Polis terpaksa menggunakan kekerasan untuk menghentikan hooliganisme atau tindakan buas peserta perhimpunan BERSIH untuk mencegah kemudaratan terhadap pegawai polis dan kerosakan harta benda, kata bekas perdana menteri.
"Apa yang sepatutnya polis buat? Biarkan hooligans (samseng) lakukan apa mereka mahu? Terima saja ditendang oleh samseng? Terima sahaja kereta peronda mereka dihentam dan diterbalikkan?" soal Dr Mahathir Mohamad.
Menulis dalam blognya, Dr Mahahtir berkata, perkataan "kekejaman polis" digunakan secara sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, khususnya Majlis Peguam, walaupun kekerasan yang dibenarkan perlu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Mahathir menuduh peserta perhimpunan BERSIH sebagai "jelas ganas" dan polis hanya melakukan apa yang perlu untuk mengawal keadaan.
"Jelas sekali daripada gambar dan klip video, peserta perhimpunan bukan hanya memecahkan penghadang tetapi menyerang, benar-benar menyerang polis yang ditugaskan menjaga mereka daripada memecahkan penghadang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.