Bot pukat tunda ceroboh kawasan perairan 15 batu nautika dari pantai
KUANTAN: Pihak berkuasa maritim diminta meningkatkan penguatkuasaan terhadap nelayan bot pukat tunda yang didakwa semakin berani menjalankan aktiviti dalam kawasan perairan 15 batu nautika dari pantai.
Tindakan nelayan terbabit menyebabkan banyak tukun tiruan yang menjadi tempat pembiakan ikan musnah, sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan pantai yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Pahang, Mohd Zainon Ali berkata pencerobohan bot pukat tunda semakin ketara pada musim tengkujuh apabila mereka tidak dapat ke tengah laut, sebaliknya menjalankan kegiatan menunda dalam kawasan 15 batu nautika dari pantai.
"Kami berharap pihak berkuasa maritim termasuk Jabatan Perikanan mempertingkatkan penguatkuasaan di kawasan terbabit, terutama lima batu nautika dari pantai bagi melindungi tukun tiruan di sepanjang pantai.
"Kegiatan bot pukat tunda ini berleluasa di sepanjang pantai, terutama dari Beserah ke Pantai Chendor berdekatan sempadan Kemaman," katanya.
Beliau berkata, mengikut peraturan kawasan perairan negeri dibahagikan kepada empat zon, iaitu zon A, B, C dan C2.
Katanya, zon A meliputi kawasan 30 batu nautika dari Pantai, diikuti 25 batu nautika (zon B), 12 batu nautika (zon C) dan lapan batu nautika (zon C2).
"Kawasan 15 batu nautika dianggap strategik kepada nelayan pantai kerana ia mempunyai banyak tukun tiruan seperti konkrit dan sisa buangan dari plastik yang dijadikan tukun bertujuan sebagai tempat pembiakan ikan spesies kembung, selar dan kerisi.
"Bagaimanapun, gelombang besar dan laut bergelora pada musim tengkujuh seperti bulan November, Disember dan Januari menyebabkan bot besar yang menggunakan pukat tunda merapat ke pantai," katanya.
Mohd Zainon yang juga Ketua Kampung Balok berkata, 500 nelayan pantai dari Beserah ke Chendor bergantung kepada sumber laut dengan pendapatan antara RM500 dan RM500 sehari.
"Dengan ancaman daripada bot pukat tunda, mereka kini hanya mampu memperoleh pendapatan purata RM100 sehari dan ada di antaranya sekadar mendapat RM60 sehari.
"Jika tiada ancaman ini, sesetengah nelayan pantai memperoleh sehingga RM1,000 sehari," katanya.
Beliau turut meminta kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menarik balik keputusan membekukan pengeluaran lesen khas sampan untuk nelayan pantai.
Katanya sejak lesen itu dibekukan, ramai nelayan pantai yang tidak mempunyai lesen masih turun ke laut kerana sesetengahnya bergantung kepada sumber laut.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.