walau sehodoh manapun mereka memaki hamun dan menghina Raja.
Akhir kata, sekadar renungan buat Raja-Raja Melayu, dipaparkan gurindam Raja Ali Haji pasal yang kedua belas (gurindam XII):
Raja mufakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.
Kasihkan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.
Kerengga
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.