"Sangat
glamour," fikirnya apabila melihat anggota keluarga Menteri Pembangunan
Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ditampilkan dalam majalah
berkenaan sekitar empat atau lima tahun lalu.
Keluarga
menteri itu nampaknya seronok dengan perhatian seperti itu, kata Rafizi
lagi dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.
Beliau
berkata demikian apabila ditanya sekiranya projek National Feedlot
Centre yang diusahakan syarikat berkenaan merupakan satu projek 'gajah
putih.'
Rafizi ditanya demikian susulan dakwaannya bahawa projek itu ditakdirkan untuk gagal sejak awal lagi.
"Jika
ia merupakan satu projek gajah putih, yang mereka tahu sebagai satu
sabotaj kepada mereka, saya tidak fikir mereka akan berseronok dengan
glamour...," katanya lagi.
Beliau juga mendakwa, keluarga menteri itu sejak awal lagi mengetahui bahawa projek ternakan lembu itu tidak akan berjaya.
"Tapi
saya fikir mereka tahu sejak awal lagi bahawa untuk mencapai sasaran
276,000 ekor lembu setahun adalah mustahil dan sebab itulah saya fikir
mereka menghabiskan banyak masa membuat perkara lain," katanya.
Rafizi
mendakwa projek NFC itu hanyalah satu "samaran", sedangkan suami dan
anak-anak menteri berkenaan menggunakan pinjaman RM250 juta itu sebagai
modal untuk perniagaan yang lebih "glamour" seperti pelaburan hartanah
dan juga kedai makan kelas tinggi.
"Jadi
apabila anda dapat orang yang mendapatkan kontrak dan pembiayaan bukan
untuk tujuan sebenar dasar tersebut, tentulah ia ditakdirkan gagal sejak
awal lagi," katanya.
Beliau
juga mendakwa, keluarga menteri itu telah menggunakan kawalan mereka ke
atas pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kerajaan itu untuk
perniagaan lain.
Akauntan berkanun itu memberi alasan mudah – walaupun
seseorang
itu tidak dilantik sebagai pemegang saham dalam sesuatu syarikat,
individu berkenaan boleh membuktikan bahawa mereka mempunyai kawalan ke
atas dana yang besar seperti pinjaman RM250 juta dari kerajaan.
"...Itu
saja sudah cukup sebagai jaminan kepada bank untuk memberikan anda
pinjaman untuk membeli begitu banyak hartanah," dakwanya.
Rafizi
juga sangsi dengan kenyataan yang diberikan oleh salah seorang anak
Shahrizat – Wan Shahinur Izmir Salleh – ketika menafikan dakwaan bahawa
beliau serta anggota keluarganya rakus membelanjakan pinjaman wang
tersebut.
Wan Shahinur antara lainnya berkata dakwaan itu tidak
munasabah kerana keluarganya masih perlu membayar pinjaman tersebut.
Rafizi yang melihat isu tersebut dari sudut akauntabiliti berkata, penjelasan itu tidak sah di sisi undang-undang.
"Saya
setuju jika setiap orang (pemilik National Feedlot Corporation)
meletakkan jaminan peribadi ke atas pinjaman RM250 juta, letakkan semua
aset atas nama mereka sebagai cagaran kepada RM250 juta itu, barulah
kita bercakap dengan masuk akal sedikit," katanya.
Tanpa
akauntabiliti seperti itu, kata Rafizi, tindakan yang dapat dijalankan
hanyalah dengan menutup syarikat induk yang mengawal NFC – Agroscience
Industries Sdn Bhd yang juga dimiliki keluarga menteri berkenaan.
Wan
Shahinur juga sebelum ini telah mengemukakan hujah bahawa langkah
menubuhkan syarikat pengedar untuk daging dan juga rangkaian restoran
mewah Meatworks dibuat untuk menyokong pusat ternakan fidlot itu.
Penjelasan itu dicabar oleh Rafizi yang berkata, kerajaan dan
syarikat
NFC sendiri tidak mempunyai hak ke atas dua anak syarikat tersebut –
National Livestock dan Meat Corporation dan Real Food Company – yang
telah menerima pemindahan wang daripada syarikat NFC.
National
Livestock and Meat Corporation bertanggungjawab mengeluarkan produk
lembu daripada daging tersebut dan Real Food Company pula mengedarkan
produk berkenaan, selain menguruskan rangkaian restoran mewah Meatworks.
"Anda
tanya sesiapa saja dalam syarikat runcitan, bukan saja dalam (industri)
daging. Mereka tidak tubuhkan begitu banyak operasi (tapi) mungkin
hanya satu bahagian atau seksyen pemasaran di dalam syarikat itu.
"Tapi
yang paling penting, anda tidak boleh bercakap mengenai membina
rangkaian pengedaran produk lembu seperti didakwa, apabila mereka tiada
lembu.
"Anda perlu ada jumlah lembu yang perlu sebelum anda boleh mula buat (perkara ini)," katanya.
Kerengga
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.