Followers

Wednesday, March 14, 2012

Skandal didedah, kembalikan wang rakyat? - DRS. KHALIL IDHAM LIM

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Biarpun skandal-skandal membabitkan pemimpin BN berjaya didedahkan hingga diseret ke mahkamah, wang rakyat yang dibazirkan merek a perlu dikembalikan kepada rakyat.

Pelbagai cara boleh dilakukan pihak berkaitan bagi mendapatkan semula wang tersebut, sama ada melalui pembekuan aset ataupun repatriation (pemindahan).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, mana-mana pemimpin yang dipalitkan dengan dakwaan penyelewengan dana rakyat, aset mereka sama ada tunai atau barangan perlu dibekukan.

"Jika aset tersebut berbentuk tunai, segala akaun mereka perlu dibekukan. Manakala jika aset itu merupakan sebuah kondominium, contohnya kerajaan boleh mengambil semula untuk tujuan menjual atau melelongnya semula," tegas Dr. Dzulkefly ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang mengambil contoh kes National Feedlot Corporation (NFC), menegaskan dalam kes tersebut antara aset yang dikaitkan dengan skandal tersebut merupakan sebuah kondominium di negara jiran, Singapura.

Katanya, apabila ia membabitkan sebuah negara lain, maka kerajaan perlu mendapatkan hak untuk repatriation aset itu semula ke negara.

"Jika ada kondo, maka kerajaan perlu pindahkan semula nilai pasaran kondo itu ke Malaysia. Begitu juga jika terdapat akaun-akaun di Switzerland, London, maka semuanya perlu dibekukan dan dipindahkan ke Malaysia semula," tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Biarpun pada 14 Jan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan semua aset NFC dibekukan, rakyat ternanti-nanti bagaimana wang yang dibazirkan itu boleh dikembalikan semula kepada rakyat.

Sehubungan itu, Dzulkefly mengharapkan pihak yang berkaitan menjejaki semula segala transaksi membabitkan semua skandal-skandal yang pernah didedahkan.

"Semua transaksi perlu dijejaki semula, sama ada wujudnya akaun ketiga, akaun offshore (pesisir laut) dan sebagainya. Dan dalam masa sama rakyat perlu tahu dan lihat hasil dari pembekuan aset-aset dari skandal-skandal tersebut," tambah beliau.

NFC: Pulangkan balik RM250 juta duit rakyat


Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April ini sesuatu yang dialu-alukan. Peletakan jawatan tersebut serentak dengan tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara atau dengan kata lain beliau tidak disambung sebagai senator. Tidak kisahlah sama ada dia meletak jawatan, tidak disambung jawatan senator atau apa-apa sahaja.

Yang penting, sebagai rakyat biasa, peletakan jawatan itu tidak memberikan apa-apa makna jika tiada tindakan susulan dilakukan. Rakyat mahu tahu apa status duit RM250 juta yang dipinjam oleh syarikat suaminya? Adakah hangus begitu sahaja? Atau dibayar semula seperti peminjam-peminjam lain.

Sedarlah wahai ibu, ayah, adik, abang... duit itu kita punya. Duit yang dikutip daripada setiap rakyat. Tetapi, malangnya mereka yang diberi kuasa membelanjakan untuk kesenangan diri sendiri.

Jika begitu, saya pun mahu meminjam juga. Dapat RM1 juta pun sudah memadai. Maklumlah, meminjam tetapi tidak perlu risau tentang bayaran balik. Jika jumlah wang yang sama diberikan kepada usahawan bumiputera RM1 juta seorang, bermakna akan ada 250 orang usahawan. Daripada jumlah tersebut, jika hanya 25 orang berjaya melebarkan perniagaan mereka – sudah cukup bagus.

Jika setiap tahun pinjaman yang sama dianugerahkan kepada peniaga bumiputera yang lain pula, maka jika selepas empat tahun sudah tentu akan ada 1,000 usahawan bumiputera.

Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan oleh usahawan tempatan sendiri. Tidak perlu bersusah payah membawa pelabur asing untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Hakikatnya rakyat masih boleh manahan sabar jika duit tersebut digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat. Ambil sahaja kaedah yang paling mudah, dengan duit sebanyak itu syarikat NFC boleh membeli lembu daripada penternak kecil-kecilan Melayu dan mengumpulkan disuatu tempat, dijaga secara moden dan dijual.

Dengan kata lain, NFC boleh bertindak sebagai orang tengah antara penternak kecil dengan pemborong besar. Penternak kecil akan menjaga lembu dari kecil hingga dewasa dan sesuai untuk dijual kepada NFC sebelum sampai ke tangan pemborong. Secara tidak langsung dapat membantu penternak bumiputera memasarkan ternakan mereka.

Yang berlaku sebaliknya, peminjam membelanjakan wang yang diperoleh secara mudah itu tidak mengikut tujuan asal pinjamannya. Mereka berbelanja ikut selera sendiri tanpa ada rasa bersalah pun menggunakan wang rakyat itu.

Ada contoh lain yang menunjukkan bahawa rakyat boleh menerima perkara yang tidak berlaku mengikut kebiasaannya. Dahulu, timbul isu pemberian AP, permit memimport kereta. Pada ketika itu timbul isu sebuah syarikat bumiputera menjadi penerima AP paling banyak.

Namun, isu itu tidak menjadi pertikaian kerana syarikat bumiputera terbabit berjaya membesarkan perniagaannya dalam bidang automotif dan berjaya membuka peluang pekerjaan kepada ramai bumiputera.

Kes ini membuka mata rakyat bahawa duit mereka telah disalah urus oleh pihak yang telah dipilih oleh rakyat untuk memegang amanah. Jika perkara ini boleh terjadi kepada Datuk Seri Shahrizat, maka adakah tidak berlaku kepada para menteri lain?

Seperti yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Shahrizat bahawa bukan beliau seorang sahaja yang terlibat, maka adakah beliau bermaksud menteri lain juga turut mendapat “pinjaman” melalui kaedah yang sama? Banyak teka-teki yang timbul daripadanya.

Kesimpulannya, rakyat mahu dana awam itu dikembalikan kepada tempat yang berhak. Bukan sekadar melepas jawatan dan berharap terlepas daripada tindakan undang-undang.

Cukuplah rakyat menderita dengan kenaikan kos sara hidup, cukai yang semakin meningkat, nilai duit yang semakin mengecil berbanding nilai barangan semasa, pemotongan subsidi dan bermacam lagi.




harakahdaily/-

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.