Followers

Tuesday, November 8, 2011

Jika Mungkir Janji Najib Akan Terima Padah Seperti Presiden Tunisia, Mesir & Libya


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikrar mengambil pelbagai langkah sewajarnya untuk menghalang pilihan raya umum ke-13 daripada diadakan sebelum proses pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini dilaksanakan. 
 
Maka tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat turun bukan sahaja untuk melakukan protes tapi benar-benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihan raya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan,” kata pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin (kiri) dalam satu kenyatan media.


Menurutnya, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, pilihan raya di negara ini hanya boleh diadakan selepas proses penambah-baikan dijalankan sekiranya kerajaan BN tidak mahu berdepan dengan kuasa rakyat.

“Yakinlah rakyat sudah mula hilang kesabaran. Negara sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang ini.

bersih rally july 9 crowd face-off with police 1“Jika pilihan raya umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan pilihan raya yang meyakinkan kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar,” katanya.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak teruk dibidas pelbagai pihak baik di dalam mahupun di luar negara berhubung cara pentadbirannya bertindak menggunakan kekerasan melampau dalam menggagalkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Bebas(BERSIH 2.0) pada 9 Julai lalu.
Parlimen dibubarkan November ini?

BERSIH yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini berjaya menarik penyertaan ribuan rakyat jelata dari segenap lapisan untuk turun di jalanan sekitar Kuala Lumpur. Pada perhimpunan itu, tidak kurang 1,700 penunjuk perasaan telah ditangkap manakala ribuan lagi diserang dengan gas pemedih mata, tembakan meriam air berkimia dan turut dipukul oleh pihak polis. Bagi mengendurkan ketegangan dan kemarahan rakyat serta masyarakat antarabangsa, Najib akhirnya akur untuk menubuhkan Jawatankuasa khas terpilih parlimen bagi reformasi pilihan raya.


Walau bagaimanapun, para pengkritik memberi amaran bahawa ini hanya alasan untuk merdakan kemarahan orang ramai kerana Najib selaku perdana menteri boleh membubarkan Dewan Rakyat pada bila-bila masa. Malah beliau juga pernah berkata ini mungkin dilakukan sebelum jawatankuasa itu siap mengemukakan cadangan mereka. Menurut Chegubard, berdasarkan maklumat terkini, daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai telah mendedahkan bahawa Najib akan membubarkan parlimen dalam bulan November bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.


Paling kotor

“Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan.

“Jika ini tetap dilakukan maka tidak dapat dielakkan persepsi pilihan raya kali ini hanya proses ‘palsu’ bagi menghalalkan regim terus berkuasa,” katanya.
Chegubard (gambar kiri) berkata selain sistem pilihan raya yang belum diperbetulkan, pentadbiran BN dijangka cuba mengambil kesempatan daripada musim tengkujuh dan musim haji bagi kelebihan mereka. Justeru, beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat PKR berkata SAMM bersama dengan organisasi massa yang lain memberi amaran supaya perdana menteri memastikan segala kepincangan sistem pilihan raya negara ini diperbaiki sebelum membubarkan Dewan Rakyat.

“Kami SAMM bersama dengan teman-teman organisasi massa yang lain pada hari ini mewakili rakyat keseluruhanya memberi amaran kepada perdana menteri Malaysia bahawa pilihan raya umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihan raya dilakukan.


“Proses penambahbaikan ini juga seharusnya satu proses ‘reformasi’ serius yang memberi jawapan kepada kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata,” katanya lagi.
 
Siasahkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.