Followers

Thursday, May 17, 2012

Dr M: Majlis Peguam telah jadi parti politik - Oleh: imamsurau

 

"Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Majlis Peguam telah menjadi sebuah parti politik memandangkan perhatiannya lebih kepada politik. Oleh itu, beliau berkata ia sepatutnya membiarkan pertubuhan lain mengambil alih bahagian profesional bagi mengelakkan kekeliruan.

"Saya fikir sebuah badan profesional perlu memberi perhatian lebih kepada profesion tetapi ia jelas bahawa Majlis Peguam telah menjadi sebuah parti politik. "Kemudian, kita ada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), arkitek semua jadi parti-parti politik dan kemudian akan ada banyak kekeliruan," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dr Mahathir mengulas satu cadangan untuk membentuk sebuah pertubuhan baru bagi peguam untuk mewakili profesion, kebajikan dan kepentingan undang-undang mereka, memandangkan Majlis Peguam yang ada gagal mempertahankan dirinya sebagai sebuah badan profesional yang berintegriti.

Ketika diminta mengulas tindakan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Naib Pengerusi DAP, Dr Mahathir hanya berkata: "Saya fikir daripada awal lagi dia tak sesuai dengan DAP. Saya tak tau pasai apa dia masuk".
 
Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Canselor Universiti Perdana menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) antara universiti itu dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

MoU dengan Mardi adalah bagi mengukuhkan, memudahkan, menggalak dan mengembangkan kerjasama dalam penyelidikan pertanian berkaitan dengan kesihatan manakala MoU dengan UPM adalah berhubung kerjasama bagi mengukuh, menggalak dan
memajukan sains dan akademik antara kedua buah institusi.
  
Universiti Perdana dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas dengan objektif bagi meningkatkan kualiti pendidikan perubatan dan penjagaan kesihatan di negara ini.
  
Pada masa ini, ia mempunyai dua pusat pengajian perubatan iaitu Program Pengajian Perubatan Universiti Perdana (PUGSOM) dengan kerjasama John Hopkins University School of Medicine (JHUSOM) yang menawarkan program kemasukan graduan empat tahun berdasarkan kepada kurikulum Amerika Syarikat dan program Pengajian Perubatan Universiti Perdana-Royal College of Surgeons di Ireland (PU-RCSI) yang menawarkan program lima tahun berdasarkan kurikulum konvensional RSCI.


Tranungkite Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.