BERANANG 02 JUN : Institusi rumah kebajikan di negeri ini bakal
mendapat peruntukkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Geran Selangorku.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan
Negeri akan membincangkan secara lebih lanjut berhubung bantuan yang
diperuntukkan kepada mana-mana institusi rumah kebajikan itu.
Katanya, peruntukkan itu akan disalurkan sebagaimana bantuan kepada
rumah ibadat untuk semua kaum dan peruntukkan sekolah-sekolah di sekitar
negeri yang sudah diberikan.
“Saya akan panjangkan perkara ini ke Mesyuarat Exco supaya institusi
ini dapat diberi peruntukkan di bawah Geran Selangorku, kita akan
mencari jalan supaya mereka ini dibantu.
“Oleh itu, tindakan segera perlu dilakukan oleh Exco yang terlibat
untuk mengumpul data-data dan menentukan senarai institusi yang
terlibat,” katanya ketika mengadakan lawatan di Pusat Jagaan Nur Hasanah
di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.
Dalam lawatan itu, Abdul Khalid sempat meluangkan masa melawat pusat
itu kira-kira 20 minit sebelum ke Program Penerangan Geran Selangorku
dan Program Khas Mesra Rakyat di kampung terbabit.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan
Inovasi, Rodziah Ismail; Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan
Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber
Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari serta MP Hulu Langat, Dr
Che Rosli Che Mat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.