Dalam masa yang sama, mereka seolah-olah mahukan Anwar dipenjarakan, bagi menafikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah yang melepas dan membebaskan Anwar, 9 Januari lalu.
Nasib Mohd Saiful sebenarnya bukan matlamat utama, walaupun bapa Mohd Saiful sendiri, Azlan Mohd Lazim sendiri sudah dua kali mengeluarkan kenyataan meminta Pejabat Peguam Negara bertindak segera memfailkan notis rayuan, kerana mereka yang berhimpun itu, jumlahnya kecil, sering ke depan bila ada isu-isu yang boleh membantu memberi “political mileage” kepada Umno dan BN.
Barangkali, ini merupakan senjata terakhir Umno. Jika dapat mereka memenjarakan Anwar maka mereka tidak berdepan dengan beban besar di dalam PRU13 akan datang.
Tetapi, dari cakap-cakap yang terluah dari mulut mereka yang dekat dengan Ibu Pejabat Umno, selagi Anwar di luar (belum dipenjarakan), Umno dan BN akan menghadapi kesukaran.
Kesukaran yang mereka maksudkan bukan kesukaran seperti mereka berdepan dengan serangan isu NFC, dengan pembelaan kuat daripada Perkasa yang mendakwa sudah menemui suami kepada Ketua Pergerakan Wanita Umno, malahan, kesukaran berdepan dengan Anwar mereka anggap 100 kali ganda dari kesukaran berdepan dengan isu NFC.
Bila timbul isu NFC, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak boleh tolak kepada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Muhyiddin pula boleh menolaknya kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar.
Kemudian, Noh pula mengambil sikap berlepas tangan dengan menyerahkannya semula kepada Muhyiddin, tetapi dalam hal berdepan dengan Anwar, masing-masing merasakan mereka kena bersembunyi di dalam “lubang tikus”.
Lawak paling hebat selepas Maharaja Lawak 2012, ialah apabila Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang diketuai Azwanddin Hamzah menyerahkan memorandum kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya bertindak memberikan keadilan kepada Mohd Saiful sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan saluran perundangan bagi mendapatkan keadilan kepadanya.
Sesiapa sahaja yang sering mengikuti perkembangan politik di negara ini, mereka tentunya akan terbaca atau terpandang dengan nama Azwanddin Hamzah ini.
Dia akan muncul jika ada isuisu yang boleh memberikan dia perhatian untuk menjadi lebih dekat dengan kepimpinan Umno.
Setakat ini belum ada sesiapa yang mengeluarkan kenyataan mendakwa Azwanddin ini adalah perkakas Umno, tetapi dari cakap-cakap di luar, di kalangan orang-orang Umno sendiri secara berbisik mengatakan ini adalah kerja mereka yang menawarkan diri untuk menjadi alat atau perkakas Umno.
Bila menyentuh tentang keadilan, sebenarnya ramai lagi yang perlu diberikan perhatian oleh JMM. Pengagihan kekayaan negara misalannya, sungutan mahasiswa universiti dan beberapa tunjuk perasaan yang membabitkan AUKU, tidak pula dipedulikan.
Tetapi, bila ada sesuatu isu yang berpotensi untuk memenjarakan Anwar, mereka yang mahu menonjolkan diri, mungkin untuk menjadi calon BN dalam PRU13, akan tampil.
Namun, mereka ini bukan mempunyai keahlian yang ramai. Kalau dikira dua tiga kali pun, belum sampai 100 orang yang berhimpun.
Namun, mereka akan buat juga tunjuk perasaan kerana ada surat khabar yang pro Umno sedia menyiarkan berita tersebut.
Dari kalangan orang Umno, mereka menyifatkan perbicaraan kes liwat Saiful-Anwar ini macam perlawanan bola sepak.
Keputusan yang dibuat oleh Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah disifatkan sebagai keputusan di minit-minit awal perlawanan sedangkan ada lebih 80 minit lagi masa perlawanan. Kemenangan di pihak Anwar mereka anggap sebagai jaringan di awal-awal perlawanan yang tidak menjanjikan kemenangan kekal di pihak Anwar.
Rata-rata mahu Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebaliknya kerana ia akan diputuskan lebih dari tiga hakim. Khabarnya, jika Anwar masih terlepas, mereka mahu notis rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan pula.
Maknanya, mereka mahu skrip ini diteruskan sehinggalah orang hendak mereka penjarakan, tersumbat di dalam penjara.
Dalam masa yang sama, akhbar milik Umno terus memainkan peranan memberi gambaran betapa buruknya sikap Anwar hingga digambarkan sebagai menyokong homoseksual, apabila kata-kata Anwar seperti yang dipetik dalam wawancara TV asing itu, bukan bermaksud sedemikian.
Walaupun tiada siapa dari kalangan pemimpin Umno yang membuat kenduri apabila mendengar Pejabat Peguam Negara melalui Ketua Unit Rayuan, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Manoj Kurup memfailkan notis rayuan tersebut, seperti yang disahkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Halilah Suboh, tetapi masing-masing bersorak gembira mendengar berita tersebut.
Mereka berbangga dengan Peguam Cara Negara 1, Dato’ Idrus Harun yang menandatangani notis tersebut.
Bagi orang Umno, mereka mengharapkan Mahkamah Rayuan tidak akan bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi.
Mereka mahu keputusan sebaliknya dan bukan seperti yang diumumkan Hakim Mohamad Zabidin dalam masa dua minit itu.
Ramai yang terkejut dengan keputusan itu dan masingmasing mula takut dengan kemenangan yang berpihak kepada Anwar.
Kalau boleh mereka mahu Mahkamah Rayuan membuat keputusan seperti mana dalam kes Presiden DAP, Karpal Singh yang diarah membela diri atas tuduhan menghasut walaupun Mahkamah Tinggi sudah melepas dan membebaskan Karpal dalam tahun 2010.
Entah disusun atau kebetulan, Pejabat Peguam Negara memfailkan notis rayuan kes liwat Saiful-Anwar seperti serentak dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes tuduhan menghasut yang dikenakan terhadap Karpal.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Ahmad Ma’arop sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal.
Hari Sabtu, semua akhbar menyiarkan serentak berita kedua-dua tokoh pembangkang dari Pulau Pinang ini yang menyebabkan ada beberapa pihak tertanya-tanya, kenapa boleh jadi serentak kes mereka berdua ini.
Karpal dan Anwar “ada kait mengait” kerana Karpal adalah Ketua Pasukan Pembela kes Anwar-Saiful yang sudah berlanjutan hampir empat tahun itu.
Shalehudin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.