Di kalangan penyanyi tempatan, Mizz Nina merupakan salah seorang penyanyi yang sering menjadi pilihan ramai artis dari luar negara dalam kebanyakan konsert yang mereka adakan di sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebagai contohnya, pada April lalu, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman telah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert Justin Bieber dan Bruno Mars yang pertama kalinya diadakan di Kuala Lumpur.
Pada Julai tahun lalu, penyanyi berusia 31 tahun ini juga pernah memeriahkan konsert penyanyi R&B terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Usher di mana dia turut menjadi pilihan pihak penganjur sebagai artis undangan pada konsert tersebut.
Tidak berhenti setakat itu, pada 1 Disember ini, Mizz Nina sekali lagi menjadi pilihan penyanyi pop, R&B dan tekno dari AS iaitu Pitbull yang menjemputnya sebagai artis jemputan pada konsert pertamanya di negara ini.
Sewaktu diajukan pertanyaan tentang kecenderungan artis-artis Barat memilihnya sebagai penyanyi undangan mereka, isteri kepada penyanyi kumpulan Hujan, Noh ini tidak menafikan dia menyedari hakikat itu.
Malah, Mizz Nina juga tidak berasa kecil hati atau melatah apabila secara tidak langsung, dia turut dilabelkan sebagai hanya bertaraf artis pembuka tirai dalam konsert artis-artis popular dari Barat di negara ini dari dulu sehingga kini.
“Saya tidak kisah apa orang hendak kata tentang perkara itu. Ini kerana, bagi saya yang penting ialah kepercayaan artis terbabit dan pihak penganjur kepada saya walaupun hanya sebagai artis undangan.
“Bagi saya, itu adalah suatu penghargaan buat saya,” katanya sewaktu ditemui selepas sidang akhbar mengumumankannya sebagai artis pembuka tirai konsert Pitbull di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada konsert Pitbull yang akan diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor nanti, Mizz Nina akan menyanyikan tiga buah lagu antaranya berjudul What You Waiting For. - KLpos
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.