KUALA LUMPUR 19 Mei: “Saya dipukul dengan pistol oleh polis yang
beruniform. Akibatnya, saya mengalami kecederaan di dada dan berbekas
hingga ke hari ini,” kata Mohd Saufi, 26, yang berasal dari Pulau
Pinang.
Mohd Saufi yang ketika itu sedang berjalan pulang dari himpunan Duduk
Bantah 28 April lalu, ‘dikeroyok’ sekumpulan anggota polis di hadapan
bangunan Bank OCBC, Jalan Tun Perak, kira-kira jam lima petang.
“Saya dipijak dan ditumbuk hingga jatuh. Hidung saya berdarah dan mata
luka,” kata Saufi.Beliau antara 19 mangsa keganasan polis yang tampil
dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), hari
ini.
Manakala Lee Teck Yai, 39, seorang ejen insuran yang berasal dari Kuala
Lumpur, mendapat lima jahitan di belakang telinga, selain lebam di muka
dan badan selepas ditolak oleh Polis dari tangga LRT Masjid Jamek.
“Kira-kira jam enam petang, saya hendak pulang ke Pandan Jaya. Saya
lihat ada keganasan oleh Polis terhadap peserta himpunan, lalu saya
merakam aksi tersebut.
“Anggota Polis yang nampak tindakan saya menyerbu untuk menahan. Mereka
paksa saya ikut. Ketika sedang dibawa untuk ditahan, saya ditumbuk,
ditendang dam ditolak hingga jatuh,” jelas Lee.
Ahli jawatankuasa Pemandu Bersih, Hishamuddin Rais menjelaskan, tindakan
ganas tersebut dirancang, berdasarkan pengesahan mangsa bahawa anggota
Polis yang memukul mereka tidak mempunyai nama dan nombor anggota di
uniform mereka.
“Mereka juga secara tersusun merampas kamera dan kad memori bertujuan menghilangkan bukti,” tegas Hishamuddin.
Sehingga kini, Bersih bersama Suaram, Jawatankuasa Hak Asasi KLSCAH dan
Lawyer For Liberty telah mendokumentasi 80 kes keganasan Polis terhadap
peserta himpunan ‘Duduk Bantah’
Mangsa keganasan Polis ketika himpunan 28 April lalu diminta menghubungi
Sekretariat ‘Laporan Keganasan Polis 428′ di talian 012-3496013 atau di
emel info@bersih.org.
Batu Vs Kayu
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.