Followers

Wednesday, October 12, 2011

Hidup mati Ahmad Atory hanya di betis Umno ??


Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan rasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang ahli akademik pro-UMNO, Profesor Doktor Ahmad Atory Hussain daripada Universiti Sains Malaysia (USM) seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini 12 Oktober 2011 di halaman N2.

Di dalam kenyataan tersebut, beliau berkata bahawa PAS tidak mempunyai pilihan lain kecuali memperjuangkan hudud untuk mendapat sokongan ramai. Dengan tajuk berita Hidup mati PAS pada hudud, Ahmad Atory berkata, survival PAS bergantung kepada penampilannya dalam memperjuangkan hudud dan jua model pemerintahan Islam.

Ahmad Atory nyata sekali memperlihatkan sikapnya yang pro-UMNO untuk kesekian kali dengan memberikan kenyataan seperti ini. DPPNK ingin menegaskan bahawa usaha untuk melaksanakan hudud bukannya berkaitan dengan soal hidup atau mati perjuangan PAS, tetapi hidup dan mati manusia yang mengaku Islam. Perjuangan untuk melaksanakan hudud bukanlah terpikul di atas bahu PAS semata-mata tetapi juga ke atas bahu UMNO yang turut mengaku Islam dan juga Ahmad Atory yang tentunya mengaku Islam. 

Ahmad Atory juga nyata keliru apabila menyatakan bahawa PAS tidak pernah melaksanakan program memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan hudud semenjak ia diluluskan pada tahun 1993. Sedarkah Amad Atory bahawa hari hudud disambut setiap tahun di Kelantan dan ia turut disertakan dengan seminar-seminar serta pelbagai program penerangan kepada rakyat Kelantan tentang hudud. 

Amat menyedihkan di saat golongan non muslim pun turut menyertai program-program penerangan ini, Ahmad Atory nyata sekali ketinggalan maklumat akibat terlampau lena di pangkuan UMNO. 

DPPNK sedar, ahli akademik seperti Ahmad Atory hanya bergantung di betis UMNO untuk hidup. Rakyat masih ingat bagaimana pada 26 Februari yang lalu, Ahmad Atorylah yang memberikan cadangan agar UMNO memperbanyakkan calon dari kalangan tokoh agama untuk bertanding di dalam pilihanraraya. 

Dalam hal ini, siapakah yang ingin memperalatkan agama untuk meraih sokongan? Begitu juga cadangan Ahmad Atory pada 20 Julai 2011 yang lalu agar kerajaan mengambil tindakan terhadap portal Malaysia Insider yang kononnya boleh mencetuskan huru-hara, sedangkan di manakah Ahmad Atory sewaktu Utusan Malaysia melaporkan bahawa terdapat usaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi yang kemudiannya terbukti bohong? Tidakkah ini lebih merbahaya? 

Justeru, DPPNK menasihati Ahmad Atory agar tidak perlulah lagi memakai gelaran ahli akademik jika hanya ingin bersuara di atas dasar kepentingan UMNO. Amat baik sekali jika Ahmad Atory meletakkan jawatan dan bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang di atas tiket UMNO.


Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)
Bertarikh : 12 Oktober 2011

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.