Cabaran itu diterima oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang
juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua
selaku Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Dr. Dzulkefly Ahmad iaitu
ahli jawatankausa kerja Pas Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Mereka berkata, debat itu boleh dilangsungkan bila-bila dan diadakan dengan adil dan telus.
Ketiga-tiga mereka merujuk kepada laporan media semalam, yang
menyiarkan cabaran Menteri Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
kepada salah seorang daripada wakil rakyat terbabit agar berdebat
tentang penggunaan dana KWSP bagi membiayai pinjaman pemilikan unit-unit
perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Raja Nong Chik antara lain berkata, golongan miskin ini tidak mungkin
mendapat perumahan tanpa bantuan dan sama ada ahli-ahli Parlimen PR
terbabit merasakan golongan terbabit tidak layak mendapat perumahan.
"Beliau juga menambah cabaran kepada kami untuk berdebat dalam sesi
debat satu-lawan-satu di hadapan semua penduduk PPR terbabit," kata
ketiga-tiga wakil rakyat tersebut dalam satu kenyataan bersama.
Mereka juga berkata, "pertama sekali, kami sudah berkali-kali
menyatakan pendirian Pakatan Rakyat yang mendukung sepenuhnya objektif
mulia bagi menyediakan perumahan mampu milik untuk warga miskin bandar
seluruh negara."
Akhir minggu lalu, Nurul Izzah berkatam PR menolak cadangan kerajaan
untuk menggunakan dana KWSP bernilai RM1.5 bilion bagi membiayai Skim
Pembiayaan Khas Penjualan PPR.
Menurut Nurul Izzah, tindakan itu bukan cara yang tepat bagi membantu
penduduk PPR membuat pinjaman bagi memiliki kediaman mereka.
“Kita bersetuju untuk bantu rakyat tetapi bukan dengan cara menggunakan wang pekerja rakyat bagi tujuan ini.
“Kami Pakatan Rakyat sebulat suara menolak penggunaan wang KWSP kerana
bank-bank yang wujud di negara ini seperti Bank Rakyat juga tidak
bersedia memberi pinjaman. Ini bermakna pembiayaan itu tiada jaminan dan
tidak selamat,” katanya.
Skim Pembiayaan Khas ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu, yang mana skim berkenaan
bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sekitar 25,000 bakal pembeli telah diberikan surat tawaran oleh DBKL
dan pembiayaan sepenuhnya kepada rumah, yang dianggarkan bernilai antara
RM21,500 dan RM35,000, akan diberikan kepada mereka oleh KWSP.
Dalam kenyataan hari ini, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan menambah,
matlamat skim biaya khas itu iaitu memastikan warga miskin bandar
memiliki perumahan adalah tanggungjawab kerajaan sedia ada, dan bukannya
dipertanggungjawabkan kepada tenaga pekerja Malaysia.
"Justeru, kami amat mengalu-alukan debat dengan menteri demi kebajikan
dan maslahat rakyat bagi menjawab semua isu berkait dalam suasana yang
terbuka dan telus.
"Dan, dalam memastikan masyarakat umum mengetahui isu sebenar
kontroversi penggunaan dana KWSP ini, debat bersama menteri haruslah
terlaksana dalam suasana adil, terbuka dan sama rata," katanya lagi.
Sehubungan itu kata mereka, debat yang bakal berlangsung tidak boleh
terhad kepada penduduk rumah PPR di Kuala Lumpur, tetapi perlu dibuka
kepada semua warga Malaysia, khususnya pencarum-pencarum KWSP.
"Sebaik mungkin, debat yang akan diadakan kelak juga seharusnya tersiar
dalam televisyen untuk memastikan semua rakyat Malaysia, yang mungkin
tidak dapat turut serta termasuk pencarum KWSP Sabah dan Sarawak, diberi
peluang menilai keberkesanan skim pinjaman khas ini.
"Tambahan lagi, demi keterbukaan dan akauntabiliti, kami percaya Raja
Nong Chik, yang bersedia berdebat dengan salah seorang daripada kami,
akan bersedia melampirkan keseluruhan perjanjian antara agensi-agensi
pilihan kerajaan dan KWSP.
"Hanya lampiran perjanjian penuh yang diberi kepada ahli-ahli Parlimen
dan rakyat secara umum dapat menjamin debat yang telus dan bermakna,"
kata mereka lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.