Followers

Monday, November 21, 2011

Rasuah Menjadi-jadi Di Kementerian Pertahanan Sehingga Nyawa Askar Jadi Taruhan

 
Bekas askar dakwa nyawa dipertaruh kerana rasuah

Beberapa bekas anggota tentera, yang telah berkhidmat selama beberapa dekad, tampil dan mendakwa gejala rasuah dalam Kementerian Pertahanan telah meletakkan nyawa mereka ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

Seorang daripada mereka, semasa forum mengenai rasuah dalam industri pertahanan, memberitahu Malaysiakini, bahawa tindakan itu telah menyaksikan beberapa rakannya menjadi ‘kudung’ dan sebahagian besar mereka "menderita secara senyap".

Lelaki yang enggan namanya didedahkan itu kerana khuatir akan dikenakan tindakan tatatertib berkata, pegawai bukan tentera telah menolak cadangan pihak ketenteraan dan sebaliknya membeli peralatan kurang bermutu yang mempertaruhkan nyawa perajurit negara.

"Kita beli mesin gun AK 33 yang selepas tembakan sebanyak tiga pusingan akan tersekat. Ini memaksa askar mencampangkan senapang itu dan berjuang menggunakan parang,” katanya merujuk kepada satu operasi yang tidak dinamakannya.

Contoh lain, katanya, sekitar tahun 1970-an, kaki askar-askar dijangkiti sehingga ada yang terpaksa dipotong kerana but yang dibekalkan mereka karat. Ini kerana but yang dibekalkan itu diperbuat daripada kepingan zink dan bukannya aluminium seperti yang sepatutnya.

But berkenaan bertujuan melindungi kaki askar dari pancang perangkap samar yang tersembunyi ketika peperangan gerila di hutan. Namun, katanya, ia gagal untuk berbuat demikian kerana senang berkarat ketika askar-askar meredah hutan ketika hujan lebat.

Beliau turut memberi contoh, bagaimana, poncho atau baju hujan yang berkualiti rendah itu seringkali menyaksikan perajurit basah kuyup setiap kali hujan.

"Saya dalam kesejukan berada di hutan sedangkan seseorang telah mendapat habuan besar dan berseronok di tempat lain," katanya pada majlis anjuran Transparency International di Subang.

Lelaki itu juga mendakwa mutu makanan yang berkualiti rendah dibekalkan kepada pasukan tentera dan sekiranya pegawai mereka membuat bantahan, mereka pula akan dipindahkan ke tempat lain sebagai hukuman.

"Mereka tidak peduli. Saya percaya ia masih berterusan. Askar-askar kita yang menderita,” rintihnya lagi. -mk
'Pengantara pertahanan punca gejala rasuah'

Keperluan syarat yang mewajibkan syarikat-syarikat asing menubuhkan usahasama dengan syarikat-syarikat tempatan di Malaysia untuk penjualan kelengkapan pertahanan tentera mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk rasuah, menurut seorang pakar antarabangsa mengenai ketelusan perolehan pertahanan.

Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu temu bual, pengarah program, pertahanan dan keselamatan, Transparency International UK (TI-UK) Mark Pyman berkata sistem seumpama itu bukan tidak diamalkan di seluruh dunia tetapi ia "penuh dengan bahaya".

"Ia bukan satu yang kompetitif, jadi sangat mudah bagi penetapan harga dimanipulasikan. Amat senang bagi tawaran itu digunakan sebagai mekanisme untuk pembayaran rasuah atau mendapatkan pengaruh," kata Pyman, yang merupakan bekas ketua pegawai kewangan firma gergasi minyak dan gas antarabangsa, Shell.

Beliau merujuk kepada keadaan di mana perjanjian itu boleh menyebabkan harga sebenar perolehan menjadi terlalu besar dengan usahsama bersama syarikat tempatan itu menubuhkan syarikat pseudo untuk meraih jumlah komisen yang besar.
Senario ini, dapat dilihat terutamanya di Malaysia. Antara, yang paling terkenal adalah perolehan dua kapal selam Scorpene yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan menerusi kontrak RM7.3 bilion dengan firma DCNS dari Perancis dan Navantia dari Sepanyol.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak kerana syarikat perundingan tempatan, iaitu Perimekar yang ditubuhkan hanya sejurus sebelum perjanjian itu, didakwa menerima 30 juta euro (RM500 juta) dalam bentuk komisen.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pertahanan mempertahankan bayaran itu dan menegaskan bahawa ia adalah bayaran bagi urusan 'penyelarasan dan perkhidmatan sokongan. -mk

Bajet pertahanan M’sia tidak telus

Kedudukan Malaysia ini mengecewakan jika dibandingkan dengan Bangladesh, Liberia, Papua New Guinea dan Uganda.

PETALING JAYA: Malaysia mencatat skor 4.5 dari jumlah 12, suatu kedudukan kurang satu tangga dari bawah dalam kaji selidik global tentang ketelusan belanjawan dalam sektor pertahanan.

Kedudukan yang memalukan ini didedahkan oleh Transparency International UK (TI-UK) dalam laporan Bajet Pertahanan Nasional yang melibatkan 93 buah negara yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, demikian menurut The Edge keluaran terbaru.

Tiga faktor menyumbang ke arah kedudukan ini. Pertama, kaji selidik menunjukkan jumlah item rahsia dalam bajet pertahanan Malaysia adalah tinggi, pada sekitar 8.5% dari jumlah keseluruhan. Berbanding dengan Korea Selatan di mana hanya 2% perbelanjaan pertahanan dikategorikan sebagai rahsia.

Kedua, perbelanjaan pertahanan tidak dibenarkan dibahas dalam Parlimen Malaysia, di mana pengarah TI-UK International Defence and Security Programme, Dr Mark Pyman menyifatkannya sebagai “memeranjatkan”.

Ketiga, perbelanjaan pertahanan tidak diteliti dan dihalusi oleh Ketua Audit Negara, tidak seperti di negara-negara lain yang berada pada ranking yang lebih tinggi.

Malahan laporan itu juga mendedahkan kedudukan Malaysia yang mengecewakan jika dibandingkan dengan Bangladesh, Liberia, Papua New Guinea dan Uganda yang berada dalam kedudukan yang lebih baik dari negara ini dari segi ketelusan dalam perbelanjaan pertahanan.

Minat terhadap ketelusan dalam perbelanjaan pertahanan semakin meningkat sejak satu dekad yang lalu, kata laporan itu.

Para pegawai memberitahu TI-UK bahawa mereka begitu peka tentang risiko rasuah dalam pertahanan dan keselamatan kerana menurut mereka, gejala rasuah ini akan mengakibatkan pembaziran sumber, mengurangkan keberkesanan operasi, menghakis keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan dan menakut-nakutkan syarikat-syarikat pelabur luar.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua membangkitkan isu perbelanjaan yang dibuat Kementerian Pertahanan yang mengakibatkan ketirisan kira-kira RM12 bilion ekoran dari pembelian kereta perisai, helikopter dan kapal perang pada harga yang sangat tinggi.

Pertanyaan yang dikemukakan oleh Pua itu ditolak oleh Speaker untuk dibahas dan menteri berkenaan Datuk Seri Zahid Hamidi berkata beliau langsung tidak tahu menahu tentang butir-butir perbelanjaan dan ketirisan yang didakwa oleh Pua. -FMT




 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.