Followers

Friday, June 1, 2012

Isu Skandal Rasuah Melibatkan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Dan YB Mohamed Azmin Ali: Dakwaan Raja Petra Bermotif Politik

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) merujuk kepada laporan media berhubung dakwaan terkini oleh Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa memiliki “fail rahsia” tahun 1995 berhubung siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR, kini dikenal sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berkaitan transaksi saham, hartanah dan kenderaan milik YB Mohamed Azmin Ali. 
Raja Petra turut mendakwa bahawa Ketua Umum KEADILAN, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya siasatan berkaitan “fail rahsia” tersebut dihentikan.

AMK berpandangan bahawa dakwaan Raja Petra tersebut hanya bersifat politik dan bertujuan untuk memburuk-burukkan imej pemimpin KEADILAN khususnya dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Jika dirujuk pada fakta mahkamah dan arkib media, ternyata bahawa YB Mohamed Azmin telah pun memberikan kerjasama kepada BPR berkaitan dakwaan rasuah ke atas beliau pada 1995 tanpa melibatkan sebarang pertuduhan susulan di mahkamah.

Pada 29 September 1998, YB Dato’ Seri Anwar telah dihadapkan dengan lima (5) pertuduhan mahkamah termasuk salah satu daripadanya membabitkan dakwaan mencampuri urusan penyiasatan BPR ke atas dakwaan rasuah melibatkan YB Mohamed Azmin. 

Menurut pertuduhan tersebut, pada 24 Mei 1995 pada jam 5.30 petang, YB Dato’ Seri Anwar telah menggunakan kedudukan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu untuk mencampuri urusan penyiasatan dan mempengaruhi Dato’ Shafee Yahaya (Ketua Pengarah BPR ketika itu) supaya menutup penyiasatan ke atas dakwaan rasuah melibatkan YB Mohamed Azmin.

Walaubagaimanapun pertuduhan tersebut telah digugurkan oleh mendiang Augustine Paul, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mei 2001 dan Dato’ Seri Anwar dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Berhubung dengan dakwaan rasuah melibatkan YB Mohamed Azmin pada tahun 1995 seperti yang dibangkitkan oleh Raja Petra, isu ini telah pun dijelaskan oleh bekas Ketua Pengarah BPR, Dato’ Shafee Yahaya menerusi catatan biografi yang ditulis oleh Kalsom Taib berjudul The Shafee Yahaya Story: Estate Boy To ACA Chief pada halaman 306 – 308. Selain itu, laporan akhbar New Straits Times bertarikh 31 Mei 2012, bertajuk ‘Shafee denies allegation’ turut menyatakan “there was no strong element of corruption in the case” (tiada elemen kuat melibatkan rasuah dalam kes tersebut).

Justeru, AMK tegas berpendirian bahawa dakwaan Raja Petra bermotif politik dan bertujuan untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap kredibiliti pemimpin KEADILAN. Ini merupakan ulangan dakwaan lapuk seperti yang digunakan oleh UMNO sebelum ini untuk memfitnah pemimpin KEADILAN.



SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
KetuaAngkatan Muda KEADILAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.