Ibarat
duri dalam daging PAS, Hasan Ali akhirnya terpaksa dibuang setelah
tidak berganjak daripada terus mencucuk-cucuk parti dan Pakatan
Rakyat. Dengan keputusan berani dan menggemparkan itu, PAS dijangka tidak
akan berundur lagi walaupun anggota exco kerajaan Selangor itu boleh
merayu kepada majlis syura.
Keputusan kali ini, biarpun bagi sesetengah orang sudah terlambat, kelihatan sudah muktamad.
Majlis
syura yang disertai barisan teratas pemimpin parti dan beberapa tokoh
ulama dikatakan berat hati untuk merombak kembali keputusan semalam.
Menurut
sumber parti, walaupun ahli-ahli jawatankuasa mencadangkan ADUN Gombak
Setia itu sekadar digantung keahliannya, pucuk pimpinan atasan PAS
bertegas inginkan beliau dipecat.
Malah
mereka yang menyokongnya, dan bersimpati dengannya, sendiri bersedia
menerima saranan agar tindakan disiplin dikenakan kepada bekas
pesuruhajaya PAS Selangor itu.
Mereka setidak-tidaknya boleh menerima cadangan menggantung keahlian Hasan.
Rancakkan pendedahan blog
Dan, menurut sumber lagi, kesan negatif terhadap parti akibat pemecatan ini tidaklah besar dan akan boleh dikawal.
Namun, tugasan mengawal publisiti buruk itu tidaklah mudah apabila media arus perdana mengeksploitasi isu ini nanti.
Apatah
lagi masih ada saki-baki penyokong Hasan dalam parti yang membangunkan
blog-blog untuk menyerang pihak-pihak tertentu dalam PAS. Pemecatan ini
pastilah merancakkan lagi pendedahan blog-blog tersebut.
Keputusan ini juga, di satu sisi lain, menunjukkan PAS sudah bersedia
mengambil
risiko tersebut -- membenarkan telahan politik sebelum ini bahawa parti
memang merancang membuang duri dalam daging tersebut menjelang pilihan
raya umum.
Pemecatan
ini turut menyelesaikan dua masalah sekali gus: bukan sahaja membuang
duri dalam parti tetapi juga nanah dalam barisan kepemimpinan kerajaan
Selangor.
Keputusan
ini tentunya melegakan PAS dan menggembirakan beberapa pihak dalam
Pakatan Rakyat sejak isu Hasan tidak reda-reda mulai akhir tahun lalu.
Dua medan tempur
Penceramah motivasi itu pula tidak serius menunjukkan beliau sudah 'insaf'.
Malah ia makin kuat mencabar kepemimpinan parti dan simbolnya --
walaupun setelah bertemu dengan mursyidul am Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden Abdul Hadi Awang tidak lama dulu.
Seperti
juga sifat 'mohon maafnya' dalam isu dasar negara berkebajikan PAS,
Hasan pada masa yang sama memperlekehkan setiausaha agung Mustafa Ali.
Kali ini, selepas menteri besar itu menyatakan Hasan telah memohon
maaf,
bekas pegawai kanan kerajaan itu memperlekehkan Harakahdaily (yang
menyiarkan kenyataan Nik Abdul Aziz) sehingga organ parti itu terpaksa
menyiarkan transkrip lengkap sidang media tersebut.
Dalam siri pertempurannya dengan parti sebelum ini, Hasan kelihatan sering
membuka medan-medan baru -- mempertikai Harakah yang dikatakan tidak
memberikan liputan kepadanya dan juga kenyataan ketua penerangan PAS
Selangor Saari Sungib dalam isu pencalonannya semula di Gombak Setia.
Khamis
lalu, setelah konflik Hasan-PAS boleh dianggap mereda susulan pertemuan
di Kota Bharu, Hasan membuka dua (atau, tiga) medan tempur sekali gus.
Dalam
sidang media di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), exco agama
itu menggesa penguatkuasa agama itu mengenakan tindakan terhadap Badrul
Amin Baharon, seorang ahli majlis tertinggi PKR, atas alasan beliau
menyamakan Anwar Ibrahim dengan ‘Imam Mahdi'.
Berlagak menteri pengajian tinggi
Tidak
cukup mempertikaikan perhimpunan pro-Anwar di mahkamah Kuala Lumpur
semalam, dan menolaknya mentah-mentah, Hasan malah mempertikaikan arahan
pucuk pimpinan PAS Selangor yang menggesa ahli menyertai rapat umum
901.
Padahal, Abdul Hadi bersama tokoh besar DAP Lim Kit Siang sudah beriltizam akan turut serta dalam mobilisasi 901.
Hasan sebaliknya mengatakan tiada arahan rasmi dikeluarkan untuk itu dan menggalakkan PAS agar tidak menyertainya.
Atas kenyataannya itu sahaja, Abdul Hadi dan timbalannya Mohamad Sabu terpaksa tampil menegaskan sikap mereka berdua dan PAS.
Jika
kerja beberapa tokoh kanan parti ini hanyalah untuk melayan karenah
Hasan, tentulah keseluruhan citra dan wibawa parti akan luntur.
Tidak
memadai dengan semua itu, Hasan juga berlagak menteri pengajian tinggi
dengan menggesa pelajar agar tidak menyertai perhimpunan tersebut!
*Fathi Aris Omar bertugas sebagai ketua pengarang di Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.