Agak lama PDO tidak mengulas mengenai senario politik UMNO di negeri Pahang Darul Makmur ini sebenarnya. Sejak dua menjak itulah banyak kontroversi, spekulasi dan berita sensasi yang diterima terutamamya berkaitan "berita" akan berlakunya perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri selepas Pilihanraya Umum ke-13 nanti anda Barisan Nasional (BN) masih mengekalkan kuasanya.
Terdapat laporan, "Gerakan Jatuhkan Adnan Yaakob" kini sedang rancak dijalankan oleh seteru politik MB Pahang itu didalam UMNO sendiri.
Difahamkan, kumpulan berkenaan kini sudah mula bergerak dan menyalurkan maklumat-maklumat sulit kepada pembangkang untuk dijadikan modal menghentam kerajaan Adnan pada PRU-13 nanti. Sumber-sumber yang rapat dengan Istana juga mengesahkan bahawa tempoh pentadbiran Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob sebagai MB bakal berakhir penggal ini.
Antara calon-calon yang dinamakan bakal mengambil alih ialah Dato' Jamaluddin Jarjis (Ketua UMNO Bahagian Rompin dan Duta Besar Malaysia Ke Amerika), Dato' Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Temerloh) dan Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin (ADUN Lanchang dan Exco Kerajaan Negeri Pahang).
Antara nama-nama panas itu, calon yang paling kedepan sekali dari segi sokongan pusat ialah Dato' JJ, ini kerana beliau adalah proksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang paling rapat dan boleh dipercayai sekarang ini.
Tidak hairanlah, ketiadaan JJ di Rompin diambil alih oleh Setiausaha Politik Najib iaitu Suffian Awang (Ketua Pemuda UMNO Kuantan dan Exco Pemuda UMNO). Senario ini sudah berlaku sejak JJ dilantik sebagai Duta ke Amerika Syarikat sejak PM Najib berkuasa dulu.
Tiga calon terpopular untuk ganti Adnan, Dato' JJ, Sharkar dan Saifuddin
Saiffudin Abdullah pula dikatakan berada pada ranking kedua kerana beliau mendapat sokongan daripada istana. Sementara itu. Sharkar hanya mendapat sokongan kerana dia adalah proksi Adnan pada masa ini.
Soalnya sekarang, ke mana perginnya Adnan Yaakob seandainya beliau tidak dilantik ke jawatan MB untuk penggal akan datang?. Ada maklumat mengatakan Adnan bakal berkompromi dengan Dato' Ahmad Tajuddin Sulaiman (Ketua UMNO Bahagian Paya Besar) untuk mengambil tempat Datuk Abd Manan Ismail sebagai calon parlimen itu pada PRU-13 nanti.
Tambahan pula Mana kini tidak mempunyai apa-apa jawatan diperingkat bahagian selepas tewas pada pemilihan parti itu sebelum belum ini. Tajuddin sendiri akan kembali bertanding di DUN Lepar, sebagai balasan menyokong MB bertanding di Paya Besar.
Umum mengetahui hubungan MB dan Tajuddin sedikit renggang selepas bekas ADUN Lepas itu tidak dicalonkan pada PRU-12 yang lalu. Tajuddin begitu marah hingga meletakkan jawatan Setiausaha Kerja UMNO Pahang dan membongkarkan beberapa penyelewengan Adnan berkaitan tanah UMNO di Paya Bungor. Namun, kes itu akhirnya senyap apabila Adnan akhirnya mencari jalan berdamai dengan Tajuddin.
Hasilnya Tajuddin diberikan berbagai konsesi projek "hasil bumi" termasuk yang bernilai tinggi di kawasan parlimen Paya Besar. Makanya, pada PRU-13 ini, Tajuddin pasti akan membalas jasa Adnan dengan memberi laluan kepada pemimpin terbabit untuk bertanding Parlimen Paya Besar kali ini.
Tambahn pula hanya kerusi itu saja yang masih terbuka dan dilihat selesa untuk BN menang. Kawasan lainnya termasuk Bentong sudah mempunyai calonnya.
Adnan perlu dapat mandat Tajuddin untuk ganti Manan di Paya Besar
ADUN di Paya Besar, Shohaimi Md Shah, Shuhaimi Jusoh dan Zaili Besar
Tajuddin punyai kuasa untuk itu kerana beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Paya Besar pada masa ini. Khabarnya juga dua daripada ADUN BN yang merupakan orang Datuk Abdul Manan Ismail (Ahli Parlimen) juga akan ditendang keluar iaitu Shuhaimi Jusoh (Lepar) dan Zaili Besar (Panching).
Tambahan pula mereka antara yang dikenakan tatatertib oleh Lembaga Displin UMNO dan kini tiada jawatan langsung hatta dilantik dalam UMNO Bahagian Paya Besar. Hanya Shohami Md Shah (ADUN Sg.Lembing) yang dilihat selamat bila kembali masuk team Tajuddin sekarang ini.
Ahmad Tajuddin sebelum ini menggesa Adnan meletak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab terhadap keputusan Lembaga Disiplin UMNO menggantung keahlian Ahli Parlimen Paya Besar itu selama setahun dan memberi amaran kepada, Sohaimi (Timbalan Ketua Bahagian), Shohaimi Jusoh (Naib Ketua Bahagian) dan Zaili (Ahli Jawatankuasa bahagian). Kesemua mereka adalah anggota UMNO Bahagian Paya Besar yang didapati bersalah melanggar Tata Etika Ahli UMNO.
Pemimpin lama UMNO Pahang, Dato' Tan, Dato' Omar dan Dato' Hassan
Soalnya sekarang, apakah Adnan rela kerusi empuknya dilepaskan? Dalam keadaan beliau masih berupaya untuk memimpin negeri Pahang ini?. Terdapat sumber mengatakan, gerakan jatuhkan Adnan kini sudah mula bertindak. Malahan, terdapat juga dikalangan wakil rakyat sedia ada kini dipercayai turut terlibat.
Tambah mengejutkan, ada dikalangan mereka merupakan Exco Kerajaan Negeri pimpinan Adnan sendiri. Pada masa ini, sokongan kita UMNO Bahagian terhadap kepimpinan Adnan hanya diterima daripada Bahagain Bentong, Temerloh dan Paya Besar. Sebaliknya semua bahagian lain UMNO di Pahang kini mula menolak kepimpinan beliau sebenarnya. Manakala, bahagian lain mahukan perubahan dan pemimpin baru dilantik ke jawatan itu.
Adnan perlu ingat, ramai dikalangan seteru politiknya yang dijatuhkan seperti Dato' Hassan Ariffin (bekas Timbalan Menteri Besar dan ADUN Bukit Ibam), Dato' Omar Othman (bekas Exco dan ADUN Jelai), Dato' Shahruddin Moin (bekas Exco dan kini ADUN Dong), Suhaimi Ibrahim (bekas ADUN Benta), Dato' Halim Mansor (bekas ADUN Padang Tengku), Ariff Sabri Aziz (Bekas ADUN Pulau Manis) serta ramai lagi, kini sedang mengintai ruang untuk kembali ke persada politik. Hanya Shaharuddin sahaja yang dilihat tidak mengidam ke situ kerana dia selesa dilantik sebagai Pengerusi Giat Mara.
Sementara yang lainnya, kemungkinan akan berbuat sesuatu untuk menghalang Adnan daripada meneruskan kuasanya sebagai MB Pahang, jika BN masih terus menang lagi pada PRU-13 ini nanti.
[Apapun, senario politik UMNO ini pasti akan dipanaskan lagi kerana Adnan selaku Pengerusi Perhubungan UMNP Pahang pasti tidak akan membiarkan nasibnya ditentukan oleh orang lain. Hubungan rapat Adnan dengan istana dilihat memberi "millage politik" untuk dirinya terus mempimpin Kerajaan Negeri Pahang kiranya BN masih terus merintah.
Dari segi tenaga dan ketrampilan, Adnan dilihat masih berupaya untuk berkhidmat walau pun banyak kontroversi yang berlaku terhadap dirinya mutakhir ini termasuk isu Lynas. Apapun, Adnan diminta lebih berhati-hati dengan gerakan pihakpihak tertentu yang cuba menjadi "gunting dalam lipatan". Tersilap langkah, beliau pasti akan berputih mata kali ini.
Ura-ura untuk Adnan dihantar ke pusat sudah kedengaran sejak PRU umum yang lalu. Namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga ke hari ini. Namun, apakah dengan gelaran "Dato' Sri DiRaja" yang dikurniakan oleh Sultan Pahang ia seolah-olah memberi isyarat terakhir buat Adnan di negeri ini.
Apapun, masih ramai rakyat Pahang yang memerlukan khidmat beliau biarpun diasak oleh pembangkang selama ini. Senario yang berlaku ini, mungkin memberi ruang untuk pembangkang mengatur strategi baru dalam usaha bagi menakluki negeri ini pastinya. Selamat berjuang semua!].
PahangDailyOnline
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.