KUALA LUMPUR, 22 DIS: Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menjelaskan Pas tetap akan mempertahankan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara seperti yang dipersetujui bersama oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga.
Katanya, empat perkara utama yang akan dipertahankan oleh Pas termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, Institusi Raja-Raja, keistimewaan orang Melayu dan memartabatakan Bahasa Malaysia dan bukannya tiga perkara seperti yang disebutkan oleh Mantan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hassan Ali.
"Tiga tidak cukup, dia kena tambah lagi sebab dalam Buku Jingga yang disepakati oleh ketiga-tiga parti politik, bukan Pas sahaja, kita mempertahankan empat dasar utama dalam perlembagaan negara iaitu kedudukan Instritusi Raja-raja, Islam sebagai agama persekutuan tanpa menafikan hak penganut agama lain, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.
Ujar beliau, ‘perangkap' yang sebelum ini dinyatakan merupakan perangkap politik dan beliau tidak berfikir Datuk Hassan akan menyertai Umno.
"Ada orang bertanya kepada saya, adakah mungkin Datuk Hassan akan masuk Umno? Saya tidak fikir Datuk Hasan akan masuk Umno dan saya tidak fikir Umno akan terima Hassan. Masalah perangkap ini saya tidak fikir Hassan akan masuk Umno. Ini penilaian politik saya
"Kalau seseorang itu meninggalkan Pas, sebagai contoh Nakhaie (Datuk Nakhaie Ahmad), ketika beliau meninggalkan Pas dahulu sebagai Naib Presiden. Dia mungkin laku sekejap. Umno guna untuk bantai Pas. Dari segi kaedah politik, bila keluar
Pas duduk sebelah sana dan hentam Pas, tidak ada orang Pas akan percaya apa yang dikatakan. Tetapi bila ada dalam Pas sebagai pimpinan bila anda bercakap, anda boleh mengelirukan orang sebab ini pimpinan Pas sendiri yang cakap. Begitu juga dalam Umno," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Mantan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa kerana menjauhkan diri daripada ‘perangkap' Umno.
Sebelum ini Nasharuddin membuat kenyataan terbuka di media bahawa beliau tidak akan meninggalkan PAS walau dalam apa keadaan sekalipun dan jauh sekali akan menyertai Umno.
Menurut Mustafa, kekuatan Pas melalui pendekatan dan keakraban dua golongan yang selalu diistilahkan iaitu ulama dan profesional seperti yang diungkapkan pada zaman Presiden Pas terdahulu, Alahyarham Datuk Fadzil Noor ‘Mengulamakan Profesional dan Memprofesionalkan Ulama'.
Mengulas lanjut katanya, Pas tetap kekal dengan dasar perjuangan Islam sebaliknya hanya pendekatan yang berubah, namun hakikatnya tidak menjejaskan dasar.
Jelas beliau dari segi strategi kerjasama parti, Pas merupakan parti paling banyak menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain di negara ini.
"Starategi berubah misalnya Pas pernah bertanding dalam pilihanraya dahulu bersendirian.
Pas pernah bekerjasama dengan parti-parti lain. Tidak salah, sebab dasar Pas tetap Islam tetapi pendekatan sahaja yang berbeza.
"Kita pernah menggunakan perkataan Islam sebagai Ad-din satu ketika dahulu. Negara Kebajikan itu pendekatan yang kita buat. Saya hairan mengapa Hassan Ali tidak faham mengenai perkara ini," katanya.
Jelas beliau, kenyataan Hasan boleh mengelirukan masyarakat dan Ahli PAS serta menolak konsep Negara Kebajikan sebagaimana di persetujui ketika muktamar PAS lalu.
Pertemuan sulit Hasan - Nasharuddin
Sementara itu, Mustafa turut meminta penjelasan daripada Datuk Hassan Ali berhubung satu pertemuan sulit dengan bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa.
"Bulan Ramadhan yang lepas, satu perjumpaan yang dibuat di Le Meridien Hotel. Selepas terwaih. Saya dapat maklumat penuh. Yang dihadiri oleh Hassan Ali, Nasharudin dan tidak kurang daaripada tiga yang lain. Saya nak tanya apa yang dia bincangkan. Projek ekonomi atau projek politik atau projek kedua-duanya sekali.
"kalau dia ingin menafikannya, dia boleh nafi. Jika saya tidak betul saya akan beri maklumbalas lanjut. Saya tidak mengharapkan dia bagi butiran lanjut. Saya hanya ingin berikan kesedaran bahawa saya ada maklumat tentang beberapa perkara yang lain," katanya.
Beliau turut memaklumkan, ketiga-tiga pihak, Datuk Hassan Ali, Nasharudin Isa dan Shaari Shungib akan dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.