[HD] KUALA LUMPUR, 9 April:
Penegasan Perdana Menteri untuk tidak menghapuskan pinjaman PTPTN
seperti diumumkan di Batu Pahat Sabtu lalu menunjukkan kepupusan daya
kreativiti pemimpin Barisan Nasional (BN).
Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.
Menurut Husam, jumlah RM43 bilion yang disebut oleh Perdana Menteri juga adalah tidak benar dan mengelirukan.
Ini kerana, dengan jumlah
peminjam seramai 1.9 juta orang, jumlah keseluruhan pinjaman yang
dikeluarkan sejak ia mula dikeluarkan sehingga akhir 2012 hanya
berjumlah RM28 bilion sahaja.
"Bukan RM 43 bilion seperti disebut," kata Husam yang juga Exco Ekonomi dan Kebajikan kerajaan negeri Kelantan.
Beliau mempertikaikan, mengapa PM sanggup memberikan angka yang silap?
"Adakah sengaja untuk mengeliru dan menakutkan rakyat jelata?" soal beliau.
Husam juga menjelaskan, jumlah
keseluruhan RM28 bilon sehingga akhir 2012 tidak semestinya dilunaskan
serta merta keseluruhannya sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa.
Antara tindakan yang boleh
diambil, kata Husam ialah mengambil alih pinjaman PTPTN atau memberikan
jaminan pembiayaan tahunan sama jumlah dengan tanggungan PTPN kepada
institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada PTPTN.
Dengan itu, katanya, kos tahunan
kepada kerajaan adalah masih dalam tahap kemampuan kerajaan pusat
sebagaimana PTPTN mempunyai jadual pembayaran tahunan yang tertentu.
Bagi beliau, gambaran bahawa
negara tidak mampu kerana menjelaskan RM43 bilion sekaligus adalah amat
mengelirukan dan menunjukkan PM tidak memahami mekanisma kewangan yang
lazim diamalkan termasuk memberi undertaking dan menjadual semula
pinjaman.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.