Pada ketika Umno masih belum selesai dengan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperbesarkan isu pemecatan Datuk Dr Hasan Ali dan memanipulasi isu pengambilan portfolio agama Islam oleh MB Selangor, dalam diam DAP memperkukuhkan partinya.
Hari ini Umno dikejutkan lagi dengan berita penyertaan Hata Wahari,
bekas wartawan Utusan Malaysia dan mantan Presiden NUJ kedalam parti
tersebut.
Sebelum ini dua orang blogger, Aspan Alias dan Datuk Mohd Arif Sabri —
juga veteran Umno —menyertai parti yang digambarkan oleh Utusan
Malaysia sebagai “chauvinis Cina”.
Ironinya, Hata Wahari memilih untuk menyertai DAP walaupun majikan
lamanya, Utusan Malaysia paling kuat menghentam parti yang menguasai
Pulau Pinang itu.
Apakah yang bakal dikatakan oleh lidah pengarang Utusan Malaysia untuk menjawab penyertaan Hata
Wahari ke dalam DAP?
Apatah lagi pada ketika Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang baru
sahaja memenangi saman fitnah terhadap Utusan Malaysia. Utusan Malaysia
di-ibarat “sudahlah jatuh ditimpa tangga pula”.
Dikala ramai yang menyangka Hata Wahari akan menyertai PKR, mantan
Presiden NUJ itu mengejutkan ramai pihak. Hata mungkin nampak perubahan
besar yang telah berlaku dalam “mindset” DAP.
Pengajaran PRU 12
PRU 12 merupakan pendidikan politik yang terbaik kepada DAP. Pada
ketika itu, negeri Perak jatuh dan DAP mempunyai kerusi terbesar
berbanding PKR dan PAS.
Akan tetapi, oleh kerana Undang-undang Tubuh Negeri Perak
mensyaratkan Menteri Besar perlulah dari kalangan orang Melayu yang
beragama Islam, DAP terpaksa akur dan menyerahkan kerusi MB kepada PAS.
Tindakan tersebut dilakukan dengan secara terpaksa oleh kerana DAP
sendiri pada ketika itu tidak pernah terfikir bahawa negeri Perak akan
tumbang.
Pengalaman mendewasakan manusia. Begitu juga parti politik. Selepas
PRU 2008, sedikit demi sedikit orang-orang Melayu dibawa masuk menyertai
DAP.
Ini adalah penting untuk menghakis imej “chauvinis Cina” yang dilemparkan terhadap parti tersebut.
Dengan kemasukan tokoh-tokoh seperti Tunku Aziz, Aspan Alias, Arif
Sabri dan Hata Wahari, dipercayai lebih ramai orang-orang Melayu akan
menyertai DAP selepas ini.
Dari segi sokongan rakyat, DAP kini berada dalam keadaan kuat dengan
sokongan tidak berbelah bagi masyarakat Cina terhadap mereka. Jika
sokongan orang-orang Melayu dapat dimenangi oleh DAP, parti tersebut
akan menjadi semakin kuat berbanding rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti
PKR dan PAS.
Cabaran terbesar DAP
Di kalangan orang-orang Melayu terutamanya di kawasan pendalaman, DAP
masih lagi “momok” yang menakutkan mereka. Tambahan lagi apabila media
yang dapat diakses hanyalah Utusan Malaysia dan TV3.
Makin takutlah orang-orang Melayu terhadap DAP. Tokoh-tokoh Melayu
yang baru menyertai DAP ini akan diberikan peranan untuk memenangi hati
orang-orang Melayu.
Bagaimana untuk melakukan itu? Inilah cabaran terbesar yang akan
digalang oleh tokoh-tokoh Melayu ini.
Dalam jangkamasa terdekat, mungkin
tidak banyak yang boleh dilakukan.
Akan tetapi, jika DAP serius mahu mentransformasikan parti tersebut
kepada parti yang benar-benar “Malaysian”, dalam jangkamasa panjang
ianya boleh dilakukan.
Kestabilan kerajaan Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng
seringkali disebut-sebut sebagai negeri terbaik yang diperintah oleh
Pakatan Rakyat.
Walaupun diasak secara bertalu-talu oleh “geng mamak” — yang kecewa
kerana tidak lagi memonopoli kontrak kerajaan negeri dan media arus
perdana, Pulau Pinang tetap “tegak” dibawah Guan Eng.
Dengan nasihat yang diberikan oleh Mohamad Sabu — sahabat baik Ketua
Menteri Pulau Pinang semasa dalam tahanan ISA, imej DAP dikalangan
orang-orang Melayu di Pulau Pinang semakin positif.
DAP sedar, jika gagal mendapatkan sokongan majoriti orang-orang Melayu, tidak mungkin mereka akan dapat memerintah Malaysia.
Apa yang diperlukan oleh DAP sekarang ialah bukan sahaja kemasukan
tokoh-tokoh Melayu kedalam parti tersebut akan tetapi sebuah program
politik yang menyakinkan orang-orang Melayu terhadap mereka.
Jika ini dapat diselesaikan, tidak mustahil satu hari nanti perdana menteri Malaysia akan datang dari DAP.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.