PUTRAJAYA
: Malaysia sama sekali tidak dapat menerima tindakan kekerasan yang
membabitkan kepentingan negara ini di Indonesia dan komen-komen
provokatif yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di Indonesia
kebelakangan ini.
Menteri Luar Datuk
Seri Anifah Aman berkata tindakan kekerasan oleh sekumpulan penunjuk
perasaan yang dikatakan mewakili Pemuda Pancasila di hadapan Kedutaan
Besar Malaysia di Kuningan dan di hadapan Wisma Malaysia di Menteng,
Jakarta, pada 22 Jun lepas serta komen-komen provokatif oleh seorang
anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia dalam program 'Neo
Democrazy' siaran Metro TV pada 21 Jun lalu merupakan tindakan yang
boleh dikecam.
"Adalah
amat dikesali sekali tindakan liar dan komen-komen provokatif tersebut
dibuat ekoran tuduhan meleset dan ketidakfahaman tentang rancangan atau
rencana untuk melestari dan memelihara budaya warisan masyarakat
Mandailing yang berasal dari Sumatera di Malaysia.
"Rancangan
tersebut sememangnya tidak bermaksud bahawa budaya warisan berkenaan
berasal dari Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.
Anifah
berkata tindakan kumpulan penunjuk perasaan tersebut telah
mengakibatkan kecederaan kepada seorang anggota keselamatan/pengaman
Kedutaan Malaysia yang ditempatkan di Wisma Malaysia dan hampir
mencederakan seorang anggota yang lain.
Kedua-dua anggota keselamatan yang bertugas merupakan warga Indonesia.
Katanya
tindakan kekerasan tersebut juga telah mengakibatkan kerosakan kepada
bangunan Wisma Malaysia dan persekitarannya, di samping mengancam
keselamatan pegawai dan kakitangan serta keluarga mereka yang
ditempatkan di bangunan berkenaan.
"Berdasarkan
hubungan istimewa dan saling menguntungkan yang telah sekian lama
terjalin antara Malaysia dan Republik Indonesia, kerajaan Malaysia
percaya bahawa kerajaan Indonesia akan mengambil langkah-langkah susulan
sewajarnya dalam menangani tindakan agresif dan provokatif tersebut.
"Kerajaan
Malaysia juga sebelum ini telah meminta dan terus berharap agar semua
premis-premis kerajaan Malaysia dilindungi dari sebarang ancaman sejajar
dengan peruntukan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961,"
katanya.
Katanya
kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengemukakan dua nota
diplomatik kepada Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia pada 22 Jun
lalu bagi menyampaikan pendirian, kekesalan dan keprihatinan kerajaan
Malaysia terhadap tindakan kekerasan dan provokatif tersebut.
Jelasnya kedutaan Malaysia juga berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menangani perkembangan ini dengan lebih berkesan.
Sementara
itu Wisma Putra telah meminta Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar
Republik Indonesia di Kuala Lumpur supaya hadir Isnin di kementerian itu
untuk menerangkan pendirian Malaysia berhubung perkembangan tersebut.
(Bernama)
|
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.