SHAH ALAM, 8 MEI: Umno Tanjong Karang didakwa menjual lima lagi
bidang tanah di Tanjong Karang yang telah dianugerahkan kepadanya oleh
Kerajaan Selangor Umno-BN yang dulu.
Pendedahan terbaru ini sekaligus menjadikan sebanyak tujuh bidang
tanah yang telah dianugerahkan kepada Umno Tanjong Karang oleh kerajaan
negeri Umno-BN terdahulu.
Tanah-tanah ini kemudiannya dijual kembali bagi membolehkan parti itu memperolehi keuntungan mudah.
Demikian beritahu Naib Yang DiPertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman kepada TVS hari ini.
Menurut Misran, tanah tersebut sebelum ini merupakan kawasan hutan
simpan pemampan hakisan pantai yang terdiri dari hutan paya bakau.
“Lima bidang tanah yang saya sebutkan ini sebenarnya hutan simpan paya bakau iaitu kawasan pemampan hakisan pantai.
“Malangnya, kerajaan negeri dahulu dah anugerahkan tanah-tanah ini kepada Umno Tanjong Karang.
“Pindah milik bagi lot nombor 25862 dibuat pada 1996 dan empat lagi
bernombor lot 26429, 26431, 26430 dan 26428 pula dipindah milik pada
2001.
“Semakan saya di Pejabat Tanah Dan Galian mendapati Nombor hak milik
tanah-tanah ini adalah PN 11222, PN 80339, PN80345, PN 80346 dan PN
80348.
“Lepas itu Umno Tanjong Karang jualkan kepada syarikat-syarikat
dengan harga yang tidak diketahui sekaligus sekali lagi jadi jalan mudah
Umno Tanjong Karang buat duit,” beritahu Misran.
Dari hasil carian yang diperolehi di Pejabat Tanah dan Galian Shah
Alam dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mendapati tanah bernombor lot
25862 dengan keluasan 28.3 hektar telah dijual kepada Prestige Sdn Bhd.
Manakala Lot 26429 dengan keluasan 12.5 hektar pula telah dijual kepada Camaroe Aquaculture Sdn Bhd.
Natural Adept Sdn Bhd pula membeli dua bidang tanah bernombor lot
26431 dan 26430 dengan keluasan masing-masing 4.048 dan 4.049 hektar.
QQ Sea Food Sdn Bhd turut membeli sebidang tanah bernombor lot 26428 dengan keluasan 4.038 hektar.
Menurut Misran, pada masa ini syarikat-syarikat terbabit terlibat
menjalankan penternakan udang di atas tanah-tanah yang dibelinya itu.
Misran turut mempersoalkan dakwaan Umno sebelum ini yang mengaku kononnya mempertahankan hak dan kedudukan orang-orang Melayu.
“Umno kata mereka pertahankan hak Melayu, tapi dalam kes ini kita
dapat lihat kebolehan Umno menjual tanah yang diberi kerajaan negeri
kepada bukan Melayu.
“Sudahlah tanah itu dianugerahkan oleh kerajaan negeri,lepas itu
senang-senang mereka jualkan untuk dapat untung atas angin, tindakan
mereka langsung tak menguntungkan orang Melayu,” kata beliau lagi.
Misran juga memberitahu, perkara ini akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam masa terdekat.
Dalam pendedahan sebelum ini, dua bidang tanah di Pekan Tanjong
Karang dan Jalan Sungai Kajang yang diberi milik kepada Umno Tanjong
Karang turut dijual parti politik terbabit kepada syarikat swasta.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.