Dalam ilusi pemulihan dari demokrasi terpimpin ala Tun Mahathir Mohamad kepada sebuah demokrasi dalam erti kata yang sebenarnya pada hari ini, sedikit sebanyak telah menyuburkan lagi kesedaran masyarakat awam tentang hak dan kuasa mereka.
Sama ada di pihak majoriti mahu pun minoriti, masing-masing berlumba-lumba menuntut sesuatu yang dikatakan ‘hak’ bagi kumpulan mereka.
Sebagai fakta, lihatlah sendiri zaman Mahathir memerintah Malaysia. Kini ilusi yang sama masih menghantui walau pun dalam suhu politik yang berbeza dan semakin mengelirukan.
Demokrasi, hak dan kematangan kita
Datuk Seri Najib Razak terpaksa berdepan dengan segala tuntutan ini. Namun, cara beliau agak berselindung atau ‘berkias’, barangkali tujuannya agar rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak terkejut atau melatah dengan anjakan yang ingin dibawa oleh pentadbirannya, iaitu dengan menggunakan istilah ‘transformasi’.
Transformasi dan reformasi adalah dua istilah yang berbeza. Transformasi membawa maksud secara ringkasnya ‘rentas’ atau ‘peralihan’. Dalam bahasa yang lebih mudah ia adalah peralihan bentuk pentadbiran yang lama kepada baru.
Reformasi pula, seperti kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah ‘islah’ atau dengan bahasa mudahnya ‘pembaharuan’ ke arah bentuk pentadbiran dan budaya yang baru.
Demokrasi dan pendirian liberal
Konsep transformasi Najib yang diterjemahkan dalam aspek ekonomi menggunakan istilah Economic Transformation Programme (ETP) atau dalam Bahasa Malaysia disebut sebagai Program Tansformasi Ekonomi.
Isinya adalah untuk meliberalisasikan dasar dan amalan ekonomi Malaysia. Bagi kita sebagai rakyat biasa, adakah kita benar-benar memahami apa itu liberalisasi?
Liberalisasi adalah bahagian dari konsep transformasi dan reformasi itu sendiri, iaitu kebebasan. Kesemua ini adalah isi kepada demokrasi.
Konsep liberal inilah yang telah dikaitkan dengan isu program Seksualiti Merdeka, Islam Plural, Islam Liberal, Dialog Antara Agama, hak asasi manusia dan segala macam hubungan yang dianggap oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor sebagai ‘agama baru’ yang akan mengancam perpaduan umat Melayu dan Islam.
Apabila menyentuh tentang istilah ‘kebebasan’ maka akan muncullah persepsi-persepsi yang begitu sangsi sekali terhadap agenda reformasi Pakatan Rakyat, malah secara tidak langsung ia juga memberi kesan negatif terhadap usaha Najib sendiri yang memperkenalkan transformasi (liberalisasi) menerusi aspek ekonominya.
Kesangsian ke atas kedua-dua istilah ini akhirnya akan menjerat kembali konsep demokrasi yang sedang kita semua perjuangkan.
Demokrasi terpimpin
Dalam demokrasi terpimpin ala Mahathir, kerajaan amat suka campur tangan dalam urusan peribadi rakyatnya. Ini ciri-ciri pemerintahan diktator, ini juga ciri-ciri amalan budaya oleh masyarakat yang suka bergantung dan meminta kepada kerajaan. Akhirnya, rakyatlah yang menjemput pemimpin diktator hadir dalam hidupnya.
Bagi golongan yang masih berfahaman demokrasi terpimpin Mahathir yang melihat demokrasi tulen itu sebagai ‘gangguan’ kepada ideologinya, sudah tentu isu-isu hak yang sedang dituntut oleh mereka, contohnya Seksualiti Merdeka, sebagai satu bukti bahawa demokrasi tulen ini akan merosakkan ummah.
Jika diungkap dari segi dialog bagi golongan demokrasi terpimpin yang disokong oleh kumpulan ultra-kaum seperti Perkasa, barangkali bunyi ayat klisenya adalah: “Hah, kan dah betul. Aku dah kata, nak sangat demokrasi, sekarang orang-orang gay dan lesbian pun dah pandai tuntut hak mereka. Sekarang padan muka, inilah padahnya mereka yang menyokong demokrasi Pakatan Rakyat”.
Mungkin inilah asasnya bagaimana persepsi buruk terhadap demokrasi ditanam, disalah faham, disalah erti dan disalah guna.
Mana yang peribadi, mana yang awam
Demokrasi yang sebenar haruslah bergerak di atas satu landasan yang cukup jelas iaitu – kematangan atau kewarasan. Dalam bahasa yang lebih mudah, demokrasi tidak akan memberi apa-apa manfaat jika kita tidak bertindak secara waras baik dalam memperjuangkan hak, mempertahankan hak dan memberi hak kepada mana-mana pihak.
Jika semua pihak berfikir bahawa dengan demokrasi kita semua boleh menuntut apa sahaja hak yang kita fikirkan baik untuk diri atau kelompok kita tanpa menghiraukan kesan kepada kepentingan ramai, itu bukan hak dan itu bukan demokrasi sebenar namanya. Itu sembrono.
Apabila tersentuh dalam konteks kepentingan ramai, ia sudah tentu akan melibatkan kesan budaya dan kesan undang-undang. Ia bukan suatu hal yang mudah semudah mengunyah keropok lekor, ia akan melalui proses yang panjang dan kompleks.
Dalam konsep demokrasi, hak individu termasuk hal-hal peribadi adalah dijamin dan dilindungi menerusi asas undang-undang yang ada. Ia bukanlah agama, ia adalah hal teknikal yang memelihara manusia dari sebarang ancaman berbentuk fizikal.
Hak-hak dalam dunia demokrasi ini pula bersifat rentas budaya, gender, agama dan bangsa. Binatang dan tumbuhan juga dilindungi. Sama dengan ajaran syumul Islam.
Dalam demokrasi, penguasa yang dipilih oleh rakyat memang ditugaskan untuk mengurus keperluan rakyatnya, namun urusan peribadi seperti amalan seks bukanlah urusan daulah atau kerajaan.
Kerajaan demokrasi hanya melindungi keselamatan dan mengurus keperluan am rakyatnya, baik menerusi dasar ekonomi dan sosial menerusi dasar dan undang-undang.
Kebebasan seks atau perlindungan dari keganasan
Jika memgambil contoh program Seksualiti Merdeka, ia dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan NGO yang dikatakan bersifat liberal yang mahu mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh sekumpulan manusia yang berbeza orientasi seksual mereka.
Masalah mereka adalah apabila ada pihak yang mengugut, memukul, membantai dan malah membahayakan nyawa mereka semata-mata kerana cara hidup mereka. Bagi mereka ini, ia bukan soal mempromosikan gaya hidup alternatif tetapi memastikan hak mereka sebagai manusia dijamin.
Jika berlaku diskriminasi dan penggunaan kekerasan terhadap mana-mana pihak, mungkin dasar kerajaan harus dikaji semula.
Jika kes diskriminasi seks berlaku hingga melibatkan kes ugutan, peras ugut dan sebagainya, itu sudah menjadi kes jenayah yang mana undang-undang jenayah perlu dikuatkuasakan.
Meminta kerajaan campur tangan dalam urusan peribadi hanya akan mengundang bala kepada keseluruhan sistem, ianya akan membudaya dalam kehidupan kita. Seolah-olah kerajaan itu adalah tuhan hingga amalan peribadi dalam bilik tidur pun kita mahu kerajaan melindunginya.
Bukankah hal peribadi tidak kira apa amalan sekali pun adalah hak mutlak diri sendiri? Anda yang pilih, anda yang buat, kenalah bertanggungjawab.
Dan jangan lupa dengan ciri-ciri bagaimana lahirnya pemimpin diktator dan kerajaan korup. Adakah kita mahu kembali kepada demokrasi di zaman Tun M?
Berfikiran waras itu tidak berdosa
Wal asal balik hasil. Apa pun yang kita tuntut, tuntutlah..dipersilakan. Tetapi harus difikir semasak-masaknya tentang kesan atau implikasi kepada pihak lain.
Dalam sebuah bangsa (nation) yang sedang bertatih untuk menjadi umat yang matang, cabaran sebenar kita adalah untuk menjadi seorang warga yang waras, demokrat, madani dan celik budaya.
Demokrasi membuka ruang untuk apa saja kemungkinan – boleh berlaku, itu realiti. Namun budaya dunia, budaya manusia tidak pernah mengizinkan sesuatu itu berlaku tanpa proses dan sebab yang punya kewarasan. Hal inilah yang harus difahami dalam konteks yang lebih jauh dan dalam.
Sama ada isu Seksualiti Merdeka atau isu-isu semasa, termasuk Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), banyak persoalan dasar perlu dipersoalkan. Sekadar mengubati tanda-tanda (symptom) penyakit tidak akan menyembuhkan seseorang dari penyakit yang sebenarnya.
Adakah dengan menggunakan Bahasa Inggeris hatta Bahasa Malaysia sekali pun, mampukah ia menjamin anak-anak kita menguasai ilmu Sains dan Matematik dengan hebat?
Begitu juga tuntuan Mat Rempit tempoh hari di Pulau Pinang; adakah itu semua akan membantu mereka untuk menjadi manusia yang waras dan bijak?
Bagaimana mereka mahu kerajaan negeri membina litar lumba motosikal tetapi pada masa yang sama menuduh Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai rasis.
Dengan menggunakan demokrasi sebagai alat atau landasan untuk bangsa kita mematangkan dirinya, paling tidak kita boleh menjadi bangsa yang merdeka dan kenal yang mana bayang dan yang mana cahayanya.
Namun, jalannya masih panjang. Ilusi transformasi Najib masih tidak jauh bergerak. Ciri-ciri demokrasi terpimpin Mahathir masih menghantui pentadbiran negara dan terbenam dalam benak rakyat. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.