Sewaktu sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, ahli-ahli politik BN
dan Umno telah banyak memberikan pujian yang luarbiasa yang jarang kita
dengar sebelum ini, khususnya kenyataan daripada menteri perdagangan
antarabangsa dan industri Datuk Mustahpa Mohamad yang juga ketua
perhubungan Umno Kelantan.
Ketika ditemuramah oleh beberapa wartawan sebelum ini, Mustapha telah
mengakui bahawa kalangan ahli-ahli perniagaan berbangsa Cina di negara
ini masih percaya bahawa dasar ekonomi dan perdagangan di negara selama
ini memihak kepada orang-orang Melayu dan berlaku tidak adil terhadap
masyarakat Cina pada keseluruhannya setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB)
diperkenalkan pada tahun 1970.
Keluhan tersebut tidak sepatutnya bertumpu pada hanya pendapat
daripada masyarakat Cina terhadap dasar tersebut, bahkan ianya juga
patut dilihat melalui pelbagai sudut, pendapat kaum-kaum yang lain, para
pelabur asing dan masyarakat antarabangsa. Sememangnya ketelusan dan
liberalisasi ekonomi juga dapat memanfaatkan negara dan rakyat pada
keseluruhannya daripada dasar yang hanya boleh memuaskan dan
menguntungkan satu kaum dan agama sahaja.
Implikasi daripada kenyataan Mustapha adalah negara ini sedang menuju
ke arah liberalisasi dan keterbukaan pasaran di mana banyak rancangan
transformasi telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Oleh itu, marilah kita mengkaji beberapa siri transformasi tersebut
untuk menentukan sama ada rancangan tersebut telah benar-benar berjaya
atau sebaliknya.
Subsidi dan dasar perlindungan
Pada umumnya, kita semua sememangnya telah mengetahui bahawa rakyat
jelata dan negara telah banyak membantu membayar subsidi kepada Proton
sejak ianya dilancarkan dan kereta buatannya mula dipasarkan pada tahun
1985.
Bagi melindungi Proton daripada saingan, kereta-kereta import
dikenakan cukai 100% yang mengakibatkan bebanan yang terpaksa dipikul
oleh rakyat jelata lebih 20 tahun. Sejumlah 106,000 orang telahpun
diisytiharkan bankrap daripada tahun 2005 sehinggalah September 2011 di
mana 25% adalah disebabkan ole kerana peminjam untuk membayar balik
pinjaman sewabeli kereta.
Selain daripada itu, DRB-Hicom juga telah mengambil-alih Proton. Dan
kenapa pula sesebuah syarikat korporat yang besar ini dibenarkan untuk
terus menikmati faedah subsidi tersebut daripada kerajaan?
Dan walaupun pengeluar kereta nasional itu telah lama menikmati
kemudahan subsidi dan dilindungi, ianya masih mengalami kerugian yang
begitu kritikal dah yang paling terbaru, berdasar laporan prestasi untuk
tahun berakhir 2011, Proton telah mengalami kerugian yang paling teruk
sekali, mencecah sehingga RM3.4 billion.
Jadi adakah dasar tersebut berkesan dan jika sekiranya dasar
perlindungan itu ditarikbalik, apakah implikasinya dan daya saing dapat
membangunkan semula Proton yang kini sedang tenat.
Ketelusan dan pengisytiharan harta
Pengisytiharan harta yang dilaksanakan oleh ahli-ahli majlis
mesyuarat kerajaan (Exco) negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah
membuka mata banyak pihak dan mengejutkan ramai pemimpin BN, khususnya
daripada Umno yang kini serba salah sama ada perlu mengikuti jejak
langkah Pulau Pinang ataupun sebaliknya.
Reaksi spontan beberapa pemimpin BN adalah pengisytiharan harta oleh
menteri-menteri kabinet ini boleh mendedahkan mereka kepada
risiko-risiko diancam penjenayah, kemungkinan diculik sebagai tebusan
serta terperangkap dengan pelbagai tuduhan rasuah atau salahguna kuasa.
Walaubagaimanapun, pengisytiharan harta ini bukannya sesuatu yang
baru di kebanyakan negara. Di Amerika misalannya, telahpun melaksanakan
sistem tersebut sejak tahun 1978 dan daripada pengisytiharan itu
didapati 11% daripada ahli kongresnya adalah terdiri daripada jutawan
dan mereka yang kaya-raya.
Sementara di Taiwan pula, terdapat satu rang undang-undang yang
mewajibkan para penjawat awamnya untuk mengisytiharkan harta mereka
melalui internet portal kerajaan republik tersebut.
Kenapa pula para pemimpin Umno dan BN ini begitu takut? Kebimbangan
mengenai rompakan dan penculikan ini haruslah pertanggungjawabkan kepada
pihak polis dan tidak sepatutnya digunakan sebagai suatu alasan untuk
tidak mengisytiharkan harta mereka.
Dan nampaknya, mereka ini sememang tidak berniat untuk berbuat
demikian, apatah lagi melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP)
secara menyeluruh.
Kredibiliti terjejas
Baru-baru ini, kementerian dalam negeri telah menetapkan 15hb
Februari ini sebagai tarikh akhir untuk pendaftaran dan pemutihan para
pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di negara ini secara
haram. Tarikh tutup asalnya adalah pada 10hb Januari yang lalu.
Sebelum ini, kerajaan telah menegaskan bahawa tarikh akhir
pendaftaran dan pemutihan PATI itu tidak akan dilanjutkan lagi, namum
masih ramai yang mengagak bahawa tarikh tersebut masih boleh dilanjutkan
dan ternyata kerajaan telah sekali lagi berlembut dengan melanjukan
tarikh akhir tersebut kepada sebulan lagi.
Kerajaan telah berkali-kali melanjutkan tarikh tutup tersebut dan
perbuatan ini juga telah mengakibatkan kelewatan yang begitu ketara
sekali untuk mengesahkan para pekerja asiing ini. Hasilnya, kredibiliti
kerajaan di dalam menangani masalah tersebut terjejas.
Perdana menteri dan presiden Umno Datuk Najib Razak telah
memperkenalkan beberapa rancangan transformasi kerajaan, politik dan
ekonomi bagi menjana semula pendapatan negara dan rakyat, namum
rancangan tersebut tidak menampakkan perlaksanaan yang menyeluruh di
mana di sesetengah sektor ianya dilaksanakan serentak, manakala di
kebanyakan sektor pula, perlaksanaannya agak lembab dan ridak mendapat
sambutan atau langsung tidak diberikan perhatian dengan sepenuhnya.
Pemikiran dan budaya kerja yang lembap di beberapa jabatan dan agensi
masih subur di mata umum, menjadikan sebarang pencapaian adalah begitu
mustahil sekali.
Bagi meraih semula sokongan dan undi daripada rakyat jelata, kerajaan
perlulah memastikan transformasi tersebut dilansanakan secara
menyeluruh atau tidak ada sebarang pencapaian yang akan berlaku.
Jadi, yang manakah lebih berkesan? Transformasi ataupun Reformasi? Penentu kini berada di tangan rakyat.
Malaysia Chronicle
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.