Followers

Friday, March 16, 2012

Taktik kotor Umno tidak menjadi !! - SAFAR JUMAAT

UMNO-BN merasakan sudah hilang segala taring mereka apabila Selangor, negeri termaju di Malaysia kini diperintah Pakatan Rakyat, sedangkan di Selangor terdapat KLIA, ada Pelabuhan Klang dan ada macam-macam lagi, termasuk Lapangan Terbang Sultan Salahuddin di Subang yang cukup terkenal.


Itulah sebabnya, kehilangan Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan, tidak begitu memalukan bagi Umno-BN, jika dibandingkan dengan kekalahan Umno-BN di Selangor.

Hari ini, mereka perkenalkan “Jelajah Selamatkan Selangor” yang mahu mereka gambarkan bahawa Selangor akan menjadi teruk dan miskin jika tidak diselamatkan. Padahal, mereka tahu Selangor sebenarnya lebih selamat di bawah Pakatan daripada di bawah Umno-BN selama ini. Bukan sedikit kawasan bukit-bukau yang mereka tarah hingga menyebabkan beberapa tempat di Selangor, termasuk TTDI Jaya, banjir.
Mereka menggunakan khidmat seorang bekas Exco yang dipecat daripada PAS untuk mencaci kerajaan Pakatan Rakyat yang jelas mentadbir negeri secara telus. Mereka bawa cerita kononnya PAS kini menjadi kuda tunggangan dan ada parasit di dalam parti itu.

Bekas Exco itu menafikan dia digunakan oleh Umno-BN.

Namun, setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulutnya, memastikan undi tidak diberikan kepada mereka yang melawan Umno-BN. Maknanya, dia sendiri memberitahu dia bekerja untuk siapa dan parti mana.

Sebenarnya rakyat Selangor tidak tergugat dengan ugutan, tunjuk perasaan dari beberapa orang yang mendakwa mereka mewakili NGO dan Perkasa, namun Umno-BN masih gagal menarik sokongan rakyat di atas pagar supaya bersama-sama mereka menentang kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin diberi peluang bersuara mengatakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebenarnya tidak mampu untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Sepatutnya, Daim yang juga bekas Bendahari Umno seronok jikalau Anwar gagal dan mengapa perlu dia risau dengan kegagalan Anwar tersebut. Orang Umno, seperti Daim seharusnya berbangga dengan kegagalan mereka daripada Pakatan Rakyat kerana dengan itu, Umno-BN akan merasakan mereka adalah lebih baik dari Pakatan Rakyat.

Untuk apa timbul kerisauan pada bekas Bendahari Umno ini? Ada cerita kepala babi di pintu masjid. Rakyat tenang mendengar berita ini kerana mereka sudah cukup matang ke atas setiap provokasi. Mereka tahu, tersilap langkah, mereka akan masuk perangkap Umno-BN.

Mereka gunakan blogger yang lari dari tanahair bercakap isu pasir. Blogger itu melarikan diri kerana ada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Tetapi kini, blogger ini sudah menjadi orang penting kepada Umno-BN.

Sebenarnya, isu pasir, rakyat sudah tahu siapa yang sudah kenyang sebelum Pakatan memerintah. Rakyat bukan bodoh dan bukan boleh diperbodohkan lagi.

Mereka tahu siapa yang kayaraya dengan hasil pasir selama ini. Mereka juga tahu, orangorang tertentu sahaja yang dapat hasil pasir ini.

Begitu juga dengan projek angkut sampah, pembersihan dan billboard. Selama ini, mereka jadikan ini sumber pendapatan bagi memperkuatkan parti dan ketua-ketua Umno bahagian. Mereka tidak pernah ambil tahu bahawa, masih ada rakyat hidup di dalam timbunan sampah dan tidur di bawah jambatan.

Mereka mainkan isu murtad. Kononnya di zaman pemerintahan Pakatan, ramai yang murtad. Tapi, dalam masa yang sama, mereka tidak mahu mendedahkan di zaman mereka memerintah berapa ramai yang sudah murtad.

Bila ada cerita khalwat, mereka akan bersorak gembira kononnya yang melakukan kes seumpama ini adalah mereka daripada kalangan Pakatan tetapi, dalam masa yang sama, mereka lupa untuk menceritakan kisah ketua bahagian yang didakwa mengamalkan rasuah ketika menjadi Ahli Majlis PBT di beberapa kawasan.

Umno di Selangor tidak pernah mahu belajar, beberapa orang pemimpin besar mereka jatuh dalam keadaan terhina.

Ada yang kena tangkap kerana bawa terlalu banyak wang.

Ada yang dikatakan mempunyai anak tak sah taraf.

Ada juga kerana “isu projek mewah” dan paling dahsyat, ada yang pernah dikaitkan dengan dakwaan rasuah walaupun akhirnya mendapat pengampunan.

Khabarnya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah menegur kepimpinan bahagian-bahagian di Selangor supaya jangan terlalu bergantung kepada populariti Perdana Menteri. Masing-masig perlu turun ke bawah, mengenali masalah yang dihadapi oleh rakyat di bawah.

Sebenarnya Umno-BN Selangor terasa kehilangan pemimpin. Hari ini mereka tidak pasti siapakah bakal mengepalai jentera BN di peringkat negeri kerana bekas MB terdahulu semuanya sudah terkulai layu.

Bagi Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mungkin beliau mempunyai calonnya sendiri untuk dicadangkan sebagai MB Selangor tetapi kehendak rakyat Selangor mungkin juga berbeza dengan kehendak Najib.

Jika ini berlaku, Najib akan dikecewakan lagi sekali oleh rakyat Selangor. Mereka rela makan pasir daripada dibohongi dengan cerita khalwat, edaran foto separuh bogel dan isu pertukaran potfolio Agama Islam kepada Menteri Besar Selangor, gagal menarik sokongan rakyat.

Najib kecewa. Muhyiddin juga kecewa. Najib tahu Umno bahagian-bahagian di Selangor masih bergolak. Muhyiddin juga tahu semua ini.

Malahan, apa yang dikatakan oleh Muhyiddin kepada kepimpinan Umno di Selangor baru-baru ini, tepat iaitu “jangan hanya bergantung kepada pengaruh Najib”.

Maklumlah, Najib kini adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno. Maka, rata-rata mereka yang berjawatan dalam Umno dan BN di Selangor menyifatkan mereka tidak perlu bekerja keras kerana pengaruh Najib sebenarnya sudah mampu menarik sokongan rakyat. Itu yang mereka fikirkan.

Kali ini, mereka akan hampa sekali lagi kerana rakyat tidak akan terpedaya dengan pelbagai slogan, melainkan mereka mahu pelaksanaan. Janji dari BN sudah tidak berkesan lagi. Era ini adalah era perlaksanaan.

Mereka tidak peduli provokasi. Mereka sudah jemu dengan pelbagai karenah.

Mereka nampak, bila ada projek yang berkaitan dengan perumahan rakyat, mesti terbengkalai di Selangor.

Bila bercakap soal geran kepada penduduk yang sudah meneroka kawasan-kawasan tertentu, mereka simpan hingga 20 tahun.

Semua ini, termasuk di Kampung Bendahara, Sungai Tua, kini sudah diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Bukit Botak juga sudah selesai pembinaan sedangkan dalam era pemerintahan BN, penduduk di situ dibiarkan hidup dalam kawasan setinggan dengan serba kekurangan. Lihat sahaja apa sudah jadi dengan “kawasan transit” yang terletak di sekitar Bukit Botak, dibina di zaman BN memerintah, kini menjadi kawasan tertinggal yang cukup mengganggu penduduk sekitar kawasan tersebut.

Cukuplah! Rakyat kini sudah menikmati subsidi terus dari kerajaan negeri dengan pemotongan RM10 bil air setiap bulan. Terima kasih Pakatan Rakyat.
 
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.